ULASAN BUKU |  Sebuah cerpen tidak semestinya perlu menceritakan segala-galanya. Adakalanya, kekuatan sesebuah cerita terletak pada perkara yang disembunyikan, petunjuk yang hanya dapat difahami selepas pembacaan selesai atau persoalan yang sengaja dibiarkan terbuka.

Pembaca bukan sekadar mengikuti perjalanan watak. Mereka turut mengumpulkan maklumat, membuat andaian, mengesyaki sesuatu dan, sesekali, menyedari bahawa mereka telah dibawa kepada kesimpulan yang salah.

Permainan antara pengarang dengan pembaca inilah antara ciri yang menonjol dalam Sebelas Amanat Swamiji, kumpulan yang menghimpunkan 16 cerpen Uthaya Sankar SB. Judul buku ini mungkin membayangkan 11 amanat, tetapi kandungannya melangkaui bilangan yang tertera pada kulit buku.

Dalam prakata, pengarang menyatakan enam tujuan penulisan, iaitu penggunaan cangkuk naratif (narrative hook), kejutan plot (plot twist) dan saspens (suspense), pengakhiran terbuka, penerapan emosi serta pancaindera, penggunaan fakta dan data, serta penyampaian pengajaran secara tersirat.

Enam prinsip itu menjadi asas yang sesuai untuk menilai kumpulan cerpen tersebut. Namun, penilaian yang adil tidak boleh terhenti pada sejauh mana setiap teknik berjaya digunakan. Perlu juga diteliti jika teknik itu benar-benar memperkukuh cerita, sama ada wataknya mempunyai kehidupan yang meyakinkan dan sama ada mesej yang ingin disampaikan kadangkala terlalu jelas sehingga mengecilkan ruang tafsiran pembaca.

Secara keseluruhan, kekuatan Sebelas Amanat Swamiji terletak pada usaha Uthaya mempermainkan jangkaan pembaca untuk mempersoalkan kebenaran, kepercayaan dan kuasa. Namun, beberapa cerpen memperlihatkan bahawa keghairahan menyampaikan gagasan boleh menyebabkan penceritaan menjadi terlalu bersifat penerangan, berulang atau kurang memberikan ruang kepada pembaca membuat penemuan sendiri.

Cangkuk naratif bukan sekadar ayat pembukaan yang dramatik. Fungsinya ialah untuk mencetuskan persoalan yang cukup kuat sehingga pembaca mahu mengetahui perkara seterusnya.

Dalam Rahasya Pulau Cinta, gambaran sebuah pulau yang kelihatan indah menjadi pintu masuk kepada suasana yang lebih gelap. Kontras antara keindahan tempat dengan rahsia yang tersimpan di dalamnya membina jangkaan bahawa pembaca sedang berhadapan dengan dunia yang tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan luaran.

Dalam Lingkaran Shaitaan, lagu kanak-kanak Twinkle, Twinkle, Little Star mencetuskan ingatan dan mitos zaman kecil sebelum cerita bergerak ke wilayah yang jauh lebih mengganggu, berkaitan pemujaan individu, penderaan seksual, ugutan dan pemerasan.

Cara memahami peristiwa berubah

Peralihan daripada sesuatu yang akrab kepada keganasan tersembunyi menjadikan pembukaan itu lebih daripada sekadar hiasan. Ia membina kontras untuk memperlihatkan bagaimana sesuatu yang kelihatan tidak berbahaya boleh menjadi pintu masuk kepada penindasan.

Cerpen Kepulangan Arjun pula menggunakan mesej telefon daripada seorang sahabat yang menghilang selama tujuh tahun sebagai pencetus cerita. Bentuk komunikasi yang dekat dengan kehidupan kontemporari segera menimbulkan persoalan: Mengapa Arjun kembali menghubungi selepas sekian lama dan apakah yang sebenarnya berlaku sepanjang kehilangannya?

Ketiga-tiga contoh itu memperlihatkan bahawa cangkuk naratif tidak semestinya berupa kejutan besar. Sebuah lagu, pemandangan atau mesej telefon sudah memadai jika unsur itu membuka ruang kepada persoalan yang lebih luas.

Namun, kekuatan pembukaan tidak semestinya menjamin keseluruhan cerita berjaya memenuhi jangkaan yang dibina. Sesetengah misteri dalam buku ini lebih kuat pada peringkat pengenalan berbanding perkembangannya.

Apabila terlalu banyak persoalan diperkenalkan, setiap satunya memerlukan perkembangan atau sekurang-kurangnya petunjuk yang bermakna. Jika tidak, pembaca mungkin merasakan cerita lebih sibuk membina tanda tanya daripada mengembangkan konflik yang patut menjadi terasnya.

Sementara itu, plot twist yang baik bukan sekadar mendedahkan maklumat yang tidak diketahui pembaca. Lebih penting, pendedahan itu mengubah cara mereka memahami peristiwa yang telah berlaku.

Kejutan perlu mempunyai asas. Petunjuk mungkin kecil, tetapi apabila disusun dengan cermat, pembaca dapat menoleh semula ke bahagian terdahulu dan menyedari bahawa jawapannya sebenarnya sudah berada di depan mata.

Cerpen Guruji di Amaravati menggunakan kisah Arjuna dalam epik Mahabharata sebagai latar perbandingan. Watak Guruji mendakwa pernah mengalami perjalanan ke alam syurga, seolah-olah pengalaman luar biasa Arjuna turut menjadi miliknya.

Namun, pengetahuan isterinya, Asharani, tentang perkara sebenar memberikan tafsiran yang bertentangan. Pengalaman yang dipersembahkan sebagai perjalanan rohani rupa-rupanya mempunyai penjelasan duniawi yang jauh lebih memalukan.

Pengakhiran cerita yang memperlihatkan Guruji keluar dari jamban dalam keadaan masih mengalami cirit-birit menambahkan unsur komedi. Keagungan yang dibina melalui dakwaan kerohanian diruntuhkan oleh tubuh manusia yang tidak dapat menyembunyikan kelemahannya.

Kejutan dalam cerpen Raman dan Natyasastra pula lebih gelap. Watak Raman pada awalnya kelihatan seperti individu yang mahu membimbing remaja agar tidak mudah dipengaruhi pihak luar. Namun, pendedahan tentang pengalaman penderaan yang pernah dialaminya, diikuti perbuatannya mengeksploitasi remaja lelaki, mengubah persepsi pembaca terhadap watak itu secara mendasar.

Rupa-rupanya, dia bukan sekadar mangsa yang terselamat. Dia juga sudah menjadi sebahagian daripada kitaran penderaan. Cerpen ini menimbulkan persoalan moral yang lebih rumit daripada pembahagian mudah antara mangsa dengan pemangsa.

Dalam Siapa Bunuh Mukundan?, kejutan dibina melalui struktur misteri. Maklumat tentang kematian Mukundan, kemungkinan penggunaan racun, unsur ilmu hitam, hubungan dengan gangster serta perlindungan politik atau keagamaan disusun sebagai rangkaian petunjuk.

Ayam dalam sup dan amaran Kapitan bukan butiran sampingan yang boleh diketepikan begitu sahaja. Pembaca diminta menilai semula maklumat tersebut menjelang penghujung cerita.

Tidak diberi penyelesaian mudah

Ketiga-tiga contoh tadi memperlihatkan fungsi plot twist yang berbeza, iaitu membongkar kepalsuan, mendedahkan kitaran keganasan dan mencabar pembaca menyusun bukti. Persamaannya ialah kejutan tersebut mengubah makna yang diberikan kepada watak atau peristiwa sebelumnya.

Bagaimanapun, tidak semua pendedahan dalam buku ini mempunyai kesan dramatik yang sama kuat. Adakalanya, kejutan lebih bergantung pada maklumat yang disampaikan pada penghujung cerita berbanding proses penanaman petunjuk yang seimbang.

Apabila sesuatu pendedahan terlalu bergantung pada penerangan selepas kejadian, pembaca tidak sempat merasai kepuasan kerana berjaya menyusun petunjuk sendiri. Sebaliknya, mereka hanya menerima penjelasan yang diberikan pengarang.

Prakata buku ini sendiri memetik prinsip bahawa plot twist sepatutnya memperkaya cerita, bukan sekadar membuatkan pengarang berasa bijak kerana berjaya memperdaya pembaca. Prinsip itu wajar dijadikan ukuran kritikal terhadap setiap kejutan dalam buku ini.

Satu lagi ciri penting ialah keberanian pengarang membiarkan sebahagian persoalan tidak terjawab. Pengakhiran terbuka memberikan ruang kepada pembaca membuat pertimbangan sendiri. Namun, teknik ini perlu dibezakan daripada cerita yang terhenti sebelum konflik utamanya berkembang dengan jelas.

Dalam Cinta Surapit, pasangan pengantin yang kelihatan seperti muncul dari dunia lain menimbulkan persoalan tentang identiti dan hubungan mereka. Petunjuk melalui perbualan tentang buah-buahan eksotik dan reaksi ibu bapa membina suasana bahawa terdapat rahsia yang belum didedahkan.

Cerita tidak memberikan jawapan secara langsung. Sebaliknya, pandangan antara ibu bapa dan penantian pasangan itu mengundang pembaca menafsirkan perkara yang mungkin tersembunyi.

Cerpen Menunggu Kathiravan menggunakan pendekatan yang lebih mengancam. Suasana perayaan, bunga dan muzik tradisional pada mulanya memberikan gambaran upacara yang meriah. Namun, penantian sehingga matahari terbit semakin diselubungi ancaman. Imej batu granit hitam yang mewakili kepala Prashamsaneeji dan gambaran raksasa hitam yang menunggu fajar meninggalkan kesan yang tidak terlerai.

Dalam Suri Hati Swamiji pula, watak Kanagavalli yang pada awalnya terperangkap dalam kesunyian dan janji kerohanian akhirnya bersedia berhadapan dengan Swamiji. Cerita berakhir ketika kemungkinan pendedahan dan penentangan semakin hampir.

Begitu juga dengan Sebelas Amanat Prashamsaneeji apabila keputusan watak Allirajan untuk mendedahkan kebenaran menutup satu tahap perjalanan watak itu, tetapi tidak menjelaskan apa yang bakal berlaku selepasnya.

Pengakhiran seperti itu mempunyai kelebihan kerana pembaca tidak diberikan penyelesaian yang terlalu mudah. Namun, kelemahannya muncul apabila watak sudah menyatakan pendirian atau membuat keputusan, tetapi akibat keputusan itu tidak sempat diuji.

Dalam Suri Hati Swamiji misalnya, kesediaan Kanagavalli menentang Swamiji merupakan perkembangan watak yang penting. Namun, pembaca mungkin menginginkan gambaran yang lebih konkrit tentang risiko yang bakal ditanggungnya.

Pengakhiran terbuka akan lebih kuat jika ancaman dan kemungkinan akibatnya dibina dengan cukup terperinci sebelum cerita berakhir.

Oleh itu, pengakhiran terbuka bukan lesen untuk meninggalkan semua persoalan tanpa pertimbangan. Ketidakpastian perlu menjadi sebahagian daripada tema dan pengalaman pembacaan, bukannya pengganti kepada perkembangan konflik.

Keistimewaan gaya Uthaya terbentuk melalui gabungan sindiran, humor, rujukan budaya, persoalan sosial dan kecenderungan mempersoalkan individu atau institusi yang mendakwa mempunyai kuasa mutlak.

Dalam cerpen Utusan Acintya, dakwaan tentang utusan ketuhanan menjadi asas pembentukan kultus. Apabila watak pencerita mula berani bertanya, kedudukannya berubah daripada orang yang ingin memahami kepada individu yang dianggap mengancam institusi.

Insiden pengusiran watak pencerita serta kewujudan rakaman yang boleh digunakan untuk mendedahkan kebenaran menunjukkan bahawa kuasa kultus bukan sahaja bergantung pada kepercayaan, malah turut bersandar pada kawalan terhadap maklumat.

Cerpen Kultus Keamanan mengembangkan kritikan yang sama melalui percanggahan antara retorik dengan perbuatan. Cabaran watak Swamiji supaya sesiapa sahaja membuktikan kesilapan faktanya mewujudkan imej individu yang yakin terhadap kebenaran sendiri.

Namun, ritual yang menjijikkan meruntuhkan imej kesucian Swamiji. Kekotoran menjadi sindiran terhadap institusi yang menggunakan bahasa keamanan dan kebenaran untuk menutup keburukan sendiri.

Dalam cerpen Akta Reforbasi pula, bahasa keadilan dan pembaharuan digunakan untuk mempertahankan institusi apabila ibu bapa mengemukakan aduan. Kehadiran salinan fail siasatan yang masih tersimpan pada penghujung cerita membawa makna bahawa dokumen yang cuba diketepikan boleh menjadi bukti yang mengganggu ketenteraman pihak berkuasa.

Kritikan terhadap penyalahgunaan kuasa merupakan salah satu kekuatan kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji. Namun, terdapat juga kecenderungan pengarang menyatakan pendirian secara terlalu langsung.

Cerpen Suri Hati Swamiji merupakan contoh yang ketara. Pada beberapa bahagian, naratif bukan sahaja memperlihatkan bagaimana Kanagavalli dimanipulasi, malah turut menghuraikan secara panjang lebar sebab wanita mudah dieksploitasi, sikap pengikut kultus dan sifat ajaran yang dianggap menyeleweng.

Maklumat seperti ini memang relevan dengan tema. Namun, apabila penerangan mengambil alih ruang yang sepatutnya digunakan untuk tindakan, dialog dan konflik, cerita kehilangan sebahagian daya dramatiknya.

Kecenderungan ini turut menimbulkan persoalan tentang keseimbangan antara watak dengan gagasan. Kanagavalli mempunyai latar kesunyian, kehilangan hubungan keluarga dan keinginan mencari perlindungan. Semua ini boleh menjadi asas psikologi yang kuat.

Namun, apabila naratif terlalu cepat menerangkan bahawa Kanagavalli sudah menyedari manipulasi Swamiji dan perlu menyelamatkan pengikut lain, proses perubahan watak menjadi kurang berlapis.

Pembaca diberitahu tentang kesedaran itu, sedangkan mereka mungkin lebih terkesan jika dapat menyaksikan perubahan tersebut melalui keputusan kecil, keraguan, kesilapan dan tindakan yang membawa akibat.

Tanggungjawab penting dalam fiksyen

Satu lagi perkara yang wajar diteliti ialah pengulangan pola. Beberapa cerpen dalam buku ini berkisar pada pemimpin kultus yang mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan kuasa ketuhanan, pengikut yang mudah dipengaruhi, eksploitasi seksual atau kewangan serta usaha mendedahkan penipuan.

Kesinambungan ini membina dunia fiksyen Prashamsaneeji dan memperkukuh kritikan terhadap kultus. Namun, apabila pola konflik dan penerangan yang hampir serupa muncul berulang kali, pembaca mungkin dapat menjangka arah cerita sebelum kejutan sebenar berlaku. Variasi sudut pandang, konflik dalaman pengikut dan perbezaan motif antara watak antagonis boleh menjadikan setiap cerpen lebih unik dan tersendiri.

Selain itu, pada hemat saya, beberapa gambaran umum tentang masyarakat yang mudah terpengaruh perlu ditangani dengan lebih cermat. Dalam Suri Hati Swamiji, misalnya, ungkapan tentang orang ramai yang cetek ilmu dan masyarakat yang terkapai-kapai mencari haluan digunakan untuk menerangkan kejayaan Swamiji.

Gambaran sedemikian berisiko menyederhanakan sebab seseorang menyertai kultus. Kesunyian, kehilangan, tekanan ekonomi, keperluan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti dan keinginan mencari makna hidup boleh menjadi faktor yang lebih kompleks daripada sekadar kekurangan pengetahuan agama. Watak pengikut dalam cerpen-cerpen ini akan lebih meyakinkan jika mereka tidak semuanya kelihatan mudah diperdaya atas alasan yang sama.

Penggunaan ilmu bantu, fakta dan rujukan budaya mampu memperluas dunia cerpen. Dalam cerpen Kisah Caedmon, perbincangan tentang puisi, mimpi dan ilham ketuhanan dikaitkan dengan tokoh seperti Caedmon, William Blake dan Bede.

Rujukan itu memperluas persoalan tentang asal-usul ilham serta cara manusia memberikan makna kepada pengalaman yang sukar dijelaskan.

Dalam Guruji di Amaravati, episod perjalanan Arjuna ke Indraloka menjadi ukuran untuk menilai dakwaan Guruji. Sementara itu, Rahasya Pulau Cinta menggunakan tokoh daripada lingkungan epik Ramayana untuk mengolah semula bahan klasik dalam konteks sindiran.

Rujukan budaya mempunyai fungsi apabila bahan yang dikenali pembaca digunakan untuk membina makna baharu. Namun, penyelidikan tidak dengan sendirinya menjamin ketepatan.

Dalam cerpen Suri Hati Swamiji, misalnya, angka berkaitan ajaran sesat yang dikaitkan dengan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia disebut tanpa perincian rujukan yang membolehkan pembaca mengesahkan angka, takrif dan tempoh yang digunakan.

Begitu juga, kenyataan tentang kedudukan Hinduisme sebagai agama tauhid pertama dan tertua perlu dibezakan dengan jelas antara dakwaan watak, pendirian pengarang dengan fakta sejarah atau akademik. Jika sesuatu kenyataan bersifat kepercayaan atau tafsiran, ia tidak wajar disampaikan seolah-olah fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Inilah tanggungjawab penting dalam fiksyen yang menggunakan bahan dunia nyata. Fakta perlu disemak, sumber perlu dikenal pasti apabila sesuai dan pembaca tidak sepatutnya dibiarkan menganggap setiap kenyataan watak sebagai pendirian pengarang.

Ilmu bantu paling berkesan apabila menjadi sebahagian daripada tindakan dan konflik. Jika terlalu banyak maklumat disampaikan melalui penerangan, cerpen boleh berubah menjadi esei yang disisipkan watak.

Jelas bahawa tidak semua 16 cerpen dalam Sebelas Amanat Swamiji menggunakan teknik yang sama. Ada cerita yang bergerak melalui misteri, ada yang menggunakan alegori, ada yang mengutamakan sindiran, manakala beberapa cerpen membina kesinambungan melalui watak dan dunia Prashamsaneeji.

Kepelbagaian ini merupakan kekuatan. Namun, pengulangan pola kultus, penerangan yang terlalu langsung dan beberapa pengakhiran yang kurang menguji akibat keputusan watak menunjukkan masih ada ruang untuk pemurnian.

Tidak dinafikan bahawa sumbangan utama Sebelas Amanat Swamiji ialah keberanian pengarang menggunakan cerpen sebagai ruang untuk menguji persepsi pembaca.

Ia mengingatkan bahawa kewibawaan boleh dibina melalui kata-kata, kepercayaan boleh dimanipulasi dan institusi yang mendakwa membawa kebenaran juga perlu diperiksa.


MUHD AIMAN ialah pembaca Malaysiakini dan peminat buku karya pengarang tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.