Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Set 2/8 Setia Eco Templer, Selayang di Kuala Lumpur petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.19 petang.

Beliau berkata enam anggota berserta dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.

Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang Jalan Eco Templer, Selayang

“Setibanya di lokasi pada 2.28 petang, komander operasi melaporkan terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah lori Isuzu serta sebuah motosikal Yamaha Nmax.

“Terdapat seorang penunggang motosikal lelaki tersepit dan tidak sedarkan diri. Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Ashrul Riezal berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.35 petang, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan.

Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang Jalan Eco Templer, Selayang

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kerja mengalihkan pokok tumbang selesai sepenuhnya.

- Bernama