Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata syarat-syarat yang ditetapkan Tehran bagi pembukaan semula Selat Hormuz boleh dilaksanakan sekiranya Amerika Syarikat (AS) menunjukkan niat baik, mempunyai kesungguhan sebenar untuk mencapai persetujuan dan mahukan penyelesaian secara aman.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik Al Jazeera melaporkan bahawa Araghchi berkata demikian dalam temu bual bersama saluran berita itu, dengan transkrip penuh wawancara berkenaan disiarkan menerusi saluran Telegram rasminya pada malam Ahad.

Menurut Araghchi, cadangan yang kini dibincangkan menerusi pengantaraan Qatar dan Pakistan adalah berdasarkan pelan asal tujuh hari yang dikemukakan Tehran semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September.

Seyed Abbas Araghchi, Menteri Luar Iran

Di bawah pelan asal itu, Selat Hormuz akan dibuka semula pada hari keenam sekiranya syarat Iran dipenuhi, manakala rundingan antara Tehran dan Washington disambung pada hari ketujuh.

Beliau berkata rundingan berterusan antara pegawai Iran, Qatar dan Pakistan membantu menjadikan cadangan itu lebih praktikal, sebelum Qatar mengusulkan supaya tempoh tujuh hari berkenaan dipendekkan kepada dua hari.

Menerusi pelan baharu itu, AS perlu melaksanakan beberapa langkah pada hari pertama, diikuti pembukaan semula Selat Hormuz pada hari kedua bagi membolehkan lalu lintas maritim kembali seperti sediakala.

Araghchi menjelaskan bahawa langkah yang perlu diambil Washington bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana telah digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) Islamabad yang ditandatangani kedua-dua pihak pada pertengahan Jun.

Bagaimanapun, perkembangan baharu sejak pemeteraian MoU itu menyebabkan Iran menetapkan beberapa keperluan tambahan.

Beliau berkata, Tehran mahu Washington menarik balik sekatan baharu yang dikenakan selepas MoU berkenaan ditandatangani, mengurangkan kehadiran tenteranya di rantau itu kepada tahap sebelumnya, menamatkan sekatan laluan serta melaksanakan pengecualian sekatan minyak yang dirancang.

“Tiada apa-apa yang luar biasa mengenai syarat ini dan semuanya boleh dipenuhi sekiranya AS menunjukkan niat baik, benar-benar bersedia mencapai persetujuan serta mahukan penyelesaian secara aman,” kata Araghchi.

Menurut beliau, cadangan itu berpotensi membuka jalan ke arah keamanan, memulihkan kelancaran pelayaran di Selat Hormuz serta membantu mengembalikan kehidupan seperti biasa di rantau berkenaan dan kawasan lain yang terjejas.

Pembukaan semula laluan perairan strategik itu akan disusuli rundingan mengenai perkara yang menjadi kepentingan kedua-dua pihak, katanya.

Iran mahu membincangkan pemansuhan sepenuhnya sekatan terhadap negara itu, manakala AS berminat untuk berunding mengenai isu nuklear.

“Dasar kami jelas. Pertama, isu Selat Hormuz perlu ditangani dan memastikan ia dibuka semula melalui pelaksanaan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Iran.

“Seterusnya, barulah kami membincangkan perkara yang menjadi kepentingan bersama dan menentukan langkah seterusnya.

“Pihak pengantara Pakistan dan Qatar sedang berusaha merapatkan kedua-dua peringkat ini serta memastikan langkah yang diambil dapat membina kepercayaan,” kata beliau.

Araghchi turut menyifatkan kekurangan kepercayaan sebagai halangan terbesar dalam hubungan Tehran dan Washington, sambil merujuk kepada tiga kejadian sepanjang dua tahun lalu apabila Iran diserang ketika usaha diplomatik sedang berlangsung.

Beliau turut mengimbas perjanjian nuklear 2015 dengan mendakwa AS melanggar perjanjian itu sebelum menarik diri daripadanya.

Menurut Araghchi, Washington sekali lagi melanggar MoU yang ditandatangani Presiden AS Donald Trump, kurang dua minggu selepas persetujuan itu dimeterai.

Mengambil kira pengalaman berkenaan, beliau berkata Iran kini mengambil pendekatan penuh berhati-hati dalam rundingan dan AS perlu mengambil langkah untuk membina semula kepercayaan.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa cadangan bagi meningkatkan keyakinan antara kedua-dua pihak sedang dipertimbangkan dalam rundingan yang masih berlangsung.