Kumpulan hak migran menyuarakan rasa terkejut susulan pendedahan Menteri Sumber Manusia, R Ramanan bahawa hampir 600 individu berprofil tinggi, termasuk pemimpin negara, gagal menunaikan tanggungjawab mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pembantu rumah mereka.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Tenaganita menyifatkan perkara itu sebagai "membimbangkan" dan menggesa kerajaan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara telus dan konsisten tanpa pengecualian.

"Individu seperti ini sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, bukannya turut menyumbang kepada penindasan dan pengabaian yang sudah sekian lama dialami pembantu rumah.

"Jika mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menegakkan undang-undang sendiri tidak menghormati hak pekerja di rumah masing-masing, apakah mesej yang disampaikan kepada masyarakat?" katanya.

Tenaganita menegaskan bahawa caruman Perkeso merupakan kewajipan undang-undang dan bukannya sumbangan sukarela atau amal kebajikan.

Semalam, Ramanan mendedahkan bahawa seramai 598 individu berprofil tinggi, termasuk VVIP, ahli Parlimen dan Adun, merupakan antara 10,033 majikan pembantu rumah yang didapati gagal menunaikan kewajipan mencarum kepada Perkeso.

Angka itu berdasarkan pemeriksaan awal yang dijalankan agensi berkenaan sehingga 1 Nov.

Ketika ditanya sama ada menteri Kabinet turut terlibat, Ramanan berkata, "ada juga yang kedudukannya lebih tinggi daripada menteri".

Dia berkata, majikan terbabit diberi tempoh sehingga 7 Disember untuk menjelaskan caruman tertunggak. Mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan kompaun.

Dalam kenyataannya, Tenaganita turut menggesa kerajaan mengiktiraf pembantu rumah sebagai pekerja yang berhak mendapat perlindungan dan hak sama rata di bawah undang-undang buruh.

Ini termasuk meminda pengecualian yang dikenakan terhadap mereka daripada beberapa peruntukan penting Akta Kerja, selain memastikan mereka mendapat keadaan kerja yang baik, gaji adil, cuti rehat mingguan serta saluran sewajarnya untuk membuat aduan dan mendapatkan keadilan.

"Pembantu rumah memerlukan lebih daripada sekadar perlindungan keselamatan sosial.

"Mereka juga perlu diberikan hak yang boleh dikuatkuasakan, termasuk gaji adil, cuti rehat, keadaan kerja yang baik serta akses kepada saluran aduan dan keadilan," katanya.

Tenaganita berkata, Ramanan mempunyai peluang untuk membawa perubahan menyeluruh dan berkekalan dalam isu perlindungan pembantu rumah.

Pengusaha khidmat pembersihan turut perlu dikawal

Sementara itu, kumpulan aktivis Migrant Care menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang memberikan perlindungan lebih baik kepada pembantu rumah, termasuk mereka yang bekerja secara sambilan atau diambil melalui syarikat perkhidmatan pembersihan.

Pengarah Eksekutif Migrant Care, Alex Ong berkata, ramai pekerja dalam sektor itu berdepan ketidakpastian undang-undang kerana pekerjaan mereka berada dalam ruang kelabu peraturan sedia ada, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko eksploitasi.

"Sebagai contoh, amalan menyewakan dan menjual pembantu rumah. Syarikat perkhidmatan pembersihan boleh menawarkan mereka kepada pelanggan seolah-olah mereka barang dagangan manusia, sedangkan permit kerja mereka masih mengklasifikasikan mereka sebagai pekerja pembersihan.

"Pekerja pembersihan juga boleh disewakan kepada pelanggan berdasarkan bayaran bulanan.

"Tiada bidang kuasa yang jelas untuk mengawal perkhidmatan pembersihan dari rumah ke rumah. Kementerian Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa terhadap perniagaan seperti ini kerana operasinya berdasarkan tempahan kerja, bukannya lokasi kerja dan skop tugas lapan jam yang ditetapkan dengan jelas.

"Kelemahan peraturan ini membuka ruang kepada perdagangan manusia, yang turut didorong oleh lebih 2,000 agensi pekerjaan swasta," katanya.