BN tidak terikat untuk memilih mana-mana rakan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), malah masih mempunyai pilihan untuk bergerak solo, kata penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Yusri Ibrahim berkata, pendirian Presiden Umno , Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan BN belum memuktamadkan hala tuju politiknya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, BN kini dilihat masih meneliti strategi terbaik, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan parti lain atau bertanding secara bersendirian.

“BN belum benar-benar yakin dan belum memutuskan untuk bergerak bersendirian. Tetapi kenyataan tersebut menunjukkan BN masih mempertimbangkan strategi terbaik untuk mereka menuju PRU16 nanti, sama ada bergerak solo atau berkolisi dengan mana-mana parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Ahmad Zahid berkata BN belum merancang untuk membentuk kerjasama atau persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRU16.

Ahmad Zahid, berkata BN akan mengadakan perbincangan dengan PN apabila tiba masanya, selepas formula kerjasama politik antara kedua-dua gabungan itu terbukti membawa kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka.

Perkembangan itu hadir ketika BN dan PN mula memperlihatkan kerjasama lebih ketara di peringkat negeri, meskipun kedua-duanya berada dalam blok politik berbeza di peringkat persekutuan.

Dalam PRN Negeri Sembilan pada Ogos lalu, BN dan PN mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri. BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi.

Kerjasama itu diteruskan dalam PRN Melaka pada 14 Nov apabila BN dan PN bertanding di kawasan berbeza. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Secara keseluruhan, kedua-dua gabungan itu menguasai 24 kerusi di Melaka, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga DUN.

PRN Johor pada Julai lalu pula menyaksikan BN menang bergaya dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi, manakala PN gagal memenangi sebarang kerusi.

Bagaimanapun, kerjasama BN-PN di peringkat negeri itu berbeza daripada kedudukan di peringkat persekutuan apabila BN menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim bersama PH selepas PRU15 pada 2022, manakala PN kekal sebagai pembangkang.

Yusri berkata sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan PN perlu mengambil kira perbezaan landskap politik antara negeri kerana kesannya terhadap BN tidak semestinya sama.

Katanya, kerjasama itu mungkin menguntungkan BN di sesetengah negeri, tetapi boleh memberikan kesan sebaliknya di negeri lain.

Dia mengambil contoh negeri-negeri dalam kelompok SG4 dengan mempersoalkan jumlah kerusi yang boleh ditandingi BN sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan PN.

“Jika bekerjasama dengan PN, berapa kerusi mereka dibenarkan bertanding?” soalnya yang juga ketua penyelidikan Ilham Centre.

Menurut Yusri, pertimbangan sama turut terpakai di peringkat persekutuan kerana strategi kerjasama politik perlu disesuaikan dengan keadaan dan kepentingan masing-masing.

Pensyarah UMT itu berkata perkembangan politik semasa menunjukkan kerjasama antara parti boleh berbeza mengikut negeri dan tidak semestinya selari dengan gabungan di peringkat persekutuan.

Sebagai contoh, katanya, PH bekerjasama dengan BN di peringkat persekutuan, manakala di Negeri Sembilan dan Melaka, BN bekerjasama dengan PN.

“Politik sekarang sangat dinamik, rakyat semakin dinormalisasikan dengan politik model begini. Contohnya sekarang PH-BN di persekutuan. Tapi di N9 dan Melaka, BN-PN,” katanya.

Yusri berkata keadaan itu menunjukkan parti-parti politik mempunyai ruang untuk menentukan bentuk kerjasama berdasarkan perkiraan dan kepentingan masing-masing, termasuk memilih untuk bergerak solo di negeri tertentu.