Keluarga Noorizwan desak AGC percepat tindakan, mahu polis didakwa tuduhan bunuh
Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mempercepat tindakan terhadap anggota polis yang terbabit dalam kematiannya, sambil menegaskan mereka tidak akan setuju dengan sebarang pertuduhan selain membunuh.
Noorizwan meninggal dunia pada 1 Okt lalu selepas ditahan dalam lokap polis Cheras. Menurut laporan bedah siasat, kematian lelaki berusia 42 tahun itu berpunca daripada kecederaan akibat hentakan objek tumpul di kepala, manakala 21 kecederaan lain turut ditemukan pada tubuhnya.
Sebulan selepas kematiannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, namun keputusan itu dibantah keras oleh pihak keluarga.
Seksyen 331 berkaitan perbuatan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi mendapatkan pengakuan, satu pertuduhan yang menurut keluarga tidak mencerminkan kecederaan serius yang membawa kepada kematian Noorizwan.
"Ini bukan kes seseorang yang mengalami kecederaan atau dipukul dalam apa jua keadaan. Dia (Noorizwan) sudah meninggal dunia.
"Kami mahu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, bukannya Seksyen 331," kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljuneid kepada pemberita di luar AGC hari ini.
Dalam memorandum yang diserahkan hari ini, kumpulan itu meminta penjelasan sama ada AGC sudah menerima kertas siasatan berhubung kematian Noorizwan.
/file/attachments/orphans/1312412312312_526005.png)
Memorandum itu turut menggesa AGC mengambil tindakan mendakwa anggota polis terbabit atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta memberikan penjelasan bertulis kepada keluarga mengenai keadaan yang membawa kepada kematiannya.
Memorandum itu diterima bagi pihak AGC oleh Ketua Unit Komunikasi Strategiknya, Amir Khusairi.
Sementara itu, abang Noorizwan, Nooranis Zulkefly mengkritik AGC kerana berdiam diri berhubung perkara itu, sambil berkata keluarga berhak mendapat perkembangan terkini mengenai perkembangan siasatan.
Peguam Dina Zamri pula berkata cara AGC mengendalikan kes itu akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi negara, khususnya polis dan badan pendakwaan.
Dia mempersoalkan bagaimana rakyat Malaysia akan mempercayai institusi yang dipertanggungjawabkan melindungi mereka sekiranya pihak berkuasa gagal memberikan penjelasan berhubung kematian dalam tahanan polis.
"Polis tidak boleh sekadar menyerahkan kertas siasatan kepada AGC dan AGC pula terus berdiam diri. Kamu perlu menjalankan tugas," katanya.
Keluarga dan peguam mereka turut berikrar akan terus mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan sehingga kes itu disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 302.
Nooranis turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan membiarkan memorandum itu dipandang sepi.
"Kami tidak mahu memorandum ini sekadar menjadi sekeping kertas yang ditinggalkan di atas meja seseorang sebelum akhirnya dibuang ke dalam tong sampah," kata Nooranis.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AyeshaSheikMazrul1_389534.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.