Kajian: Golongan muda Cina rasa tak terjamin dari segi peluang pendidikan, pekerjaan
Kajian badan pemikir, Iman Research, mendapati terdapat kegusaran dalam golongan belia Cina mengenai peluang mereka dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan politik.
Dalam laporan bertajuk Kami Orang Sini Juga: Chinese Youths and Democratic Belonging - The Politics of Pragmatism and Fairness yang diterbitkan hari ini, Iman Research berkata, 116 responden menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaksamarataan berasaskan kaum dalam sistem sedia ada.
Keadaan itu mengukuhkan kepercayaan yang diwarisi sejak turun-temurun dalam kalangan belia Cina bahawa mereka perlu mencari jalan alternatif untuk mencapai kejayaan.
"Sama ada ketika membincangkan pendidikan, pekerjaan, penghijrahan atau politik, ramai kembali kepada pemikiran praktikal yang sama.
“Jika sistem secara keseluruhannya tidak boleh diharapkan, seseorang perlu membina keupayaan diri atau keluarga yang mencukupi untuk mengatasi kekangan tersebut.
"Kebanyakan peserta sebaliknya menumpukan perhatian kepada perkara yang mampu mereka kawal: bekerja lebih keras, membayar untuk mendapatkan laluan alternatif, bergantung pada hubungan peribadi atau mencari peluang di tempat lain," menurut laporan itu dalam bab mengenai pragmatisme masyarakat Cina.
Menurut Iman Research lagi, kajian berasaskan temu bual itu dijalankan antara Ogos tahun lalu hingga Jun tahun ini. Ia melibatkan responden berusia antara 18 hingga 35 tahun, kebanyakannya dari Semenanjung Malaysia, selain sebilangan kecil belia Cina Malaysia yang menetap di luar negara.
Kajian itu mendapati golongan belia Cina cenderung mencari penyelesaian sendiri "apabila institusi awam dilihat tidak boleh diharapkan".
Faktor keupayaan sesuaikan diri
Menurut laporan itu, sikap berdikari mereka didorong beberapa faktor, termasuk pengalaman sejarah yang melihat generasi terdahulu membina sekolah, perniagaan dan persatuan sendiri ketika penyediaan kemudahan awam terhad dan kedudukan mereka dalam sistem politik tidak terjamin.
"Keluarga mewariskan kisah tentang apa yang telah mereka bina serta peringatan tentang perkara yang tidak boleh mereka harapkan.
"Hari ini, perbezaan berdasarkan kaum dalam akses kepada beberapa program awam terus mengukuhkan amaran tersebut. Apa yang menjadikan corak ini penting ialah pelbagai jenis bukti yang digunakan golongan muda untuk memahami ketidaksamarataan, serta naratif keluarga dan masyarakat yang menjadikan penyesuaian diri sebagai sesuatu yang dianggap lumrah,” kata laporan itu.
Antara isu yang dibangkitkan responden ialah ketidaksamarataan akses pelajar bukan bumiputera ke universiti awam.
Iman Research berkata responden menyuarakan kebimbangan terhadap kuota 90 peratus bumiputera bagi program matrikulasi awam, selain cara Unit Pusat Universiti (UPU) menilai pemohon daripada laluan matrikulasi dan STPM meskipun terdapat perbezaan tahap kesukaran antara kedua-dua laluan tersebut.
Menurut kajian itu, seorang responden lepasan STPM yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti atas kekangan kewangan mengakui terdapat rasional untuk membantu masyarakat bumiputera yang ketinggalan sejak dulu, namun mempersoalkan sama ada sistem pengagihan tempat ketika ini benar-benar mengambil kira keperluan sebenar atau sebaliknya.
"Pengalaman beliau sebaliknya menunjukkan bagaimana faktor kelas sosial dan etnik boleh bertindih.
/file/attachments/orphans/classroom_749358.png)
“Keluarga bukan bumiputera yang lebih berada mungkin mampu membiayai pendidikan swasta atau kolej Cina tempatan apabila pilihan di institusi awam dilihat terhad.
“Namun, keluarga yang kurang berkemampuan tidak mempunyai keupayaan yang sama untuk menyesuaikan diri," menurut laporan itu.
Iman Research mencadangkan kerajaan meningkatkan ketelusan dalam kriteria kemasukan universiti, mekanisme pemilihan dan data pengambilan pelajar.
Ia turut menggesa Putrajaya mengkaji semula jurang peluang kokurikulum antara pelajar STPM dan matrikulasi serta memastikan kedua-dua kumpulan mendapat peluang yang setara.
"Prinsip yang sama juga terpakai kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Daripada membiarkan pengiktirafan kelayakan itu terus menjadi pertikaian politik berulang, kerajaan seharusnya menjelaskan dan menyelaraskan laluan sedia ada bagi pemegang UEC yang ingin memasuki universiti awam.
"Keperluan pentadbiran yang jelas dan konsisten akan mengurangkan ketidakpastian dalam kalangan pelajar serta membolehkan isu ini ditangani terutamanya sebagai perkara berkaitan pendidikan dan usaha mengekalkan bakat," katanya.
Potensi pasar malam, acara kreatif kecil-kecilan
Sementara itu, laporan berkenaan turut mendapati ramai belia Cina mempunyai "keinginan yang kuat untuk memahami masyarakat lain dengan lebih baik".
Bagaimanapun, temu bual mendapati hasrat itu sering terbantut apabila persahabatan terjalin hanya sepanjang tempoh persekolahan atau pekerjaan, manakala lingkungan sosial yang sudah biasa, stereotaip diwarisi dan batasan tidak rasmi terus memisahkan masyarakat berbeza kaum.
Laporan itu berkata golongan muda kadangkala mengaitkan ketegangan kaum dengan ahli politik dan media sosial, sambil membezakan masyarakat Melayu yang mereka kenali secara peribadi daripada politik yang dikaitkan dengan kaum berkenaan.
Bagi menangani perkara itu, Iman Research menggesa penyertaan masyarakat di peringkat tempatan dipertingkatkan serta integrasi belia Cina dalam kehidupan seharian diperkukuh.
Menurut badan itu, kerajaan negeri boleh membantu mencapai matlamat tersebut dengan menyediakan lebih banyak peluang berstruktur untuk penduduk dan kumpulan belia terlibat dalam proses membuat keputusan di peringkat tempatan.
"Pada masa sama, pihak berkuasa perlu menggalakkan integrasi antara kaum melalui ruang yang sememangnya menjadi tempat golongan muda berinteraksi secara semula jadi.
"Pihak berkuasa tempatan boleh memudahkan usahawan muda, kumpulan kebudayaan dan pertubuhan masyarakat menggunakan ruang awam untuk aktiviti berkaitan makanan, seni, kreativiti dan kemasyarakatan.
"Pasar malam, bazar makanan dan acara kreatif berskala kecil boleh membuka peluang untuk masyarakat berinteraksi tanpa memerlukan peserta menyertai program yang secara khusus dilabelkan sebagai program 'integrasi'," menurut laporan itu.
Bagaimanapun, badan pemikir itu menyatakan hasil kajiannya tidak mewakili keseluruhan belia Cina Malaysia secara statistik, dan ia juga tidak dilakukan dengan tujuan mengukur bilangan mereka yang berkongsi sesuatu pandangan.
Menurut Iman Research, pencarian para responden juga banyak bergantung kepada jaringan komuniti serta rujukan yang diberikan kepada mereka, yang membawa maksud bahawa lebih mudah untuk mereka mendapatkan orang muda yang mempunyai kaitan dengan universiti, badan profesional, kumpulan politik, NGO dan jaringan komuniti.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/14131312asda_241674.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.