Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hingga menyaksikan gabungan itu memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih dua pertiga bukan sesuatu yang luar biasa, kata Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin.

Dia berkata, kemenangan itu juga tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak terhadap kekuatan politik gabungan itu di peringkat nasional.

Jasri Jamaludin, Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang

"Landskap politik setiap negeri mempunyai dinamika yang berbeza.

"Melaka sememangnya dikenali sebagai kubu tradisi Umno-BN yang telah lama memihak kepada gabungan itu.

"Namun, keputusan di negeri berkenaan tidak boleh diterjemahkan secara terus sebagai gambaran sokongan pengundi di seluruh negara," katanya melalui satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Jasri menegaskan realiti politik di negeri-negeri lain jauh berbeza dari segi sentimen pengundi, komposisi masyarakat dan kecenderungan politik.

Katanya, faktor tersebut menyebabkan keputusan PRN Melaka tidak semestinya mencerminkan corak pengundian di negeri lain.

"Justeru, keputusan di Melaka wajar dilihat dalam konteksnya sendiri, bukannya dijadikan asas untuk meramalkan kedudukan politik di peringkat nasional.

"Pertaruhan sebenar bagi mana-mana gabungan politik adalah di seluruh negara, bukan sekadar di kubu tradisi yang sudah lama memihak kepada Umno-BN," katanya.

Jasri dalam masa yang sama menggesa semua pihak agar tidak terlalu selesa atau terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan keputusan Melaka, sebaliknya menilai kekuatan sebenar melalui sokongan pengundi di pelbagai negeri dengan latar belakang politik berbeza.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, BN dan PN secara rasmi memenangi 24 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan pula mengekalkan empat kerusi dimenangi sebelum ini, iaitu di Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana yang diwakili calon daripada DAP.