GLOBAL | Bekas CEO Nvidia, Jensen Huang, dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa individu yang dipercayainya mengenai kemungkinan kembali menerajui syarikat pengeluar cip AS itu.

Ia berlaku ketika sekutu Huang di Silicon Valley menggerakkan usaha mendesak supaya dia dilantik semula, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Financial Times pada Ahad.

Menurut akhbar Britain itu yang memetik sekutu Huang, beberapa eksekutif teknologi sedang membentuk sebuah pasukan khas dengan sokongannya bagi melobi lembaga pengarah Nvidia serta mendapatkan sokongan Rumah Putih.

Pemegang saham utama dan pemimpin industri termasuk CEO Tesla, Elon Musk, serta CEO Epic Games, Tim Sweeney, turut menyokong gesaan terbuka supaya lembaga pengarah membawa Huang kembali menerajui syarikat terbabit.

Pelabur Brad Gerstner dan Gavin Baker juga menggesa lembaga pengarah supaya mempertimbangkan semua pilihan yang ada dengan mengambil kira rekod kepimpinan Huang.

Bagaimanapun, di sebalik desakan terbuka pemimpin industri teknologi itu, seorang individu yang terbabit dalam usaha berkenaan mengakui, hubungan sulit dengan pekerja bawahan merupakan kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan.

Huang meletak jawatan pada 12 Nov selepas lebih tiga dekad menerajui Nvidia susulan laporan yang mengaitkannya dengan hubungan sulit bersama seorang wanita yang disyaki oleh pegawai perisikan AS menjalankan kegiatan pengintipan untuk China, Alice Huang.

Lembaga Pengarah Nvidia kini menjalankan siasatan bebas terhadap tingkah laku Huang.

Kempen membawa Huang kembali turut berlangsung ketika tekanan semakin meningkat dari Washington, dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent menggesa rombakan besar-besaran dalam kepimpinan Nvidia.

Bessent menggesa syarikat itu mencari CEO baru membabitkan calon luar, manakala Presiden Donald Trump mencadangkan Pengerusi Eksekutif Apple, Tim Cook, untuk jawatan berkenaan.

Menurut Financial Times, jurucakap Nvidia dan Huang enggan mengulas mengenai perkara itu.

- Bernama/Anadolu