Ahmad Maslan mohon maaf pada PM, tarik balik pantun 'kencing'
Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kontroversi "pantun kencing" yang dipercayai menyindir Pakatan Harapan (PH) ketika sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.
Surat permohonan maaf Ahmad yang bertarikh 17 November diserahkan ke pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri hari ini.
Permohonan maaf itu dibuat Ahmad dipercayai susulan desakan Ahli Parlimen PH yang menuntut dia meletakkan jawatan.
Melalui surat yang dilihat Malaysiakini, Ahmad mengakui kekhilafan kata-katanya termasuk pantun yang dilafazkan ketika sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.
"Saya sememangnya gemar berpantun dalam penyampaian ucapan. Pantun tersebut tidak terkandung dalam teks penggulungan dan disampaikan ketika menjawab dua pertanyaan ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
"Walau bagaimanapun, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata tersebut dan perkataan 'kencing' dalam pantun berkenaan telah saya tarik balik di Parlimen," kata Ahmad dalam surat berkenaan.
Pada 16 November lalu, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ahmad diarah menarik balik perkataan “kencing” dalam pantun yang dibacakannya selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun membantah, menyifatkannya sebagai sindiran terhadap PH.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-16112026-36_307284.jpg)
Kekecohan tercetus ketika perbahasan peringkat jawatankuasa apabila Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun mencelah untuk bertanya sama ada janji yang didakwa belum ditunaikan itu dibuat sekadar untuk memenangi pilihan raya.
Ahmad (BN-Pontian) menjawab bahawa masih banyak janji yang belum ditunaikan, sebelum bertanya sama ada Dewan mahu mendengar pantun.
Susulan insiden itu, sekumpulan ahli Parlimen PH dalam sidang media berasingan mencabar Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri susulan pantun yang dianggap menyindir pentadbiran perdana menteri.
Rayer yang turut serta dalam sidang media itu turut mendesak supaya Ahmad meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi sehaluan dengan perdana menteri.
Sementara itu, Ahmad melalui surat berkenaan menyatakan sokongan penuhnya kepada pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal serta akan menjalankan tugas sebagai anggota pentadbiran dengan baik.
"Saya tidak berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan," tambahnya.
Ahmad dalam surat berkenaan turut menyampaikan pantun khusus buat Anwar yang berbunyi:
Bunga rimbun, cantik tercipta,
Berakar umbi, menambah seri,
Maaf dipohon, saya pinta,
Kepada YAB, Perdana Menteri.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/12313123_737118.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.