Meterai CSA: Bukan rasuah, dajal jauh sekali - Amanah
Dakwaan bahawa pemeteraian perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pihak pembangkang mengandungi unsur sogokan atau rasuah adalah tidak berasas, sebaliknya ia bertujuan menjamin kestabilan politik serta meneruskan agenda reformasi institusi.
Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata perkara itu jelas berdasarkan butiran perjanjian yang telah didedahkan kepada umum, termasuk komitmen mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal serta memisahkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya.
“Kandungan CSA secara khusus menyentuh usaha meneruskan agenda reformasi institusi dan memastikan kerjasama antara parti-parti terlibat dikekalkan sehingga parlimen dibubarkan.
“Ia bukan soal rasuah, dajal jauh sekalilah. Ia lebih kepada nak menstabilkan politik dan meneruskan agenda reform, dan janji itu ialah mereka akan bersama sampai dibubarkan parlimen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menyifatkan pemeteraian CSA sebagai pendekatan dajal kerana dianggapnya mengkhianati amanah.
Mujahid berkata perjanjian seumpama itu bukan perkara baru kerana Amanah turut terlibat dalam CSA dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pada 2021.
“Waktu itu, PAS pun sokong dan PAS pun setuju sebagai kerajaan. Apabila orang lain buat..(PAS kata) dajal, bila dia buat tak apa,” katanya.
Menurut Mujahid, Amanah sentiasa berpegang kepada prinsip politik yang mengutamakan integriti, maruah dan nilai Islam, selain memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata politik seharusnya berperanan menyelesaikan masalah rakyat menerusi pentadbiran yang bersih, berkesan dan berprestasi tinggi, bukannya sekadar menjadi alat untuk mendapatkan kuasa dan mengumpul kekayaan.
Baru-baru ini, kerajaan Madani menandatangani CSA dengan enam ahli parlimen Bersatu yang diketuai presidennya Muhyiddin Yassin serta tujuh ahli parlimen lain, termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perjanjian itu bertujuan memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan serta pelaksanaan agenda pembangunan negara, termasuk Belanjawan 2027 berjalan dengan berkesan demi kepentingan rakyat.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/6b0081a8492680fced54b7b74c6f0b3a.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.