Saman pemula 10 Exco N Sembilan: Pihak terlibat berunding cari penyelesaian
Mahkamah Tinggi di Seremban dimaklumkan bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam saman yang menyentuh isu perlembagaan yang difailkan oleh 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sedang mengadakan rundingan untuk mencapai penyelesaian secara baik.
Perkara itu dibangkitkan ketika prosiding di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili 10 Exco berkenaan (plaintif) memberitahu mahkamah perkembangan baharu itu susulan surat bertarikh 10 Nov yang dikemukakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bersama dengan 10 Exco kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Mohd Hafarizam berkata rundingan itu masih berlangsung dan terma penyelesaian yang dicadangkan belum dimuktamadkan kerana pihaknya perlu mendapatkan arahan dan kelulusan daripada anak guamnya.
"Saya tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian itu kerana pihak-pihak terlibat masih berunding. Kami akan dapat memaklumkan perkara itu kepada mahkamah selepas mengadakan perbincangan dengan peguam yang berkenaan serta mendapat arahan dan kelulusan yang sewajarnya daripada anak guam saya," katanya ketika prosiding di Seremban, hari ini.
Beliau dijadualkan bertemu dengan anak guamnya dan Ismail pada tengah hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut, sambil memaklumkan bahawa perkara itu turut membabitkan pihak istana serta mengesahkan kesahihan surat bertarikh 10 Nov itu yang dikemukakan mereka.
Peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili defendan pertama (Setiausana Kerajaan Negeri Sembilan) juga mengesahkan bahawa beberapa cadangan yang dikemukakan plaintif dan Menteri Besar sedang dipertimbangkan oleh defendan serta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/40e8ad4f0a7339be8d61ef23d275b09c.png)
Beliau berkata pihaknya bersetuju supaya penangguhan singkat diberikan bagi membolehkan semua pihak meneliti sama ada cadangan tersebut boleh diterima dan dilaksanakan.
Susulan perkembangan itu, Roz Mawar menangguhkan prosiding ke Rabu ini pada 9 pagi melalui Zoom untuk membolehkan pihak terlibat memuktamadkan terma penyelesaian.
"Saya mengambil kira keperluan untuk memberikan peluang yang adil dan munasabah kepada semua pihak bagi mengemukakan pendirian masing-masing, prosiding juga perlu dijalankan dengan mengambil kira kecekapan pentadbiran keadilan.
"Proses mahkamah ini bertujuan memudah cara penyelesaian pertikaian dengan adil dan teratur. Oleh itu, proses tersebut tidak seharusnya digunakan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebagai kaedah untuk memberikan tekanan kepada mana-mana pihak atau memanjangkan pertikaian tanpa keperluan," kata hakim itu.
Mahkamah hari ini dijadualkan mendengar bantahan awal oleh pihak defendan yang mencabar penggunaan saman pemula dalam kes berhubung pembatalan pelantikan 10 bekas anggota Exco berkenaan.
Sepuluh Exco itu memfailkan saman pemula bagi mendapatkan tafsiran Perlembagaan Negeri dan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai defendan, manakala Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dibenarkan mencelah dan dimasukkan sebagai defenda ketiga dalam saman pemula itu.
Plaintif turut diwakili oleh peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Luqman Hakeem Abas, manakala defendan pertama juga diwakili oleh peguam Abdul Rashid Ismail, Siti Nurani Md Zahidi dan Diong Pei Jing.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli, Marisa Regina Mohd Aris Rizal dan Muhammad Yazid Mohamad Salim mewakili kerajaan negeri, manakala DKU diwakili oleh peguam Steven Thiru, David Mathew, Shafrin Halim dan Gurjeevan Singh.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan bahawa Ismail mengesahkan sudah menarik balik surat yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 Sept, serta pendirian yang sebelum ini dinyatakan oleh Exco berkenaan.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/111111_761458.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.