Adun: Kenapa yayasan kebajikan bayar kos mahkamah k'jaan Kedah?
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman Teh Swee Leong hari ini mempertikaikan kenapa derma melalui Yayasan Kedah Sejahtera, yang berteraskan kebajikan rakyat, digunakan untuk membayar kos mahkamah kerajaan negeri.
Beliau berkata adakah tindakan berkenaan dibenarkan di bawah perlembagaan yayasan dan mendapat kelulusan yang sewajarnya.
“Saya tidak mempertikaikan keikhlasan penyumbang, tetapi ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam mesti diutamakan.
“Mengapakah sebuah yayasan yang berteraskan kebajikan rakyat, digunakan untuk membayar kos mahkamah kerajaan negeri?,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Alor Setar hari ini.
ADUN DAP itu turut mempersoalkan ke manakah lebihan kutipan daripada RM233,676.31 itu disalurkan, sedangkan hanya RM50,000 diperlukan bagi membayar kos mahkamah, susulan keputusan menolak permohonan kebenaran merayu berhubung isu pengharaman lesen premis perjudian, di negeri itu.
Beliau turut mempersoalkan adakah penyata penuh kutipan derma melalui yayasan itu, serta perbelanjaannya akan didedahkan kepada umum.
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.