Adun Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor daripada Bersatu digugurkan sebagai Timbalan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kelantan berkuatkuasa 11 Nov lalu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Bersatu Kelantan, Mohd Wira Arjuna Muhamad.

"Perkara ini dimaklumkan untuk perhatian semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahari menjadi Adun kedua daripada Bersatu digugurkan selepas Adun Ayer Lanas Kamaruddin Mohd Noor tidak disambung khidmatnya sebagai exco kerajaan Kelantan berkuat kuasa 9 Nov susulan konflik yang tercetus antara Bersatu dan PAS.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan dilapor berkata, keputusan tidak menyambung pelantikan Kamaruddin yang juga Ketua Bersatu Kelantan mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Dia berkata susulan keputusan itu, dua portfolio yang sebelum ini disandang Kamaruddin akan diagihkan kepada dua exco sedia ada, bagi memastikan kelancaran urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, nasib Adun Paloh Shaari Mat Hussain daripada Bersatu masih belum diketahui.

Bagaimanapun dia yang memegang jawatan Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi dijangka akan mengikut jejak Bahari.