Calon Bersama meterai ikrar tuntut keadilan Beng Hock
PRN MELAKA | Kesemua 16 calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka menandatangani ikrar menuntut siasatan semula kematian Teoh Beng Hock serta penggubalan Akta Antipenyeksaan bagi mencegah penyeksaan dan kematian dalam tahanan.
Ikrar yang digerakkan oleh Persatuan Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock itu turut menuntut reformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memastikan agensi berkenaan tidak digunakan sebagai senjata politik.
Langkah itu diambil ketika keluarga Beng Hock meneruskan tindakan undang-undang untuk mendesak pihak berkuasa menyiasat kematiannya di bawah peruntukan kesalahan membunuh atau mematikan orang dengan salah.
Dalam kenyataan hari ini, Bersama berkata kes kematian Beng Hock yang berlaku 17 tahun lalu masih belum mendapat penyelesaian sewajarnya dan perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh akauntabiliti institusi penguatkuasaan.
/file/attachments/orphans/ruff3_583928.jpeg)
"Parti Bersama berpandangan bahawa kes Teoh Beng Hock, meskipun telah berlaku 17 tahun yang lalu, kekal sebagai isu penting yang perlu dijadikan pengajaran dalam menilai kuasa penguatkuasaan, mekanisme semak imbang institusi serta perlindungan hak asasi manusia dalam Malaysia," katanya.
Kenyataan itu dibacakan bekas ahli parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, pada sidang media selepas majlis menandatangani ikrar berkenaan di Ruang Bersama, Batu Berendam, Melaka.
Turut hadir adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan.
Menurut Bersama, ikrar itu merangkumi tiga tuntutan utama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/c046f54beba62bbf84e9a9f749d8b669.jpg)
Tuntutan pertama menggesa kerajaan melantik pakar siasatan jenayah antarabangsa untuk menyiasat semula kematian Beng Hock mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh atau Seksyen 304 bagi kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Tuntutan kedua mendesak tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berhubung kes berkenaan, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara.
Tuntutan ketiga pula melibatkan reformasi menyeluruh SPRM bagi memastikan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan mengelakkan penggunaannya sebagai senjata politik.
Penggubalan Akta Antipenyeksaan bagi mencegah penyeksaan dan kematian dalam tahanan turut dirangkumkan dalam tuntutan ketiga.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/0df0c28608292082d1581eb6850d9e2e.jpg)
Bersama berkata kerajaan perlu menyegerakan penggubalan undang-undang itu dengan menyediakan mekanisme menyeluruh untuk mencegah, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kes penyeksaan, selain melindungi hak individu dalam tahanan.
"Kedaulatan undang-undang bukan sekadar menuntut rakyat mematuhi undang-undang, tetapi turut mewajibkan pihak berkuasa untuk bertindak mengikut lunas undang-undang dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka," katanya.
Menurut parti itu, tuntutan supaya institusi penguatkuasaan dipertanggungjawabkan bukan bertujuan menafikan peranan atau tugas mereka.
Sebaliknya, mekanisme semak dan imbang yang berkesan diperlukan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa serta memastikan tindakan diambil terhadap pihak yang melakukan kesalahan.
Parti itu turut mengingatkan supaya kes Beng Hock tidak dilupakan ditelan masa, manakala reformasi institusi tidak boleh sekadar menjadi slogan.
Keluarga terus tuntut siasatan
Beng Hock, yang berusia 30 tahun dan bertugas sebagai pembantu politik kepada exco Selangor Ean Yong Hian Wah ketika itu, ditemukan mati di Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor.
Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan terbuka dan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu yang tidak dikenal pasti.
Dapatan itu turut merangkumi pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanan dan siasatan terhadapnya.
Bagaimanapun, pada Mei 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kertas siasatan berkenaan atas alasan bukti tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan mana-mana individu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/d4335cb4c4c8ca667b09c7f19f9b65eb.jpg)
Keluarga Beng Hock kemudian memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman baru pada 17 April tahun ini bagi mendapatkan perintah supaya pihak berkuasa menyiasat kematiannya di bawah Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, AGC mengemukakan bantahan awal atas alasan permohonan itu difailkan di luar tempoh ditetapkan.
Peguam keluarga, Lim Wei Jiet pula berhujah mereka hanya mendapat pengesahan jelas mengenai klasifikasi siasatan melalui surat polis bertarikh 20 Jan lalu, justeru permohonan itu difailkan dalam tempoh tiga bulan.
Mahkamah menetapkan 17 Nov ini untuk memutuskan bantahan awal berkenaan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-02112026-08_384025.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.