Wakil PN bakal dilantik exco Melaka - Ab Rauf
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka baharu yang bakal dilantik akan menampilkan kesemua wakil daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata pelantikan barisan Exco itu akan diperhalusi dengan mengambil kira kemampuan dan keupayaan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan.
Beliau berkata pihaknya memerlukan pasukan yang mempunyai daya saing serta pemikiran kreatif bagi bersama-sama memajukan Melaka ke satu tahap yang lebih baik.
"Pastinya akan diwakili semua parti dalam barisan Exco baharu ini yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan pengamal media akan dipanggil untuk diberi makluman tentang pelantikan berkenaan.
"Saya akan membentuk satu pasukan kerja yang terbaik untuk bersama-sama saya memajukan Melaka dan disokong semua agensi dan penjawat kerajaan bagi melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan rakyat," katanya kepada pemberita di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian selepas selesai “clock in” bagi memulakan hari pertama tugasan rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 yang turut disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.
Ab Rauf berkata pasukan berkenaan akan mendengar setiap suara, cadangan, pandangan atau keluh-kesah rakyat sama ada dari aspek pentadbiran, kemasyarakatan atau keperluan rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya, sekali gus menjadi dasar kerajaan negeri bagi penambahbaikan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mula melaksanakan 113 inisiatif di bawah enam teras manifesto yang ditawarkan BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dalam tempoh 100 hari pertama selepas barisan Exco berkenaan dilantik.
Beliau berkata manifesto itu juga akan menjadi garis panduan setiap Exco kerajaan negeri bagi memastikan setiap janji kepada rakyat dapat ditunaikan mengikut jadual ditetapkan.
"Kita tidak mahu apabila tiba hujung tahun, kita tidak dapat mencapai apa yang diinginkan dan dirancang dan setiap Exco juga ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai," katanya.
Beliau berkata penjawat awam di Melaka juga diminta membantu pelaksanaan setiap manifesto yang dirangka itu bagi memastikan segala perancangan dan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan serta disampaikan kepada rakyat secara menyeluruh.
Gabungan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 24 daripada 28 kerusi dipertandingkan pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lepas.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/m2_722058.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.