PARLIMEN | Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyediakan pelan tindakan bagi memastikan isu tunggakan bil rawatan kesihatan membabitkan pelarian dan pendatang tanpa izin tidak berlarutan, kata Shahelmey Yahya (BN-Putatan).

Dia membangkitkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung pengurusan pelarian di Malaysia, yang mendapati tunggakan bil hospital mencecah RM1.06 juta tahun lalu, dengan Sabah merekodkan jumlah tunggakan tertinggi.

Bagaimanapun, laporan yang diterbitkan di laman web Parlimen pada Julai itu tidak memperincikan jumlah tunggakan khusus bagi Sabah.

Menurut Shahelmey, keadaan itu memberi gambaran bahawa pelarian di negara ini mengambil kesempatan terhadap keterbukaan kerajaan dan menerima layanan istimewa berbanding penduduk tempatan.

"Jika senario tersebut tidak ditangani dengan betul, perbelanjaan mengurus bagi sektor kesihatan awam perlu ditingkatkan setiap tahun semata-mata untuk menampung kos luar jangka daripada perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada golongan pelarian," katanya ketika membahas Belanjawan 2027 bagi KKM di Parlimen hari ini.

Shahelmey berkata, perkhidmatan kesihatan awam di Sabah akan menjadi lebih kritikal apabila KKM turut perlu memberikan perhatian kepada pelarian dan pendatang asing.

Katanya, peningkatan perbelanjaan tahunan kementerian sepatutnya ditumpukan kepada usaha memperkukuh mutu perkhidmatan kesihatan untuk penduduk tempatan, khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, dia menggesa KKM memberikan penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan.

Pusat data dan kesihatan mental

Dalam perkembangan lain, Halimah Ali (PAS- Kapar) yang turut berbahas di peringkat Jawatankuasa bagi KKM membangkitkan isu kesihatan mental yang mernurunya perlu diberi perhatian ketika kerajaan ghairah membangunkan pusat data kecerdasan buatan (AI).

Katanya, Malaysia sedang berlumba membangunkan pusat data dengan pelaburan berbilion ringgit dalam infrastruktur digital, kecerdasan buatan dan teknologi masa depan.

"Data center ini adalah artificial intelligence, kecerdasan buatan, otak kita ini adalah natural intelligence, human intelligence.

"Jadi, saya bertanya dalam keghairahan kita membina pusat maklumat untuk memproses maklumat digital, sejauh manakah kita melabur untuk memahami, melindungi dan merawat pusat pemprosesan maklumat manusia yang paling kompleks, iaitu otak kita sendiri, neurology," katanya.