PARLIMEN | Kerajaan menegaskan bahawa pendekatan diplomasi menjadi keutamaan dalam usaha menangani isu jerebu rentas sempadan dalam kalangan negara anggota Asean, sambil merujuk kepada tindakan terbaru Singapura yang didakwa boleh menjejaskan hubungan dengan Indonesia.

Tanpa merujuk kepada sebarang tindakan khusus Singapura, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Malaysia mengutamakan pendekatan diplomasi

Ahli Parlimen Ledang itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PN-Kapar), yang meminta penjelasan sama ada Malaysia bersedia mengikut jejak langkah proaktif Singapura.

Baru-baru ini, Singapura mengeluarkan amaran kepada beberapa syarikat yang sedang disiasat berhubung kaitan mereka dengan kebakaran yang menyebabkan jerebu.

Pertemuan itu berlangsung ketika timbul kebimbangan mengenai kualiti udara yang buruk akibat jerebu tebal susulan kebakaran di Sumatera dan Borneo, Indonesia.

Keadaan itu menyebabkan negara-negara jiran turut terjejas, termasuk sekolah terpaksa ditutup.

Syed Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa pendirian Malaysia “sedikit berbeza” daripada Singapura.

"Berkenaan dengan Singapura, contoh Singapura tadi, saya percaya kita mempunyai pendirian yang berbeza sedikit.

"Malaysia dari segi kaedah kita bersama-sama dengan negara-negara Asean ini, kita masih lagi menekankan diplomasi.

"Untuk Singapura pun pada pandangan pihak kita, kita melihat bahawa tindakan mereka itu sebenarnya juga mengakibatkan ada juga sedikit terjejas dari segi hubungan di antara dua negara, di antara Indonesia dan Singapura,” katanya.

Semalam, dilaporkan bahawa Parlimen Singapura mengambil langkah memperketat undang-undang antipencemaran jerebu dengan memberikan kuasa penahanan, meningkatkan jumlah denda dan membolehkan sekatan dikenakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan pencemaran udara rentas sempadan akibat kebakaran hutan.

Pindaan yang dicadangkan itu bertujuan memperkasakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, yang mula dikuatkuasakan pada 2014. Bagaimanapun, pelaksanaannya berdepan halangan bidang kuasa dan kesukaran mendapatkan bukti dari luar negara, menurut AFP.

Sementara itu Syed Ibrahim hari ini mengakui bahawa Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) mempunyai “keterbatasan” kerana tidak menyediakan mekanisme penguatkuasaan antara negara atau tuntutan pampasan.

Menegaskan bahawa kerajaan melihat perjanjian itu sebagai kerangka kerjasama serantau yang “relevan”, timbalan menteri itu berkata AATHP berteraskan prinsip konsensus dan penghormatan terhadap kedaulatan negara.

Oleh itu, tanggungjawab penguatkuasaan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran tertakluk kepada bidang kuasa dan undang-undang domestik negara masing-masing.

"Sebab itu sebarang cadangan untuk kita perkenalkan mekanisme penguatkuasaan ataupun tuntutan ganti rugi ia memerlukan penelitian yang menyeluruh daripada aspek perundangan, bidang kuasa, hubungan diplomatik serta juga yang tidak kurang pentingnya ialah pembuktian saintifik," katanya.

Menurutnya tumpuan kerajaan ketika ini adalah kepada kaedah yang boleh diterjemahkan kepada tindakan pencegahan dan penguatkuasaan sebenar, iaitu mekanisme “diplomasi sains” serta dana jerebu mampan.