Bagi Nur Atilia Elina Rosli, 24, banjir kilat dua hari lalu yang sekali lagi melanda Kampung Melayu Subang bukan sekadar menyebabkan kerosakan harta benda, malah memaksanya mengulangi rutin membersihkan rumah sambil memikirkan keselamatan dua anak kecilnya.

Nasib Nur Atilia menggambarkan kesengsaraan ratusan penduduk di Sungai Buloh yang berdepan banjir berulang sejak beberapa minggu lalu, ketika projek tebatan banjir utama mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Menurut laporan Media Selangor, Nur Atilia sedang menyusukan bayinya yang berusia empat bulan ketika hujan lebat menyebabkan air memasuki rumahnya pada Isnin.

Hujan lebat di Seksyen 13, Shah Alam pagi tadi

Dia terpaksa menunggu suaminya pulang sebelum dapat berpindah ke tempat selamat.

“Ketika itu hujan sangat lebat dan saya tidak sempat mengemas barang sangat. Memang banyak kerosakan berlaku termasuk televisyen, peti sejuk, tilam dan dapur dengan anggaran kerugian melebihi RM10,000.

“Harap ada penyelesaian segera supaya beban kami dapat diringankan. Tahun ini sudah empat kali banjir, takkanlah setiap bulan perlu berdepan keadaan sama. Penat sangat apabila sudah kemas, banjir datang lagi,” katanya seperti dipetik portal media kerajaan negeri itu semalam.

Ketika penduduk masih membersihkan kediaman masing-masing, hujan lebat awal pagi ini menyebabkan sebuah jambatan di Sungai Buloh runtuh, sekali gus menjejaskan laluan ke lebih 4,500 rumah.

Banjir kilat turut melanda beberapa kawasan di Shah Alam sehingga menenggelamkan jalan utama dan memaksa penutupan sebahagian Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Banjir empat kali dalam sebulan

Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, kawasan itu dilanda banjir kilat sebanyak empat kali dalam tempoh kira-kira sebulan, menjejaskan hampir 550 rumah dan lebih 1,000 penduduk.

Banjir pada Isnin lalu sahaja menjejaskan sekurang-kurangnya 92 rumah di Kampung Melayu Subang.

Hujan lebat dengan taburan 116.5 milimeter (mm) dalam tempoh kira-kira sejam menyebabkan sungai melimpah, dengan paras air mencecah sehingga satu meter di kawasan perumahan.

Hujan lebat di Seksyen 13 Shah Alam hari ini

Seorang lagi penduduk, Yaman Buyar, 69, yang menetap di Jalan Merbau sejak lebih 30 tahun lalu, menyifatkan kejadian terbaru itu antara banjir paling buruk dialaminya dalam tempoh dua dekad.

“Dulu tidaklah sekerap ini berlaku, tetapi tahun ini banjir semakin kerap,” katanya seperti dipetik Media Selangor.

Yaman berkata air naik sehingga paras pinggang dalam tempoh sejam, menyebabkan dia terpaksa diselamatkan menggunakan bot dari rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari sungai.

Sementara itu, Bernama melaporkan banjir kilat awal pagi ini turut menjejaskan beberapa kawasan di Shah Alam, termasuk Seksyen 13, Seksyen 22 dan Setia Alam.

Plus Malaysia memaklumkan semua lorong di kedua-dua arah NKVE antara Shah Alam dan Subang terpaksa ditutup susulan banjir di Kilometer 9.1.

Laluan dari Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) menuju ke Plaza Tol Shah Alam turut terjejas..

Jambatan runtuh, akses 4,500 rumah terjejas

Di Sungai Buloh, jambatan di Jalan Kubu Gajah yang merentasi Sungai Subang runtuh kira-kira jam 2 pagi ini susulan hujan lebat dan peningkatan paras air sungai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Petaling memaklumkan arus deras menghakis tebing sungai berhampiran jambatan berkenaan sehingga menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah dan Paya Jaras Hilir terputus.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan memasang jambatan Bailey sementara sepanjang kira-kira 35 meter bagi memulihkan akses ke lebih 4,500 rumah di kawasan terbabit.

Amirudin Shari ketika meninjau jambatan yang runtuh di Jalan Kubu Gajah, Sungai Subang

“Buat sementara, kita akan bina jambatan Bailey yang memang ada dalam stok kita di sini. Ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk dibina.

“Cuma isu penting di sini ialah kita perlu mengalihkan tiang elektrik terlebih dahulu sebelum jambatan (Bailey) itu boleh dipasang,” katanya seperti dipetik Media Selangor hari ini.

Amirudin berkata pembinaan jambatan kekal baharu dengan anggaran kos RM20 juta dijangka bermula awal tahun depan dan mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.

Menurutnya, meskipun kerja Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Subang telah selesai, struktur jambatan lama menjadi penghalang aliran air selepas sungai berkenaan dilebarkan kepada kira-kira 40 meter.

“Kerja Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Subang telah selesai, tetapi berlaku penyendatan di kawasan jambatan yang masih menggunakan saiz lama.

“Keadaan inilah yang menyebabkan limpahan air dan turut menyumbang kepada keruntuhan jambatan ketika hujan lebat serta paras sungai yang tinggi akibat air pasang,” katanya.

Kerajaan janji langkah segera

Dalam perkembangan berkaitan, Exco Infrastruktur Selangor Izham Hashim berkata kerajaan negeri akan meninggikan ban Sungai Pelempas antara 0.5 hingga satu meter bagi mengelakkan air melimpah ke kawasan perumahan di Kampung Melayu Subang.

Kerja membabitkan jajaran sepanjang beberapa ratus meter itu dianggarkan menelan kos kurang RM1 juta.

Gambar Hiasan - Izham Hashim ketika melawat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 l

Izham berkata cadangan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok (5 Nov) untuk pertimbangan dan kelulusan.

Dia menegaskan langkah segera perlu dilaksanakan tanpa menunggu projek RTB Sungai Buloh Fasa 2 yang masih di peringkat awal.

“Takkan tunggu lagi empat tahun. Yang projek jangka panjang itu jalan, tapi kita ada langkah segera dan langkah sederhana.

“Quick win (langkah penyelesaian segera) itu untuk menaikkan ban yang utama,” katanya menurut laporan Media Selangor.

Sementara itu, Bernama memetik Ramanan sebagai berkata kerajaan persekutuan sedang mempertimbangkan pembinaan kolam takungan sementara bernilai RM12 juta bagi mengurangkan kesan banjir berulang di Sungai Buloh.

Langkah itu dicadangkan sementara menunggu projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara yang menerima peruntukan keseluruhan hampir RM700 juta daripada kerajaan persekutuan disiapkan.

Projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap menjelang 2029.

Anwar Ibrahim Melawat Mangsa Banjir Kg Melayu Subang

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang melawat mangsa banjir di Dewan Siantan semalam turut mengarahkan kerja tebatan banjir dipercepat, termasuk pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan tambahan dan kerja mengorek sungai.

Secara berasingan, Izham berkata kerajaan Selangor menambah peruntukan RM70 juta bagi melaksanakan 255 projek mitigasi banjir segera di seluruh negeri.

Lebih 160 projek RTB berskala besar dengan nilai keseluruhan melebihi RM4 bilion pula sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Hujan lebat dijangka berterusan

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran hujan ekstrem dengan taburan melebihi 100mm dijangka berterusan setiap petang di Lembah Klang sehingga hujung minggu ini.

Hujan lebat di Seksyen 13 Shah Alam hari ini

Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpunca daripada kelembapan udara yang tinggi dan tiupan angin timur yang agak perlahan susulan Monsun Timur Laut.

Amaran itu menimbulkan kebimbangan terhadap risiko banjir berulang ketika penduduk masih membersihkan rumah dan menanggung kerugian akibat kejadian terdahulu, sementara usaha tebatan jangka panjang belum selesai.