Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan pemilihan Abdul El-Sayed daripada Parti Demokrat sebagai Muslim pertama menganggotai Senat Amerika Syarikat (AS) sebagai bukti masyarakat negara itu semakin menerima kepelbagaian kaum dan agama dalam politik.

Isu kaum dan agama juga sering menjadi bahan perbahasan politik dan kempen pilihan raya di Malaysia.

Namun, Anwar sendiri turut dikritik oleh pihak yang berpendapat pentadbirannya masih menguatkan sentimen kaum dan agama, serta bukannya berusaha mengurangkannya.

“Mereka faham demokrasi, benci dengan fahaman perkauman... yang kalahkan (Parti Republikan pimpinan) Presiden Donald Trump ini adalah kelompok yang benci dengan fahaman perkauman... mereka ini bawa kempen benci kepada perkauman, benci kepada penindasan agama dan bawa mesej baharu.

“… sebab kalau fahaman perkauman itu bangkit, yang rugi umat Islam, umat minoriti,” kata perdana menteri seperti dipetik Bernama.

Anwar berkata kemenangan itu membuktikan penolakan terhadap prejudis kaum mampu mendapat sokongan pengundi dan menjadi mesej penyatuan bagi membawa perubahan politik.

Bagaimanapun, dia menegaskan Malaysia tidak perlu mencontohi model politik AS kerana negara ini mempunyai identiti tersendiri sebagai sebuah negara berbilang kaum yang makmur.

El-Sayed, calon Demokrat, memenangi kerusi Senat Michigan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov, sekali gus mencipta sejarah sebagai Muslim pertama dipilih menganggotai dewan atasan Kongres.

Pilihan raya pertengahan penggal itu menyaksikan kemenangan besar Demokrat apabila parti berkenaan merampas kawalan kedua-dua dewan Kongres daripada Republikan, sekali gus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Trump.

Keputusan yang disifatkan sebagai gelombang biru itu mencerminkan peningkatan rasa tidak puas hati pengundi terhadap kos sara hidup, inflasi, dasar ekonomi Trump serta penglibatan ketenteraan AS dalam peperangan dengan Iran.

Keputusan itu turut membawa implikasi besar terhadap baki tempoh kepresidenan Trump. Selepas menjadikan pilihan raya pertengahan penggal itu sebagai referendum terhadap kepimpinannya, Trump sebelum ini menggesa pengundi menganggap keputusan pilihan raya berkenaan sebagai tanda sokongan peribadi terhadap kepresidenannya.

Apabila keputusan tidak memihak kepada partinya, Trump menggunakan media sosial untuk memberikan ulasan mengenai kekalahan itu.

“Saya tidak bertanding dalam pilihan raya itu dan jika saya bertanding, kita pasti menang besar!” katanya sebelum mengakhiri kenyataannya dengan ungkapan yang menjadi kebiasaannya: “Terima kasih kerana memberikan perhatian terhadap perkara ini.”

Dia kemudian memuat naik sekeping gambar topi besbol yang tertera perkataan “Veto” – yang dipercayai sebagai petunjuk awal mengenai cara dia berhasrat untuk bertindak balas terhadap Kongres yang kini dikuasai Demokrat.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama The New York Times, Trump mengambil pendekatan lebih berdamai apabila berkata dia akan menerima keputusan pilihan raya itu dan bersedia bekerjasama dengan Demokrat.