PARLIMEN l Seorang ahli parlimen PAS hari ini menuntut penjelasan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung peranannya dalam memastikan bekalan ayam halal untuk pengguna Islam terpelihara.

Ini susulan penemuan sebuah rumah sembelihan ayam di Puchong, yang membekalkan ayam mentah kepada kedai makan Muslim, yang didakwa menggunakan kaedah renjatan elektrik yang boleh menyebabkan haiwan itu mati sebelum disembelih mengikut kehendak syarak.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata syarikat berkenaan telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pensijilan halal, sambil mempersoalkan bagaimana kegiatan itu boleh terlepas daripada perhatian pihak berkuasa berkaitan.

"Siapa pemilik syarikat ini? Kenapa sebelum ini tiada tindakan diambil?

"Ini bukan sekadar soal penguatkuasaan atau kebersihan makanan, tetapi sudah menyentuh hak umat Islam untuk mendapatkan makanan yang benar-benar halal dan menepati kehendak syarak," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat jawatankuasa hari ini.

Menurut laporan media, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah premis yang beroperasi sebagai rumah sembelihan ayam di Puchong dua hari lalu dan mendapati pengusahanya menggunakan kaedah yang dikenali sebagai 'water bath stunning' dalam proses penyembelihan.

Kaedah itu menimbulkan syak bahawa ayam berkenaan mungkin telah mati sebelum melalui proses penyembelihan mengikut hukum syarak, sekali gus berpotensi menjadikannya haram untuk dimakan umat Islam.

Jais turut dilaporkan merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 daripada pengusaha berkenaan.

Dalam ucapannya, Salamiah turut mendesak Jakim menjelaskan langkah susulan yang akan diambil bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

"Pertama, apakah tindakan Jakim terhadap premis yang didapati melakukan penyembelihan ayam tidak mengikut syarak termasuk pembatalan atau penggantungan sijil halal sekiranya berlaku pelanggaran?

"Bagaimanakah Jakim memastikan ayam yang telah diedarkan ke restoran, pasar raya di sekitar termasuk ke kedai-kedai makan dan sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dapat dikesan serta ditarik balik jika terbukti tidak halal?

"Adakah kerajaan bercadang mengetatkan pemantauan rumah sembelihan dengan mewajibkan kehadiran penyelia halal dan pemeriksaan mengejut secara berkala?

"Saya tegaskan logo halal bukan sekadar simbol komersial tetapi amanah agama dan jaminan kepada pengguna Muslim," katanya.

Secara berasingan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan terhadap rumah sembelihan dan premis pemprosesan ternakan bagi memastikan operasi mereka mematuhi piawaian ditetapkan.

Dia berkata tindakan tegas, termasuk pendakwaan, perlu diambil terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang.

"Serbuan sudah dilakukan dan apa yang sewajarnya diambil adalah tindakan tegas termasuk pendakwaan dan sebagainya supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

"Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya," katanya kepada media selepas menghadiri satu majlis.