Fama kesan mangga import guna jenama Harummanis Perlis
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis mengesan terdapat mangga import dijual dalam talian sebagai harum manis menggunakan jenama Harumanis Perlis, kata Pengarahnya Mohd Anzara Azizan.
Beliau berkata perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan pematuhan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 Nov.
“Pemeriksaan mendapati syarikat itu memasarkan mangga import dari Indonesia dan wakil syarikat gagal mengemukakan bukti buah itu ialah varieti Harumanis Perlis.
“Oleh itu, pegawai penguat kuasa mengarahkan syarikat itu menggunakan nama produk sebenar dalam pemasaran termasuk siaran langsung di platform digital dan menurunkan hantaran berkaitan Harumanis Perlis serta memaparkan maklumat pelabelan yang diwajibkan,” katanya pada sidang media di Kangar.
Mohd Anzara berkata pihaknya akan mempergiat pemantauan terhadap penjualan mangga import bagi memastikan penggunaan nama, pelabelan dan maklumat asal produk tidak mengelirukan pengguna, khususnya membabitkan identiti Harumanis Perlis.
Beliau berkata Harumanis Perlis bukan sekadar nama buah, tetapi mempunyai identiti, reputasi serta nilai ekonomi tersendiri kepada pengusaha dan negeri selain telah didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi (GI).
Mohd Anzara berkata pihaknya tidak menghalang penjualan buah import yang mematuhi syarat dan peraturan namun perlu menggunakan nama sebenar serta menyatakan tempat asal, penggredan dan maklumat pelabelan dengan jelas.
Beliau berkata FAMA bertanggungjawab memastikan identiti sebenar sesuatu produk, tempat asal, penggredan, pembungkusan dan pelabelannya dinyatakan secara jelas supaya tidak mengelirukan pengguna.
“FAMA Perlis melalui Unit Regulasi Pasaran menjalankan pemantauan terhadap penjualan mangga import secara fizikal dan dalam talian termasuk menyemak paparan jualan, label harga serta negara asal produk,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/HarumanisPerlis1_873648.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.