Iran dan Amerika Syarikat masih jauh daripada mencapai sebarang perjanjian bagi menamatkan peperangan mereka, menurut seorang pegawai kanan Iran, manakala Presiden Donald Trump enggan menolak kemungkinan menyambung semula operasi ketenteraan AS selepas pilihan raya pertengahan penggal di negara itu.

Reuters melaporkan Trump membuat kenyataan tersebut dalam wawancara berasingan semasa rakyat AS keluar mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal yang amat penting, dengan isu perang Iran yang kurang popular itu menjadi faktor utama, manakala pihak perantara dari Qatar meningkatkan usaha bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak.

Gambar Hiasan - Donald Trump

Pada sebelah malam, seorang pegawai AS berkata, pihaknya melancarkan serangan yang disifatkan sebagai tindakan pertahanan di Pulau Qeshm, Iran, yang menyasarkan peluru berpandu didakwa digunakan untuk menyerang aset ketenteraan mereka.

Seorang lagi pegawai menyatakan serangan itu kelihatan terhad dan tidak menunjukkan bahawa AS akan kembali melancarkan operasi ketenteraan berskala besa

Sementara itu, Fox News Channel melaporkan Trump pada Selasa memperbaharui amaran tindakan ketenteraan dalam satu wawancara.

"Saya tidak mahu ... membunuh orang ramai," katanya. "Tetapi jika terpaksa, kita akan lakukan.".

Dalam wawancara dengan Financial Times, Trump membayangkan dia berpuas hati dengan keadaan semasa berhubung perselisihan dengan Iran.

"Kita nampaknya dapat semua yang kita mahukan," lapor akhbar itu memetik kenyataannya semasa wawancara telefon selama enam minit.

Financial Times melaporkan mereka bertanyakan kepada Trump mengenai apa yang dipanggil sebagai "bayangan kuat" oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa serangan akan berlaku lewat minggu ini.

Gambar Hiasan - Trump bersama Benjamin Netanyahu

"Saya sedia, kita sedia. Kita sudah siap sedia jika perlu bergerak, tetapi mungkin tiada sebab untuk berbuat demikian," jawabnya.

Trump juga memberitahu Financial Times bahawa perundingan tidak langsung dengan Iran mengenai simpanan uranium diperkaya masih berjalan.

"Kita sedang berbincang, dan kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti," katanya.

Turut berlaku pada Selasa, Trump membuat pengumuman mengejut mengenai perjanjian dengan Netanyahu yang mana Washington akan menghentikan bantuan tahunan sebanyak AS$4 bilion kepada Israel selepas tahun ini, tetapi akan terus menjual senjata kepada sekutu rapatnya di Asia Barat itu. Kenyataan tersebut kelihatan bertujuan untuk mempengaruhi pengundi yang tidak berpuas hati dengan sokongan AS terhadap Israel.

Kebimbangan semakin meningkat bahawa konflik yang dimulakan oleh AS dan Israel pada Februari lalu boleh meletus semula selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.

"Perantara sedang berusaha keras untuk merapatkan jurang antara Tehran dan Washington," kata pegawai kanan Iran yang enggan dikenali.

“Perantara dari Qatar telah berlepas ke Tehran pada Isnin malam untuk berbincang mengenai draf perjanjian AS-Iran yang dibahas sejak lapan hari lalu.

Gambar Hiasan - Selat Hormuz

"Syarat Tehran mesti dipenuhi jika AS mahu Selat Hormuz dibuka semula," kata pegawai Iran itu sambil merujuk kepada tuntutan Iran termasuk supaya menarik balik sekatan minyak, menamatkan kepungan tentera laut AS dan membebaskan dana Iran yang dibekukan.

Reuters juga memetik Mohsen Rezaei, setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara Iran, kemudiannya sebagai berkata maklum balas AS terhadap tuntutan Iran "tidak meyakinkan", sambil menambah bahawa Washington "mesti menangani secara penuh dan jelas tujuh syarat Iran serta bertindak mengikutinya."

"Hanya dalam keadaan ini Selat Hormuz akan dibuka semula," tulisnya di platform X.

Dalam perkembangan berkaitan, Anadolu Ajansi melaporkan Iran mengecualikan kapal dari India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz.

Agensi berita itu memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Amir Hayat Moqaddam sebagai memberitahu Iranian Students' News Agency (ISNA) bahawa kapal dari empat negara itu dibenarkan melalui laluan air strategik berkenaan.

"Kami pada masa ini mengecualikan India, China, Iraq dan Qatar daripada sekatan transit di Selat Hormuz. Kapal dari negara berkenaan boleh melalui selat itu dengan bebas dan pihak Amerika Syarikat (AS) juga tidak memintasnya," katanya.

Hayat Moqaddam berkata pengecualian itu mencerminkan kepentingan bersama antara Iran dengan negara terbabit.

Katanya, Tehran memudahkan laluan kapal India bagi membolehkan Iran mengimport ubat-ubatan dari negara itu.

Pengecualian bagi kapal China pula bertujuan mendapatkan sokongan politik Beijing, tambahnya.

Hayat Moqaddam berkata Iran mengenakan yuran transit ke atas kapal India dan China, namun membenarkan kapal Qatar melalui selat itu tanpa sebarang bayaran.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kapal Iraq turut dikenakan yuran transit.

Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dengan Oman merupakan antara laluan perkapalan terpenting dunia, dengan sejumlah besar minyak dan gas dari negara-negara Teluk diangkut melalui selat itu ke pasaran antarabangsa.

AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb 2026.

Gencatan senjata dicapai pada April, namun pertempuran antara Washington dengan Tehran bersambung semula pada Julai apabila usaha diplomatik untuk menamatkan konflik itu tergendala.