ULASAN l Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka, pada 14 November, dan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) bukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Umno, parti tunjang BN, kuat di selatan Semenanjung dan PH menang majoriti hanya sekali, ketika Pilihan Raya Umum 2018, di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Dalam PRU 2022, di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, PH menang 82 sahaja daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Anwar hanya berjaya tubuh kerajaan dan jadi perdana menteri dengan penyertaan BN. Anwar hendak jadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sedar tanpa kuasa bala besar akan menimpa.

Bermula PRU 2022 dan diikuti oleh Pilihan Raya Dewan Undangan di enam buah negeri pada 2023, PAS mencipta gelombang hijau. PH-BN kalah teruk. Umno mulai berasa yang persekongkolan dengan musuh ketatnya, DAP, tidak disenangi oleh orang Melayu.

Bila Umno mula mengkritik DAP dan merenggangkan perhubungan dengan PH, sokongan orang Melayu kepadanya mulai pulih, bermula dengan di kubu kuatnya, Johor, dan diikuti oleh Negeri Sembilan serta Melaka.

Namun kemenangan besar di tiga buah negeri ini bukan jaminan Umno berkeupayaan mendapat balik negeri-negeri utara dan pantai timur. PAS dan rakan-rakannya mustahil menyerahkan kerusi-kerusi yang mereka menangi di negeri-negeri itu untuk ditandingi oleh Umno. Umno hampir pupus di negeri-negeri berkenaan.

Yang jelas daripada keputusan PRN Melaka adalah kemerosotan berterusan PH, khususnya PKR dan Amanah. Anwar gagal memperkukuhkan PKR dari segi kepemimpinan dan sokongan pengundi.

Dalam PRN Melaka, daripada 28 kerusi yang ditandingi, PH menang empat saja dan semuanya oleh DAP. BN menang 21 dan Perikatan Nasional, tiga.

Kemerosotan populariti Anwar adalah luar biasa bagi seorang yang menanti begitu lama dan berusaha begitu keras untuk menjadi perdana menteri. Tapi disebabkan nepotisme dan tidak menghargai jasa pejuang asal reformasi, PKR berpecah-belah. Beliau dilihat lebih mengutamakan anak sendiri (Nurul Izzah) dan kawan baru (Ramanan Ramakrishnan).

BN dan PN pula menunjukkan gambaran bahawa wujud kerjasama antara mereka. Ini menyebabkan sesetengah pengundi Melayu tertarik dengan gabungan longgar itu.

Di permukaan, kerjasama itu nampak baik bagi orang Melayu yang anti-PH. Mereka melihatnya sebagai kesepakatan Umno dan PAS bagi menamatkan riwayat PH.

PAS, parti terbesar di Parlimen buat masa ini, sangat benci dengan PH kerana dalam PH ada Amanah. Amanah adalah parti serpihan PAS. PAS juga benci kepada PH, yang pernah dianggotainya dulu, kerana teruja dengan Anwar dan benci kepada Dr Mahathir.

Penyertaan dalam PH, dan sebelum itu Pakatan Rakyat (PR), bagaimanapun, didapati merugikan PAS. Akibat berbaik-baik dengan DAP, PAS ditolak oleh orang Melayu. Umno cepat sedar yang persekongkolannya dengan DAP, melalui PH dalam Kerajaan Madani, tidak disukai oleh penyokong.

Sekarang PAS dan Umno bekerjasama untuk hapuskan PH. Apa yang akan berlaku setelah matlamat itu tercapai, cerita lain. Tidak mustahil PAS dan Umno kembali bercakaran.

PAS tahu Umno tidak lagi sekuat dulu dan kepemimpinannya bukanlah yang terbaik. Malah PAS berkemungkinan dituduh bersekongkol dengan parti yang melakukan banyak kerosakan jika terus berpakat dengan Umno.

Dari sudut lain pula, adalah tidak masuk akal bagi PAS menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno sedang ia lebih besar dalam Parlimen. PAS tidak maksum, tetapi kepemimpinannya dilihat lebih berintegriti berbanding Umno.


A KADIR JASIN bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk ‘PH semakin laih’. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.