Polis menahan seorang lelaki warga China yang dipercayai meninggalkan anak lelakinya sebelum kanak-kanak itu berpaut pada pintu belakang kereta dan terjatuh berhampiran Plaza Tol Nilai, seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira 12.15 tengah hari ini dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Hasil siasatan, lelaki itu mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan memaklumkan dia bersama ahli keluarga bertolak dari Cheras ke Pantai Bagan Lalang, Selangor untuk beriadah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan kira-kira 1 tengah hari, semalam.

“Ketika perjalanan, mangsa yang juga anak sulungnya berusia 12 tahun bertengkar dengan anak keduanya sehingga menyebabkan dia berasa marah sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan dan mengarahkan mangsa keluar serta memarahinya di Seremban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan meneruskan pemanduan atas alasan mahu memberikan pengajaran supaya kanak-kanak itu tidak mengulangi perbuatan sama.

Beliau berkata lelaki itu mendakwa melihat mangsa terjatuh di atas jalan raya ketika meneruskan perjalanan lalu berpatah balik untuk mengambil semula anaknya dan membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai untuk rawatan.

Terdahulu, Johari berkata pihaknya menerima laporan berhubung penularan video berdurasi kira-kira seminit memaparkan kanak-kanak lelaki berpaut pada pintu belakang sebuah kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

- Bernama