Malaysia siasat dakwaan hab pemindahan cip AI, minta penjelasan sekatan baru AS
Malaysia sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung sekatan baharu ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI), khususnya mengenai keperluan pelesenan serta penyediaan perkhidmatan pusat data kepada pihak ketiga.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani berkata Malaysia berhubung dengan pihak berkuasa AS termasuk Kedutaan AS dan wakil perdagangannya bagi mendapatkan perincian rasmi mengenai peraturan tersebut serta implikasinya terhadap pengendali pusat data.
Johari berkata Malaysia akan memaklumkan kepada pemegang kepentingan kesemua 117 projek pusat data yang diluluskan untuk memastikan pematuhan sebaik sahaja Washington memaklumkan secara rasmi mengenai keperluan tersebut.
Sebahagian daripada pusat data itu sudahpun beroperasi, manakala yang lain sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata pengendali yang ingin mendapatkan unit pemprosesan grafik (GPU) keluaran AS untuk pusat data mereka perlu mematuhi peraturan AS, termasuk keperluan pelesenan serta prosedur usaha wajar yang dikenakan terhadap pembeli.
“Jika anda mahukan cip GPU dari AS untuk pusat data anda, anda perlu mematuhi peraturan AS. Sesiapa yang bersedia untuk mematuhinya, patuhi (peraturan itu), kemudian barulah anda boleh membeli cip tersebut,” katanya kepada wartawan Malaysia di luar acara Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC, di Shenzhen, hari ini.
Johari berkata bagi pembeli yang pelanggannya terdiri daripada syarikat atau penyedia perkhidmatan berskala besar AS keperluan pelesenan mereka boleh disahkan, manakala urus niaga yang melibatkan pelanggan dari negara lain mungkin memerlukan penelitian menyeluruh serta pemeriksaan 'kenali pelanggan anda' (KYC) oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Beliau berkata Malaysia tidak mengeluarkan cip tersebut, sebaliknya menyediakan kemudahan bagi operasi pusat data, justeru, pengendali yang menggunakan GPU dari AS perlu mematuhi peraturan yang mengawal selia teknologi berkenaan.
Mengenai dakwaan Malaysia dijadikan sebagai hab pemindahan bagi cip AI yang dikenakan sekatan eksport itu, Johari berkata kerajaan sedang menjalankan siasatan.
Beliau menegaskan kerajaan masih belum menerima sebarang bukti dokumen rasmi yang menunjukkan penyewa pusat data memperdagangkan atau mengeksport semula cip tersebut.
Katanya siasatan akan merangkumi semakan dengan pihak Kastam bagi menentukan sama ada terdapat sebarang GPU yang dieksport semula, termasuk mengenal pasti pihak yang terlibat serta meneliti senarai muatan penghantaran dan pengisytiharan yang berkaitan.
“Saya masih belum melihat dokumen yang menunjukkan bahawa sesetengah pemain ini, iaitu penyewa yang mengendalikan pusat data tersebut, memperdagangkan cip itu.
“Jika mereka melakukan eksport semula, kami ingin tahu siapa pihak tersebut, dan mereka perlu mengemukakan senarai muatan yang telah mereka serahkan. Hanya selepas itu barulah kami boleh mengambil tindakan lanjut. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tuduhan,” katanya.
Beliau berkata AS sebagai pengeluar cip tersebut, harus menjalankan siasatan rapi terhadap pembeli dan memaklumkan kepada Malaysia mengenai syarikat yang berhasrat membawa masuk GPU ke dalam negara bagi tujuan operasi pusat data, sekali gus membolehkan pihak berkuasa memantau penggunaannya.
Johari berkata Malaysia komited untuk memastikan perniagaan yang beroperasi di negara ini mematuhi peraturan dan undang-undang termasuk yang dikenakan oleh negara lain bagi melindungi harta intelek dan teknologi strategik.
Malaysia mengalu-alukan pelaburan pusat data, namun pengendali perlu mematuhi peraturan yang mengawal selia cip jika mereka ingin terus beroperasi di negara ini, katanya.
Beliau berkata sekatan baharu AS itu tidak semestinya menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, namun boleh membawa implikasi kepada pengendali yang gagal mematuhi peraturan tersebut, terutamanya dalam mendapatkan pelanggan.
Johari berkata Malaysia juga sedang mendapatkan penjelasan mengenai sekatan terkini yang merangkumi penyediaan perkhidmatan pusat data, memandangkan peraturan tersebut menjangkaui aspek eksport semula fizikal GPU, malah turut merangkumi penggunaan kapasiti pengkomputeran bagi pihak ketiga.
Beliau berkata Malaysia masih belum menerima garis panduan rasmi mengenai perkara itu dan terus berhubung dengan pihak berkuasa AS bagi memahami skop sekatan tersebut serta bagaimana pematuhannya akan dipantau.
Pentadbiran Donald Trump pada Isnin mengeluarkan satu peraturan yang menetapkan sekatan baharu ke atas eksport cip ke pusat data di luar negara, yang membolehkan syarikat China memperoleh akses kepada cip AI berteknologi tinggi untuk melatih model AI mereka.
Peraturan itu juga mewajibkan syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil untuk memohon lesen eksport AS bagi cip teknologi paling canggih, bertujuan untuk mengurangkan risiko cip tersebut dialihkan secara haram.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/32af91afb52bc84e18722ef3c11d8302.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.