Sebanyak 47 organisasi-organisasi masyarakat sivil (CSO) menuntut pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pembangkang yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) untuk memeterai satu perjanjian merentas parti yang melibatkan semua ahli Parlimen, bagi melengkapkan lapan reformasi utama dalam baki tempoh Penggal Parlimen ke-15.

Antara tuntutan reformasi itu termasuk had tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun; pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya; Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman.

Turut menjadi tuntutan mereka adalah Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama; Akta Pendanaan Politik, berserta dana awam untuk parti-parti politik serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab kepada Parlimen, dan bukannya kepada perdana menteri.

Berikut kenyataan penuh itu:

Perjanjian Merentas Parti untuk Melengkapkan Lapan Reformasi Utama dalam Baki Tempoh Penggal Parlimen

Kami, organisasi-organisasi masyarakat sivil (CSO) yang menandatangani kenyataan ini, menggesa Kerajaan dan Pembangkang untuk memeterai satu perjanjian merentas parti yang melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen, bagi melengkapkan lapan reformasi utama dalam baki tempoh Penggal Parlimen ke-15.

Tanpa perjanjian sedemikian, reformasi-reformasi penting ini berisiko tergendala akibat ketidaktentuan politik dan terdedah kepada pengaruh pihak-pihak tanpa mandat pilihanraya yang tidak mahu reformasi-reformasi ini memperkasakan pengundi Malaysia.

Perjanjian ini bertujuan merintis jalan ke arah pengukuhan demokrasi berparlimen sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan memulihkan keyakinan awam dan antarabangsa terhadap kestabilan politik serta akauntabiliti di Malaysia.

Justeru, ia mesti merangkumi kepentingan Kerajaan Madani mahupun Perikatan Nasional (PN). Kredit bagi kejayaan reformasi ini wajar diberikan kepada setiap daripada 218 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Kami menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berhubung secara terus dengan kepimpinan tertinggi PN demi memperdalam demokrasi dan memperkukuh kestabilan negara.

Melangkah ke tahun terakhir penggal pentadbirannya, ini merupakan saat berharga buat beliau sebagai seorang negarawan untuk menyatukan semua parti bagi membawa perubahan yang berimpak tinggi.

Ini juga merupakan peluang keemasan buat PN untuk mengemukakan tawaran komprehensif kepada Kerajaan Madani, seterusnya membuktikan kepimpinan berwawasan dan komitmen demokratik mereka untuk Malaysia selepas PRU16.

Berdasarkan pertimbangan di atas, kami mengesyorkan lapan reformasi berikut untuk dimasukkan ke dalam perjanjian tersebut:

  • Had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri (PM) kepada maksimum 10 tahun;

  • Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP);

  • Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act);

  • Akta Ombudsman;

  • Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund; CDF) yang saksama;

  • Akta Pendanaan Politik, berserta dana awam untuk parti-parti politik;

  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab kepada Parlimen, bukannya kepada Perdana Menteri; dan

  • Notis tiga bulan untuk pembubaran Parlimen, sekiranya tiada konsensus untuk Parlimen ke-15 berkhidmat penuh sehingga 18 Disember 2027.

Empat reformasi pertama merupakan janji awal Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada permulaan penggal beliau, di mana dua reformasi yang pertama memerlukan majoriti dua pertiga (148 undi) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Had tempoh jawatan PM selama 10 tahun akan membolehkan pembaharuan dan penyegaran semula kepimpinan, di samping mencegah penyalahgunaan kuasa dan politik dinasti.

Pemisahan peranan AG-PP pula amat penting bagi mengelakkan pendakwaan terpilih, kekebalan terpilih, dan kewujudan amalan masyarakat dua darjat.

Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman bakal memperkasa rakyat Malaysia, memupuk ketelusan dan akauntabiliti, serta memberi insentif kepada penjawat awam untuk menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih baik.

Reformasi-reformasi ini sudah tentu menghadapi tentangan daripada pihak tertentu. Justeru, mana-mana parti yang berhasrat untuk memimpin atau menyertai kerajaan akan datang sepatutnya membantu merealisasikannya dalam penggal kerajaan sedia ada.

Empat reformasi seterusnya adalah penting bagi menjamin medan persaingan yang adil dan saksama. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Pembangkang hari ini, malah kepada mana-mana parti—termasuk yang berada dalam kerajaan sekarang—yang mungkin satu hari nanti duduk di bangku Pembangkang.

Reformasi-reformasi ini berfungsi sebagai jaminan tambahan untuk memastikan kelangsungan Pembangkang yang sihat, sekali gus menggalakkan persaingan secara konstruktif.

Kelima, CDF yang saksama—berdasarkan apa jua formula objektif yang dipersetujui berserta jaminan ketelusan dan akauntabiliti—hendaklah disalurkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen dan, di peringkat negeri, kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Peruntukan CDF tidak sepatutnya dimonopoli oleh Kerajaan atau dijadikan syarat untuk menyokong Kerajaan.

Keenam, Akta Pendanaan Politik amat diperlukan bagi mencegah penyelewengan dana awam dan penguasaan oleh penderma luar negara, seperti yang disaksikan dalam skandal 1MDB.

Dana awam kepada parti-parti politik berdasarkan bahagian undi (vote share) dan kriteria objektif yang lain, termasuk pencalonan wanita, adalah penting untuk mempromosikan medan persaingan yang adil dan saksama serta mengurangkan pengaruh pendana swasta.

Ketujuh, SPR mestilah diwujudkan secara bebas, berkecuali dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukannya kepada Perdana Menteri. SPR juga perlu diberi kuasa yang lebih luas, termasuk kuasa atas pendaftaran parti-parti politik.

Langkah ini akan meningkatkan keyakinan awam terhadap proses dan sistem pilihan raya kita, sekali gus mengelakkan ketidakstabilan akibat pertikaian pilihan raya.

Akhir sekali, rakyat Malaysia berhak mengetahui jadual kerja Kerajaan, bukannya diheret dalam teka-teki tarikh pilihan raya. Sekiranya Kerajaan dan Pembangkang tidak dapat bersetuju agar Kerajaan berkhidmat sehingga 18 Disember 2027 apabila Parlimen ke-15 terbubar secara automatik,

Perdana Menteri sepatutnya berkomitmen untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran awal tiga bulan sebelum tarikh tersebut. Ini akan memberikan tempoh yang mencukupi kepada SPR, semua parti dan orang ramai untuk membuat perancangan sewajarnya.

Langkah ini bakal menjadi teladan yang baik untuk PRU dan pilihan raya negeri pada masa hadapan. Sudah masanya amalan lapuk Perdana Menteri menyerang hendap Pembangkang dengan pilihan raya kilat dikuburkan.

Kami mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan 13 Ahli Parlimen (tujuh daripada Bersatu, seorang daripada MUDA dan enam bekas ahli Bersatu) atas pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement; CSA) pada 29 Oktober 2026.

Walaupun CSA ini meletakkan Kerajaan pada posisi yang lebih kukuh untuk mengusulkan dua pindaan perlembagaan tersebut, ia terlalu sempit skopnya dan tetap transaksi sifatnya, memandangkan pemberian CDF yang saksama kekal menjadi barang dagangan rundingan dan bukannya mandat undang-undang.

Kami menyokong gesaan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, agar PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan Madani.

Namun, kami berpandangan bahawa skop perjanjian tersebut mestilah lebih luas, dengan merangkumi kepentingan sah Pembangkang melebihi sekadar akses bersyarat kepada CDF yang saksama.

Kami menyeru kepimpinan tertinggi PN untuk mempertimbangkan cadangan perjanjian merentas parti yang merangkumi lapan reformasi ini.

Kami mengambil maklum pendirian PN bahawa Bersatu 7 tidak mewakili Pembangkang. Kerana PN berada di posisi yang jauh lebih perkasa untuk menuntut perjanjian sebenar yang memberi manfaat kepada negara dan Pembangkang, kini adalah masa yang paling sesuai untuk PN membuktikan kepimpinan dan kesediaannya untuk memimpin negara selepas PRU16.

Kejayaan politik yang dicapai oleh Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pembangkang ketika itu, Pakatan Harapan (PH), dalam membawa reformasi dan kestabilan selama 13 bulan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September 2021—iaitu tepat lima tahun lalu—sepatutnya menjadi teladan bagaimana kancah politik tanah air boleh dijadikan lebih profesional dan produktif.

Inisiatif oleh: Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA); The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih); Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center); Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS); Pertubukan IKRAM Malaysia (IKRAM); dan Rasuah Busters.

Disokong oleh 47 organisasi masyarakat sivil:

Organisasi masyarakat sivil:

1. Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA)

2. Aliran

3. All Women’s Action Society (AWAM)

4. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

5. Cahaya Society

6. Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center)

7. Centre for Independent Journalism (CIJ)

8. Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED)

9. Daya Nurani Sdn Bhd

10. Engage (Rakyat in Action!)

11. Filsufi. & Co

12. G25 Malaysia

13. Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia

14. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)

15. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)

16. Justice for Sisters (JFS)

17. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)

18. Lawyer Kamek

19. LLG Cultural Development Centre

20. Movement for Change Sarawak

21. National Human Rights Society (HAKAM)

22. North South Initiative

23. Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI)

24. Partners of Community Organisations (PACOS)

25. People Like Us Hang Out! (PLUHO)

26. Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (TINDAK)

27. Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Association of Family Support & Welfare Selangor & KL (Family Frontiers))

28. Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (MPJ)

29. Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat

30. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) 31. Pertubuhan Jaringan Kebajikan Komuniti (JEJAKA)

32. Pertubuhan Solidaritas

33. Rasuah Busters

34. Roots of Borneo (RoB)

35. SABMOZ INC

36. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)

37. SIS Forum (Malaysia)

38. Society for Equality, Respect and Trust For All Sabah

39. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

40. Terabai Kenyalang Heritage Association of Sarawak (TKHAS)

41. The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih)

42. The OKU Rights Matter Project

43. The Sarawak Initiative (TSI)

44. Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA)

45. University of Malaya Association of New Youth (UMANY)

46. Workers Unmuted

47. Women’s Aid Organisation (WAO)