Tumpuan politik tanah air terarah ke Sarawak hari ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting serta urusan berkaitan pelaksanaan PRN ke-13 negeri itu.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuching dan dipengerusikan pegawai tertinggi SPR, Ramlan Harun.

Sidang media akan diadakan selepas itu bagi mengumumkan tarikh penting PRN Sarawak ke-13 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain yang berkaitan.

Pada 23 Okt lalu Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN negeri itu dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.

Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.

Mandat semasa DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi itu sepatutnya berakhir pada Feb 2027.

Pada PRN lalu – yang diadakan pada 18 Dis 2021 – Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari meraih mandat besar selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP memperoleh dua kerusi.

Lanskap politik negeri bagaimanapun menyaksikan perubahan selepas pembubaran PSB pada 2024. Tiga bekas Adun parti itu menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu satu daripada komponen GPS.

Sementara itu, seorang lagi bekas Adun PSB, See Chee How, yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi Adun bebas.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.

- Bernama