PANDUAN KINI | Adakah ikrar ‘you touch, you go’ KPM dalam kes serangan seksual berkesan?
PANDUANKINI | Pada 2024, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi amaran keras kepada guru: “You touch, you go”. Slogan tersebut - yang diulang beberapa kali sejak itu - bertujuan menghalang penderaan dan buli, termasuk seksual, tanpa mengira ia melibatkan pelajar mahupun guru.
Namun, dokumen, laporan polis dan temu bual yang dikumpulkan Malaysiakini menunjukkan jurang yang besar di antara ikrar itu dengan apa yang berlaku apabila kes penderaan seksual berlaku, terutamanya yang jauh daripada perhatian umum.
Dalam beberapa kes, guru yang dituduh melakukan salah laku sedemikian memang “go” tetapi sama ada ke sekolah lain, diarah bercuti, atau dinaikkan pangkat.
Malaysiakini meneliti di mana letaknya jurang dalam sistem aduan Kementerian Pendidikan Malaysia, bagaimana jurang itu berlaku dalam empat kes, serta implikasinya terhadap undang-undang dan integriti.
Apakah peraturan sebenar?
“You touch, you go” mungkin mudah pada dasarnya, tetapi tidak pada pelaksanaan.
Panduan asas untuk sekolah mengendalikan salah laku seksual terhadap murid terkait kepada Pekeliling Profesional Bil 13 yang dikeluarkan pada 2023.
Pekeliling itu memberi seseorang guru besar 24 jam untuk menghubungi ibu bapa atau penjaga, membuat laporan polis, merekodkan aduan dan menghantar laporan kepada pejabat pendidikan daerah (PPD).
Jika pihak yang dituduh ialah seorang guru, guru besar mesti melaporkannya terus kepada polis dan merujuk kes itu kepada jabatan pendidikan negeri (JPN).
Jika ibu bapa enggan membuat laporan, guru besar mesti segera membuat laporan polis di bawah Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah.
Prosedur itu mesti dimulakan segera dan secara sulit, tidak kira jika guru besar menerima aduan sendiri atau mengetahuinya melalui laporan media.
Jadi, di mana kegagalan pekeliling itu?
Kegagalan boleh bermula selepas kes sampai di JPN.
Pertama, tidak seperti sekolah, JPN tiada garis masa ketat untuk bertindak setelah dimaklumkan tentang kes sedemikian.
Kedua, tiada kewajipan menggantung tugas guru yang dituduh termasuk sementara menunggu siasatan walaupun peraturan perkhidmatan awam mengenainya sudah wujud.
Pekeliling itu juga tidak melarang suspek - jika seorang guru - ditukarkan atau mendapat kenaikan pangkat sementara siasatan dijalankan.
Selain itu, tiada garis panduan yang mewajibkan siasatan dibuat terhadap suspek sebelum dia ditukarkan.
Pertukaran ialah tindakan pentadbiran, bukan hukuman tatatertib, justeru ia tidak melalui prosiding tatatertib, tidak meninggalkan rekod hukuman, dan tiada mekanisme rayuan atau semakan bebas.
Tiada juga perlindungan bertulis untuk pegawai yang membuat laporan, dan tiada kewajipan melaporkan keputusan siasatan kepada sesiapa.
Sementara itu, pekeliling yang sama membenarkan guru besar menubuhkan jawatankuasa permuafakatan untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati terhadap cara sekolah mengendalikan sesuatu kes. Maknanya pihak yang diadukan boleh membantu menentukan siapa yang mendengar aduan terhadapnya.
Siapa yang memegang kuasa?
Dalam beberapa kes yang diteliti Malaysiakini, keputusan utama selepas aduan dibuat berada pada empat peringkat dalam satu rantaian.
Guru besar memutuskan sama ada aduan dilaporkan atau tidak, dan bagaimana ia ditangani di sekolah.
PPD dan JPN memutuskan di mana guru yang diadukan itu akan ditempatkan sementara, termasuk sama ada dia dimasukkan ke dalam “pool” (istilah dalaman bagi pertukaran ke tugas pentadbiran) atau kembali mengajar.
Di peringkat tertinggi, Ketua Pengarah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mengeluarkan arahan pertukaran mengikut budi bicaranya.
Keputusan di peringkat atasan - yang sering berbentuk pertukaran, direhatkan atau kenaikan pangkat - dibuat mengikut budi bicara seorang individu, bukan melalui jawatankuasa atau suruhanjaya.
Bagaimana jurang ini berlaku dalam realiti?
Kes Kedah
Pada 3 Jan 2024, seorang murid tahun lima mengadu kepada guru bimbingan dan kaunselingnya yang dia mengalami gangguan seksual secara lisan daripada seorang kakitangan kanan di bilik pentadbiran.
Ibu bapa dan pihak sekolah membuat laporan polis, lengkap dengan bukti video.
Kakitangan yang dituduh itu kemudian ditukarkan ke sekolah lain, dan dia kemudian didapati dinaikkan pangkat menjadi guru besar.
Sementara itu, seorang penolong kanan hal ehwal murid yang menyediakan laporan mengenai kejadian itu - atas arahan guru besar - dilaporkan dikenakan tindakan pentadbiran susulan kewujudan surat layang.
Pihak yang dituduh mendakwa tiada siasatan yang telus dibuat, selain mereka tidak dibenarkan membela diri.
Kes Johor
Antara Feb 2024 dan Ogos 2025, seorang gadis berusia 11 tahun didakwa diserang secara seksual dan berulang kali oleh seorang guru sekolah rendah di Masai.
Ibu bapa pelajar terbabit pada mulanya tidak membuat laporan polis apabila pihak sekolah memaklumkan kepada mereka tentang kes berkenaan pada Sept 2025.
Hal itu kerana guru terbabit didakwa berjanji akan mengahwini gadis berkenaan apabila dia berusia 18 tahun. Ia merupakan satu penyelesaian yang dilaporkan dibantu melalui rundingan oleh seorang anggota polis wanita.
Laporan polis kemudian dibuat oleh si ibu pada Nov 2025 atas alasan untuk memastikan guru terbabit menunaikan janjinya.
Susulan itu, PPD menukarkan guru itu ke “pool” pada Dis 2025, tetapi dia kemudian dibenarkan kembali mengajar di sekolah yang sama sebulan selepas itu.
Tindakan hanya diambil selepas kes berkenaan tular pada Mei lalu dengan guru terbabit dituduh atas lima pertuduhan melakukan serangan seksual. Dia mengaku tidak bersalah.
Tidak dapat dipastikan sama ada sekolah melaporkan kejadian itu dalam tempoh 24 jam atau tidak. Sekolah - yang memaklumkan kepada ibu bapa dan menyuruh mereka ke balai polis - juga mesti menjelaskan jika ia memenuhi kewajipan membuat laporan dalam tempoh 24 jam di bawah pekeliling 2023.
Pegawai di PPD dan JPN yang membenarkan guru itu kembali mengajar pada Jan lalu juga sepatutnya menjelaskan asas keputusan tersebut.
Kes Negeri Sembilan
Dokumen aduan dan salinan arahan penempatan rasmi KPM yang dilihat Malaysiakini menunjukkan seorang bekas pensyarah di sebuah institut pendidikan guru didakwa menghantar mesej lucah dan gangguan seksual melalui WhatsApp kepada beberapa pelajar kursus Bahasa Melayu dan TESL antara Januari dan Mac lalu.
Mangsa membuat aduan rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dan siasatan dalaman yang diketuai sebuah jawatankuasa khas mengesahkan kejadian itu.
Namun, individu terbabit tidak digantung tugas dan tidak dibawa ke prosiding tatatertib.
Sebaliknya, suspek “direhatkan” di sebuah bilik berasingan selama dua bulan dan kemudian ditukarkan ke sebuah sekolah menengah di negeri lain.
Kes Kuala Lumpur
Seperti yang diperincikan dalam laporan Malaysiakini bulan lalu, seorang guru sekolah rendah berusia 46 tahun - yang turut menjalankan kelas tuisyen di rumahnya - dituduh di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan mendera secara seksual tiga murid lelaki berusia 11 tahun.
Sumber polis berkata, satu laporan mendakwa guru terbabit melakukan penderaan seksual pernah dibuat semasa suspek berkhidmat di sekolah lain, tetapi siasatan tidak diteruskan kerana bukti tidak mencukupi dan didakwa kurang mendapat kerjasama daripada JPN Wilayah Persekutuan.
Apakah implikasi undang-undang dan integriti?
Kes Johor menimbulkan persoalan undang-undang yang paling serius. Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 tidak mengiktiraf sebarang persetujuan atau janji perkahwinan dalam kesalahan jenayah serangan seksual.
Dakwaan bahawa seorang anggota polis bertindak sebagai orang tengah dalam mencapai persetujuan itu juga menimbulkan persoalan.
Dalam semua kes, timbul juga persoalan sama ada pihak sekolah bertindak dalam tempoh yang diwajibkan untuk melaporkan kes sedemikian atau sebaliknya.
Rasional membenarkan guru yang dituduh melakukan salah laku kembali ke sekolah, atau ditukarkan atau dinaikkan pangkat, juga dipersoalkan.
Begitu juga tindakan balas yang dilaporkan terhadap pegawai sekolah yang melaporkan kes di Kedah menimbulkan tanda tanya tentang perlindungan yang diberikan kepada pihak yang membantu mendedahkan atau melaporkan salah laku.
Malaysiakini telah menghubungi PPD, JPN dan pegawai KPM yang berkaitan untuk mendapatkan ulasan.
Adakah menteri menangani masalah ini?
Walaupun Fadhlina dilaporkan mengulas tentang tindakan tatatertib apabila kes sedemikian mendapat perhatian umum, tiada laporan mengenai dia meminda peraturan dan pekeliling untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap kes sedemikian.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/LoomingShadowsintheSchoolHallway1_834541.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.