PH masih boleh kembali bersaing, kata penganalisis
Di sebalik kekalahan berturut-turut PH dalam tiga PRN, gabungan itu dilihat masih punya ruang untuk bangkit dan membetulkan keadaan, kata ahli akademik dan penganalisis, Mohd Yusri Ibrahim.
Hal itu kerana, katanya, para pemimpin PH terdiri daripada kalangan ahli politik yang berpengalaman, “hebat-hebat semuanya” dan pada logik akal, otak masing-masing sudah berkeupayaan memandu arah gabungan tersebut.
Namun langkah itu, kata Mohd Yusri, hanya boleh berlaku jika mereka bertindak dengan betul dan – lebih penting – segera.
Langkah yang perlu diambil pada pandangan ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu itu ialah menjadikan PH sebagai entiti politik yang aktif dan konstruktif.
“Majlis Presiden PH, sebagai contoh, boleh mula bermesyuarat secara mingguan.
“(Buat) Mesyuarat yang betul-betul mesyuarat, bukan sekadar one way briefing (taklimat satu hala),” katanya dalam hantaran di media sosial.
Malah pada pandangan Mohd Yusri tidak ada banyak alasan untuk badan tersebut bertemu dan bermesyuarat, apatah lagi ketika berdepan dengan situasi yang kritikal.
Jika kesuntukan masa atau sibuk, katanya, mesyuarat itu masih boleh diadakan pada jam 12 tengah malam, malah secara dalam talian seandainya perlu.
“Dalam tempoh krisis, biasalah bermesyuarat tengah-tengah malam.
“Kemudian disusul pula mesyuarat sekretariat untuk deliver semua keputusan majlis presiden tersebut, juga secara mingguan,” katanya.
Pandangan itu dilontarkan selepas keputusan PRN menyaksikan PH mengalami kekalahan sekali lagi. Selepas Johor dan Negeri Sembilan, parti gabungan itu gagal memberikan saingan bermakna di Melaka.
Kerjasama BN-PN menyaksikan mereka menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala PH menyusut daripada lima kepada empat.
Pun begitu secara berasingan, BN sebenarnya mengekalkan penguasaan mereka seperti PRN 2021 apabila masih menguasai 21 kerusi. Tiga kerusi lain itu dimenangi oleh PN melalui calon PAS dan Wawasan.
Menurut Mohd Yusri selepas PRN Melaka berakhir ramai yang bertanya menenai strategi yang boleh diambil PH untuk kekal mampu bersaing dalam pilihan raya.
Ketua Penyelidik Ihlam Centre itu menambah, PH perlu kembali menjadi parti yang aktif dan konstruktif seperti sebelum mereka menjadi kerajaan pada 2018.
Dengan cara itu, menurut Mohd Yusri, PH boleh kembali mendapat momentum.
Masalah yang ada ialah, pada pandangan penganalisis itu, sejak berada di Putrajaya jenama PH sebagai parti politik seakan-akan menghilang.
“Strategi politik mereka kurang menyengat, lemah mencipta naratif dan gagal mobilise (menggerakkan) massa.
“Barangkali masih sibuk dengan komitmen sebagai menteri, timbalan menteri, (menjaga) GLC dan sebagainya,” tambah Mohd Yusri.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/ae7abebc7e29e2c2a795dcaa178a31e1.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.