LFL sambut baik keputusan mahkamah beri peguam kebenaran cabar notis SPRM
Penggunaan kuasa penyiasatan jenayah terhadap peguam semasa mewakili anak guam mereka menyentuh teras pentadbiran keadilan.
Tindakan ini berisiko mengubah jentera undang-undang menjadi instrumen intimidasi terhadap pihak yang diamanahkan untuk menegakkannya, kata Lawyers for Liberty (LFL) ketika menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes yang melibatkan peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei, Mahajoth Singh.
LFL berkata amalan sedemikian merupakan satu bentuk gangguan dan intimidasi, dengan implikasi yang melangkaui peguam itu sehingga menjejaskan hak asasi orang awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang yang berkesan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan semalam secara sebulat suara membenarkan rayuan Mahajoth, sekali gus membuka jalan untuk cabaran semakan kehakiman yang dikemukakannya terhadap SPRM didengar mengikut merit.
Cabaran itu tertumpu pada cubaan suruhanjaya berkenaan untuk memaksa peguam itu menyerahkan maklumat dan dokumen berkaitan Tei, yang dituntut Mahajoth sebagai dilindungi oleh kerahsiaan peguam-ank guamnya.
"Kerahsiaan ini amat penting bagi membolehkan orang awam memperoleh perwakilan undang-undang yang berkesan," kata Pengarah LFL, Rania Aljunied.
Dia berkata keputusan mahkamah rayuan itu turut membawa mesej yang lebih luas kepada agensi penguatkuasaan.
"Keputusan ini memberi isyarat tegas bahawa badan penyiasatan jenayah seperti SPRM atau polis tidak sepatutnya menceroboh tugas peguam untuk mewakili orang awam tanpa rasa takut," katanya.
Semalam, Mahkamah Rayuan mengarahkan agar kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif, sekali gus menegaskan bahawa fungsi penyiasatan SPRM tidak terlepas daripada semakan kehakiman.
“Pada pandangan kami, permohonan ini mempunyai asas untuk dihujahkan dan bukan remeh,” katanya sambil menambah hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam menentukan hubungan antara Seksyen 30 dan Seksyen 46 Akta SPRM serta skop pemakaian Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.
Seksyen 30 menggariskan kuasa penyiasatan suruhanjaya itu, manakala Seksyen 46 memberinya kuasa untuk menghendaki peguam mengemukakan maklumat. Sementara itu, Seksyen 126 Akta Keterangan melindungi komunikasi sulit antara peguam dan anak guam mereka.
Pada 30 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Mahajoth bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kedua-dua notis yang dikeluarkan terhadap beliau berkaitan anak guamnya, Tei.
Hakim memutuskan bahawa perkara berhubung fungsi penyiasatan agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.
SPRM sebelum ini berusaha mendapatkan maklumat dan dokumen daripada Mahajoth berkaitan telefon bimbit Tei, urus niaga peruncitan, serta perbualan WhatsApp dengan individu lain.
Mahajoth berhujah bahawa bahan-bahan tersebut dilindungi oleh kerahsiaan profesion undang-undang kerana diperoleh atas kapasitinya sebagai peguam kepada Tei.
Tei mendedahkan skandal perlombongan Sabah pada 2024, yang mengaitkan beberapa ahli politik termasuk Shamsul Iskandar Md Akin, bekas pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/81ff629ae4d300fc8881948c7be629da.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.