Bersama cadang Adun lantikan Melaka berasaskan undi popular, elak monopoli 'parti dinosaur'
PRN MELAKA | Bersama hari ini menawarkan pelaksanaan sistem perwakilan berkadar (proportional representation) bagi melantik tujuh Adun tambahan sekiranya parti itu diberi mandat mentadbir Melaka.
Pemimpin Bersama Rafizi Ramli berkata sistem berasakan undi popular itu bermaksud pelantikan Adun tambahan bukan ditentukan oleh parti yang menang dan menjadi kerajaan.
Sebaliknya, kata Rafizi, ia dibuat menggunakan kaedah yang lain dan ditentukan selepas proses pilihan raya selesai dijalankan dan melihat kepada jumlah undi yang diperolehi sesebuah parti.
"Habis PRN, (peruntukan kerusi) tujuh Adun lantikan itu akan diagihkan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi oleh parti-parti yang bertanding,” katanya.
Sebagai contoh, tambah bekas menteri ekonomi itu lagi,
"Contohnya, BN-PN dapat 40 peratus undi popular maka mereka akan dapat 40 peratus daripada tujuh Adun lantikan itu iaitu tiga orang,” katanya.
Bagi parti lain pula, menurut Rafizi lagi, jika memperoleh undi yang sama banyak dengan BN-PN (40 peratus) namun gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan, masih diberikan peruntukan tiga Adun lantikan.
Rafizi yang juga bekas Anggota Parlimen Pandan berkata demikian ketika membentangkan manifesto Bersama yang ditawarkan parti baru itu untuk menghadapi PRN Melaka.
Bersama meletakkan calon di 16 daripada 28 kerusi DUN Melaka. Itu bermakna untuk menjadi kerajaan negeri parti itu perlu memastikan hanya seorang daripada calon mereka kalah.
Pun begitu Bersama memilih untuk bergerak solo berbanding parti-parti lain yang menjalinkan kerjasama. BN misalnya bekerjasama dengan PN, manakala PH membuat persefahaman dengan Bersatu.
Elak 'penyatuan' berasas kaum
Menurut Rafizi, cadangan dikemukakan Bersama itu sekali gus akan membuka peluang bagi menambah baik sistem pilihan raya sedia ada berdasarkan sistem pemenang undi terbanyak (first past the post).
Dia yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, sistem sedia ada tidak melambangkan keseluruhan keputusan pilihan raya apabila pihak yang mendapat kerusi terbanyak dianggap sebagai pemenang mutlak, manakala parti yang tewas tidak memperoleh apa-apa walaupun mungkin mendapat undi popular lebih tinggi.
"Bersama ingin menguji sambutan rakyat supaya kita menambah baik sistem ini bermula di Melaka (sebelum ditawarkan) ke negeri-negeri lain.
“Sebenarnya ini akan melindungi hak rakyat apabila mereka mengundi, dan juga berlaku adil kepada semua yang bertanding.
"Kalau kita pakai sistem first past the post sampai bila-bila negara kita akan terus dimonopoli oleh 'parti-parti dinosaur' dan bukannya kerana mereka popular tetapi kerana sistem kita tidak ada unsur proportional representation," katanya.
Tambah Rafizi cadangan dibawa Bersama itu boleh dilaksanakan apabila pindaan enakmen dilakukan.
/file/attachments/orphans/forumb1ddsf_512370.png)
Untuk rekod cadangan yang dikemukakan Bersama itu pernah dibangkitkan saintis politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat, dalam sepucuk surat terbuka kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Melaluinya Wong mencadangkan supaya Pulau Pinang memperkenalkan “kerusi bukan kawasan pilihan raya lantikan demokratik” (Dancs).
Menurutnya, langkah itu boleh menjadikan Pulau Pinang sebagai medan uji kaji bagi pelaksanaan reformasi pilihan raya, selain menangani punca penyatuan BN dan PN.
Katanya, Chow baru-baru ini berkata PH akan berusaha mendapatkan semula kawalan terhadap naratif politik menjelang PRU akan datang, selain menentang politik kebencian dan perkauman.
Namun jelas Wong, keputusan PRN Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan prestasi kerajaan tidak semestinya diterjemahkan kepada undi, manakala emosi negatif seperti ketakutan dan kebimbangan mungkin lebih berkesan dalam menggerakkan pengundi – malah mendorong sebahagian mereka untuk tidak keluar mengundi.
Wong turut menegaskan, selain memperkukuh usaha media sosial dan komunikasi, PH perlu mempertimbangkan reformasi institusi yang lebih asas, termasuk mengubah sistem pilihan raya sedia ada iaitu sistem majoriti mudah dengan memasukkan elemen perwakilan berkadar.
Hujahnya sistem perwakilan berkadar membolehkan lebih banyak parti politik terus bertahan, sekali gus mengurangkan risiko tersingkir apabila pesaing mereka bergabung atau apabila sokongan terhadap parti itu sendiri berpecah.
Keadaan itu, katanya, boleh melemahkan dorongan parti-parti untuk mengejar “penyatuan besar” berasaskan kaum.
Bagaimanapun, memandangkan reformasi sistem pilihan raya bagi pilihan raya parlimen dan negeri memerlukan pindaan terhadap Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memerlukan sokongan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat, Wong berkata perubahan sedemikian sukar dilaksanakan dalam jangka pendek.
Justeru, dia mencadangkan supaya reformasi dimulakan di peringkat negeri.
Dalam perkembang itu, manifesto Bersama turut mengetengahkan lima kerangka yang menjadi tumpuan mereka iaitu hasil negeri yang mampan, keperluan infrastruktur sebenar yang mendesak, pengukuhan urus tadbir dan sistem demokrasi dan pengukuhan program sosioekonomi rakyat.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/ruff3_506861.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.