Polis akan menyerahkan kertas siasatan kematian Noorizwan Zulkefly kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu ini ketika keluarga dan peguamnya terus mendesak agar kes itu disiasat sebagai kes bunuh.

Menurut laporan Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, mengesahkan perkara itu hari ini, hampir lima minggu selepas Noorizwan, 42, meninggal dunia selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira 10 hari.

Ketika ini siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan iaitu terkait kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan bagi memeras pengakuan atau maklumat.

Bagaimanapun, NGO Lawyers for Liberty (LFL) berulang kali mendesak supaya kematian Noorizwan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kumar sebelum ini berkata siasatan kes itu diambil alih Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman susulan keterangan seorang pakar perubatan forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Pakar berkenaan mengesan kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh Noorizwan, dengan corak kecederaan yang konsisten dengan trauma akibat hentakan objek tumpul, bukannya kecederaan yang dilakukan sendiri.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.

Noorizwan meninggal dunia pada 1 Okt lalu selepas ditahan sejak 20 Sept, namun keluarga lelaki terbabit mendakwa mereka tidak mengetahui tentang hal tersebut sehinggalah dimaklumkan tentang kematiannya.

Adiknya, Nooranis Zulkefly, sebelum ini berkata keluarga hanya mengetahui tentang kematian Noorizwan melalui mesej daripada individu yang dipercayai sebagai anggota polis kira-kira 18 jam selepas kematian tersebut.

"Kami tidak dimaklumkan mengenai penahanannya.

“Abang saya tidak diberikan hak untuk memaklumkan kepada keluarga, dan pihak polis juga tidak menghubungi kami berhubung penahanannya," kata Nooranis pada 7 Okt lalu.

Keluarga pada mulanya dimaklumkan bahawa Noorizwan dibawa ke hospital selepas dipercayai terjatuh semasa dalam tahanan.

Bagaimanapun, peguam keluarga itu kemudian mendedahkan hasil pemeriksaan bedah siasat yang merekodkan 21 kecederaan, termasuk bengkak teruk di sekitar tengkorak, pendarahan di dalam otak dan usus, serta kecederaan pada beberapa bahagian tubuhnya.

Pengasas bersama LFL, N Surendran, mempertikaikan dakwaan bahawa kecederaan Noorizwan berpunca daripada kejadian terjatuh, justeru menuntut siasatan bebas dijalankan.

Pada 25 Okt lalu, Pengarah LFL Rania Aljunied dan peguam Wan Nabila Dina Wan Zamri menggesa Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan supaya kematian itu disiasat sebagai kes bunuh.

Keluarga Noorizwan turut membawa tuntutan mereka ke parlimen pada 27 Okt lalu untuk mendesak siasatan dijalankan terhadap kematiannya serta menuntut polis dipertanggungjawabkan dalam kes kematian tahanan.

Mereka turut mempersoalkan jika polis mampu menjalankan siasatan secara bebas dan telus terhadap dakwaan salah laku membabitkan anggota pasukan itu sendiri.

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) juga telah mengumumkan siasatan berasingan terhadap dakwaan salah laku polis berhubung kematian Noorizwan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumar hari ini mengesahkan polis turut menyiasat dakwaan beberapa peguam mengganggu seorang pakar forensik yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, siasatan itu dibuat susulan laporan polis oleh doktor terbabit yang merupakan seorang penjawat awam.

"Doktor itu merupakan penjawat awam dan laporan polis telah dibuat olehnya. Siasatan sedang dijalankan dan polis sedang merakam percakapan pihak-pihak yang terlibat," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kerana ugutan jenayah, Seksyen 186 (menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi) dan seksyen 189 (mengugut untuk mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam).

Kumar berkata polis setakat ini telah merakam percakapan doktor terbabit serta tiga peguam yang dikaitkan dengan kes berkenaan.

Polis juga sedang mengambil keterangan daripada ahli keluarga Noorizwan.

LFL sebelum ini mendedahkan Surendran serta seorang lagi pengasas NGO tersebut,  Latheefa Koya, serta peguam Dina Zamri disiasat berhubung dakwaan memberi tekanan kepada pihak HCTM supaya mendedahkan gambar bedah siasat Noorizwan.

Siasatan terhadap peguam terbabit mendapat kritikan beberapa tokoh undang-undang, termasuk bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh.

Mereka membangkitkan kebimbangan bahawa tindakan itu boleh dilihat sebagai cubaan menakut-nakutkan peguam yang menjalankan tanggungjawab profesional mereka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini turut mempersoalkan tindakan menyiasat peguam berkenaan, namun menegaskan beliau tidak boleh campur tangan dalam siasatan polis.

Menurutnya, siasatan itu tidak semestinya bermakna peguam terbabit menjadi sasaran kerana mendedahkan dakwaan salah laku polis, sebaliknya proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan.