SURAT | Saya membaca berita mengenai dakwaan intipan terhadap Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada telefon yang sama untuk saya guna berbual dengan keluarga dan kawan.

Tiga pegawai kanan kerajaan, termasuk bekas ketua polis negara yang baru dilantik sebagai Ketua Staf Presiden Indonesia, Listyo Sigit Prabowo ditahan. Kemudian, seorang lagi dinamakan suspek.

Menurut polis, komunikasi Prabowo disyaki dipintas di luar prosedur dan ada arahan memadam rekod pengawasan itu. Menteri, pemimpin politik, aktivis, NGO dan wartawan turut dilaporkan menjadi sasaran.

Kalau orang yang diberi kuasa mengintip juga boleh mengarahkan rekod dipadam, bagaimana penyalahgunaan hendak dikesan?

Pada 3 Mei 2024, Al Jazeera memetik siasatan Amnesty International, Haaretz dan Tempo yang mengaitkan firma berkaitan Israel seperti NSO, Candiru, Wintego dan Intellexa dengan bekalan alat pengawasan kepada agensi Indonesia sejak sekurang-kurangnya 2017, kendatipun Indonesia tiada hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Di Malaysia, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggesa kita bersedia sebelum serangan siber berlaku. Saya setuju. Kesiapsiagaan turut menuntut tatakelola yang jelas tentang siapa boleh mengakses sistem kerajaan.

Pada Oktober, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika tugas rasmi atas alasan keselamatan data. Waze yang bermula di Israel menafikan pengumpulan maklumat sensitif kerajaan. Kalau asal usul aplikasi peta begitu penting, bagaimana pula kerajaan menilai pembekal alat pengawasan?

Pada 2010, Anwar ketika mengetuai pembangkang Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) mendakwa pembabitan syarikat Israel dalam projek komunikasi polis di Bukit Aman. Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kontrak Asiasoft telah ditamatkan dan mengumumkan langkah siasatan yang tidak jelas hasilnya.

Pada 2018, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendakwa kerajaan memantau dirinya dan Sultan Johor, mengaitkannya dengan peralatan teknologi buatan Israel. Ketua polis negara ketika itu menafikan pemantauan akaun media sosial kerabat diraja. TMJ kemudian menjelaskan dakwaannya merangkumi telefon, emel dan komunikasi peribadi.

Laporan Citizen Lab, University of Toronto, Kanada pada 2020 mengenal pasti satu sistem Circles di Malaysia berdasarkan jejak 2016–2018. Penyelidik tidak dapat mengesahkan pengendalinya.

Laporan itu turut merekodkan sistem di Indonesia. Circles mempunyai pertalian dengan NSO Group dari Israel, pembangun spyware Pegasus.

Saya cuma menelusuri laporan terbuka melalui carian Google dan bantuan AI. Seyogia, kerajaan Madani dan Parlimen Malaysia patut mencerakin dakwaan yang tergantung begitu lama ini bersama penafian serta hasil siasatan.

Adakah pembekal masih boleh terus mengakses data selepas pemasangan, sementelahan ada dakwaan peranti berasal dari Israel?

Saya sokong Palestin. Sebab itu saya mahu ketegasan serupa pada kontrak kerajaan. Akan terasa hipokrit jika kita lantang menyuruh orang memadam Waze, memboikot Mcdonald, KFC dan Strarbucks kemudian keberatan memeriksa siapa membekalkan alat intip dan ke mana wang awam pergi.

Bagi generasi yang hidup bersama telefon pintar, ruang - untuk mengkritik dasar, meluahkan pendapat dalam isu salah laku dan meminta bantuan - ini perlu dilindungi oleh pihak berwajib.

Arakian, telefon sama ini jugalah untuk saya menyimpan mesej keluarga, gambar peribadi dan e-dompet. Kita berhak menentukan siapa yang boleh melihatnya. Wartawan yang melindungi sumber juga memerlukan jaminan itu. Begitu juga ahli politik dan rahsia strateginya.

Kalau maklumat peribadi boleh dijadikan bahan tekanan, orang mungkin memilih untuk berdiam diri. Walhasil, apalah erti demokrasi.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin pernah mengingatkan kita supaya jangan mengintip atau mencari-cari aib peribadi orang. Bila saya berkongsi masalah dengan kawan, saya memilih siapa yang saya percaya. Orang yang diberi kuasa memasuki ruang itu memikul amanah yang berat.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) menetapkan tanggungjawab platform serta kuasa tertentu untuk mendapatkan dan memelihara data bagi siasatan. Audit bebas pula perlu meneliti perolehan dan penggunaan alat intip oleh agensi kerajaan, termasuk kelulusan operasi, akses pembekal serta pengurusan rekod.

Dapatan yang boleh dikongsi wajar diumumkan. Rakyat juga memerlukan saluran aduan yang berkesan serta mekanisme untuk menghentikan dakwaan penyalahgunaan peranti siber. Siapa awasi pengawas?


NURIN SOFEAH IBRAHIM ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.