PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan menjelaskan status janji untuk menyalurkan 50 peratus hasil kutipan duti eksais vape bernikotin kepada Kementerian Kesihatan (KKM), ketika timbul kontroversi baru berhubung cadangan mengecualikan nikotin cecair daripada Senarai Racun.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) membangkitkan perkara itu ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, susulan kutipan duti eksais produk vape berjumlah RM354.51 juta sejak 2023 hingga pertengahan tahun ini.

Dia mempersoalkan mekanisme Kementerian Kewangan menyalurkan hasil cukai berkenaan kepada KKM seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2023, khususnya bagi menampung kos rawatan penyakit berkaitan merokok dan program pencegahan.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PN - Kuala Langat)

"Saya ingin (memohon) penjelasan, apakah kaedah ataupun mekanisme penyaluran peruntukan sepertimana yang dirancang dalam polisi 50 peratus cukai akan diperuntukkan kepada KKM bagi tujuan merawat penyakit?" soalnya.

Pada 2023, kerajaan mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter cecair vape bernikotin selepas mengeluarkan nikotin cecair dan gel daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Tindakan itu mencetuskan kontroversi, termasuk kebimbangan mengenai kesan terhadap kesihatan awam.

Pada Julai 2024, Malaysiakini melaporkan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial mempersoalkan kegagalan kerajaan memperuntukkan hasil cukai vape untuk inisiatif kesihatan, walaupun komitmen itu diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Pusat itu mendakwa hasil cukai berkenaan sebaliknya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Kos rawatan lebih tinggi

Dalam perbahasannya, Ahmad Yunus turut mempersoalkan kewajaran kerajaan meneruskan kutipan cukai vape apabila kos rawatan penyakit berkaitan produk itu dianggarkan jauh lebih tinggi.

Dia merujuk anggaran KKM bahawa kos rawatan dan beban ekonomi berkaitan penggunaan vape boleh mencecah RM369 juta setahun.

Menurut jawapan bertulis Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di Parlimen pada 28 Julai lalu, kerajaan mengutip duti eksais produk vape sebanyak RM80.32 juta pada 2023, RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025.

Sebanyak RM44.11 juta lagi dikutip antara 1 Jan hingga 11 Jun tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM354.51 juta.

Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan

Bagaimanapun, angka itu merangkumi kutipan duti eksais ke atas rokok elektronik dan produk vape secara keseluruhan.

Sementara itu, angka RM369 juta yang dirujuk Ahmad Yunus merupakan unjuran beban tahunan kos rawatan dan ekonomi berkaitan penyakit akibat vape menjelang 2030.

Ahmad Yunus berkata hasil kutipan cukai tahunan itu tidak sepadan dengan beban kos kesihatan yang perlu ditanggung kerajaan.

"Ekoran laporan KKM bahawa kos merawat adalah lebih besar daripada hasil kutipan cukai, adakah MOF akan mencadangkan kepada KKM untuk mengharamkan vape di dalam negara kita?" soalnya.

Persoal keputusan terbaru Lembaga Racun

Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut mempersoalkan kedudukan kutipan duti eksais vape susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu yang mengisytiharkan pengecualian nikotin cecair dan gel daripada Senarai Racun pada 2023 sebagai tidak sah.

Mahkamah memutuskan tindakan kerajaan ketika itu tidak rasional dan dibuat tanpa perundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

Kerajaan pada mulanya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu sebelum menarik balik rayuan berkenaan pada 18 Ogos lalu.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mendapat sokongan Lembaga Racun bagi cadangan baru untuk mengecualikan nikotin cecair daripada Senarai Racun.

Perkembangan itu mengundang kritikan kumpulan kesihatan yang mempersoalkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan larangan vape seperti diumumkan sebelum ini.

Ahmad Yunus turut membangkitkan kemungkinan keputusan terbaru itu dibuat bagi membetulkan kelemahan tadbir urus terdahulu, selain mewajarkan kutipan duti eksais sejak 2023.

"Adakah keputusan Lembaga Racun terkini adalah bagi membetulkan tatakelola yang salah sebelum ini dan mewajarkan kutipan duti eksais selama ini?" soalnya.

Dia juga mahu kerajaan menjelaskan sama ada kutipan cukai sebelum ini boleh dicabar di mahkamah, termasuk kemungkinan tuntutan bayaran balik oleh pihak yang membayar duti berkenaan.

"Susulan keputusan Mahkamah Tinggi, apakah status kutipan duti eksais daripada awal kutipan sehingga keputusan terbaru Lembaga Racun baru-baru ini?

"Adakah kutipan itu akan dipulangkan?,” soalnya.

Ahmad Yunus turut menggesa kerajaan mengharamkan vape sepenuhnya, mengambil kira kesan buruk penggunaannya khususnya terhadap golongan muda.

"Saya mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah-langkah yang tertentu dan melihat bebanan kesihatan akibat daripada vape ini dan seterusnya mengharamkan kerana mudarat yang lebih besar berlaku di kalangan anak-anak muda kita terutamanya," katanya.

Dia turut berharap nikotin terus disenaraikan dan dikawal di bawah Akta Racun 1952.