Sejarawan bimbang pemikiran melulu, taasub masyarakat semasa
Kegembiraan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Solehah Yaacob, selepas mendapat anugerah dianggap bertaraf global menarik perhatian sekali gus membimbangkan ahli akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Dihubungi Malaysiakini, Sahul Hamid Mohamed Maiddin (gambar atas) berkata, kenyataan dibuat Solehah selepas dianugerahkan gelaran profesor bagi bidang falsafah kajian peradaban dan bahasa baru-baru ini agak kurang cermat.
Kata Sahul Hamid, Solehah - yang turut mendapat perhatian media antarabangsa sebelum ini - sepatutnya lebih berhati-hati dan menyemak maklumat yang disampaikan.
"Secara asasnya, saya tidak ingin mencampuri sebarang isu berkaitan Dr Solehah kerana beliau tidak ada kepentingan kepada kami golongan sejarawan di Malaysia.
"Namun, membaca komen-komen dalam laman yang mengiklankan anugerah kepada beliau itu membuatkan saya berasa khuatir terhadap tahap pemikiran masyarakat yang terlalu cepat dan melulu mempercayai sesuatu dengan penuh ketakjuban dan ketaasuban," katanya.
Pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Upsi itu menjelaskan Solehah kelihatan tidak membuat semakan terhadap kenyataannya mengaitkan anugerah diterima itu dengan tokoh yang dikenali ramai iaitu Allahyarham Syed Hussein Alatas.
"Sarjana tersohor Malaysia itu tidak pernah menerima anugerah seperti yang diterima Solehah. Hal itu dinafikan sendiri oleh anakanda almarhum iaitu Dr Sharifah Munirah Alatas dalam laman peribadi Facebooknya," kata Sahul Hamid lagi.
Ahli akademik tersebut diminta mengulas kontroversi yang melatari penganugerahan diterima Solehah daripada World Philosophy Forum (WPF) di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Solehah memberitahu melalui media sosial bahawa dia adalah orang Malaysia ketiga mendapat pengiktirafan berkenaan selepas "Prof Omar Haji Ahmad Laksamanac" dan "Prof Syed Hussein Alattas".
Perlu semak fakta dulu
Penerima lain sebelum ini, dakwa Solehah, ialah "Prof Ban Ki Mon" yang didakwanya sebagai bekas Setiausaha Agung PBB dari Korea Selatan, serta "Irina Barkova" yang dikatakan mewakili Unesco.
Bagaimanapun untuk rekod, terdapat beberapa perbezaan nama yang dipetik Solehah dengan nama sebenar tokoh yang dimaksudkan.
Ahli akademik negara yang disegani ramai itu dikenali sebagai Syed Hussein Alatas, namun ada individu yang mempunyai nama hampir sama iaitu Syed Hussein Al-Attas. Penulis buku-buku politik itu turut dikenali dengan panggilah Pak Habib serta SH Al-Attas.
Diplomat Korea Selatan itu pula bernama Ban Ki-moon, berbanding Bak Ki Mon, manakala nama sebenar pegawai Unesco dari Bulgaria itu pula ialah Irina Bokova.
Irina berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Uniesco bagi tempoh 2009 sehingga 2017.
Malaysiakini sudah menghubungi Solehah untuk mendapatkan penjelasan.
/file/attachments/orphans/soloo_127485.jpeg)
Bagaimanapun pihaknya tidak memberikan respon sebaliknya meminta Malaysiakini menghadiri sidang media sempena World Philosophy Day 2026 Bronx VI yang bakal diadakan pada 18 Nov ini di Kuala Lumpur.
"Boleh dapatkan maklumat ini sahaja. Press conference (sidang media) bersama wartawan oleh Prof Igor Kordashin tentang WPF dan anugerah.
"Nanti ramai penerima noble dari seluruh dunia yang ikut serta pada hari tersebut," katanya melalui mesej di media sosial.
Dia juga menyatakan "pihak penganjur tidak akan menjawab tohmahan-tohmahan" dalam mesej berkenaan.
Solehah merupakan seorang ahli akademik yang memiliki kepakaran dalam bidang linguistik Arab. Sebelum ini, dia berkhidmat sebagai profesor di UIAM dan dikenali menerusi kajian mengenai falsafah tatabahasa Arab serta sejarah perkembangan bahasa Arab.
UIAM mengesahkan perkhidmatan Solehah sebagai kakitangan akademik universiti itu berakhir berkuat kuasa 27 April lalu.
Menurut Sahul Hamid, kegagalan membuat penelitian dalam membuat kenyataan menyebabkan orang boleh mempersoalkan kredibiliti Solehah sebagai seorang ahli akademik yang sepatutnya sangat berhati-hati memberikan pandangan dan kenyataan.
"Apatah lagi sebagai seorang yang menampilkan diri sebagai pengkaji sejarah, Dr Solehah perlu lebih teliti dan menyemak setiap fakta yang dihadapkan kepadanya," tambah pensyarah itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/436744bab7a0bf2905d2f31216e15e3b.jpg)
Sementara itu bekas Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya, melihat penganugerahan yang diterima itu sebagai bukti kehebatan Solehah dalam bidang akademik.
Malah tambah Aminuddin, ia menunjukkan ilmu yang ada pada Solehah bukan dongengan sebaliknya hasil kajian mendalam berdasarkan kitab-kitab klasik dan sejarah dari pelbagai sumber.
Pada masa sama Aminuddin melahirkan rasa hairannya apabila pencapaian anak tempatan lebih diiktiraf oleh pihak luar berbanding negara sendiri.
“Kita tidak iktiraf anak bangsa sendiri tetapi orang luar pula yang mengangkat.
"Ini bukan kali pertama, malah sudah banyak penganugerahan yang Prof Solehah dapat dari pelbagai negara luar.
“Malaysia patut berbangga mempunyai ilmuan sebegitu bukan menghinanya,” kata Aminuddin lagi kepada Malaysiakini.
Ditanya mengenai kaitan Solehah dengan nama-nama yang dikenali ramai di negara ini, Aminuddin berkata, setiap individu mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing.
“Bagi saya, ilmu itu bukan milik ahli akademik semata-mata. Sesiapa yang mengkaji dan mendalami sesuatu ilmu walaupun bukan mempunyai PhD atau apa-apa kelulusan akademik, tidak bermakna ilmu seseorang itu tidak bagus.
“Ramai manusia yang hebat di luar sana yang tidak mempunyai kelulusan akademik yang formal," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/IMG_7184_148036.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.