ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid, Anwar dipersoal sambut ketua junta
Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan tindakan Malaysia menyambut pemimpin junta tentera Myanmar Min Aung Hlaing pada 8 Oktober lalu, kata Charles Santiago.
Bekas ahli parlimen Klang membuat gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya.
"Buat pertama kali, mahkamah tertinggi dunia memutuskan sebuah negara bertanggungjawab kerana melakukan genosid dalam penghakiman mengenai merit kes.
"Ini kemenangan amat besar bagi Rohingya, khususnya mangsa terselamat yang hampir sedekad menuntut pengiktirafan, akauntabiliti dan keadilan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/69a6b2baf47ae9f7869bf68251242f01.jpg)
"Keputusan ini turut membuktikan kewajaran tindakan Gambia yang mengambil langkah luar biasa membawa Myanmar ke ICJ pada 2019," kata Charles pada kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pada 2007, ICJ mendapati Serbia gagal mencegah genosid di Srebrenica, tetapi tidak memutuskan negara itu melakukan genosid terhadap etnik Bosnia.
Gambia memfailkan kes berkenaan pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah PBB.
Pada 23 Januari 2020, ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah mencegah perbuatan genosid dan memelihara bukti berkaitan kes itu.

Pada 2022, mahkamah menolak bantahan awal Myanmar terhadap bidang kuasanya, sekali gus membolehkan kes berkenaan diteruskan.
Perbicaraan mengenai merit kes berlangsung dari 12 hingga 29 Januari 2026, termasuk keterangan saksi dan seorang pakar.
ICJ mengadili pertikaian antara negara. Prosiding ini menentukan tanggungjawab negara Myanmar di bawah Konvensyen Genosid manakala ICJ tidak mendakwa individu.
Charles berkata keputusan terbaru ICJ itu merupakan kali pertama mahkamah berkenaan mendapati sesebuah negara bertanggungjawab kerana melakukan genosid dalam penghakiman merit, sekali gus menjadi kemenangan besar bagi Rohingya yang hampir sedekad menuntut pengiktirafan, akauntabiliti dan keadilan.
/file/1150/7831fa165f770027ece828aacf9f11b4.jpeg)
Mahkamah mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual berleluasa dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak, menyerang mereka yang melarikan diri serta memusnahkan kampung.
Sementara itu, Charles memuji Gambia kerana membawa Myanmar ke mahkamah antarabangsa sambil mempersoalkan usaha Malaysia membantu memulihkan perwakilan politik penuh Myanmar dalam Asean ketika negara itu berdepan keputusan ICJ berhubung genosid.
Asean mengehadkan perwakilan Myanmar kepada wakil bukan politik dalam sidang kemuncak dan mesyuarat menteri luarnya susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.
Selepas rampasan kuasa itu, Asean mencapai Konsensus Lima Perkara yang antara lain menuntut penghentian keganasan, dialog antara pihak berkepentingan, usaha pengantaraan oleh utusan khas Asean serta bantuan kemanusiaan.
Namun, kegagalan junta menunjukkan kemajuan bermakna dalam melaksanakan konsensus itu menyebabkan Asean mengekalkan sekatan terhadap penyertaan pemimpin junta dalam kedua-dua mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini mempertahankan penglibatan langsung Malaysia dengan Myanmar, termasuk lawatan pemimpin jutan itu pada Oktober, sebagai sebahagian usaha mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap krisis negara itu.
“Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka Asean dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus," katanya pada Sidang Kemuncak Asean, 16 November lalu.
Sementara itu, Charles berkata pemulihan perwakilan politik penuh Myanmar dalam Asean tidak seharusnya dianggap sebagai ganjaran diplomatik atau laluan untuk memulihkan legitimasi antarabangsa junta.
Sebaliknya, katanya, proses itu perlu bergantung pada perubahan politik dan institusi yang konkrit, penghentian keganasan, penglibatan bermakna dengan semua pihak berkepentingan serta pematuhan terhadap kewajipan antarabangsa.
“Memberikan legitimasi sebelum akauntabiliti bukan diplomasi, tetapi tindakan mengalah,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/01/81aeb08de0d0b71ddd782fac8416c474.jpg)
Charles menggesa Asean menjadikan keputusan ICJ itu sebagai titik perubahan dengan menggunakan pengaruh diplomatik dan politiknya untuk memastikan Myanmar mematuhi arahan mahkamah.
Ini termasuk menekan Myanmar mengambil langkah berkesan untuk mencegah genosid, menyiasat dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab, memelihara bukti serta menjamin kejadian seumpama itu tidak berulang.
ICJ semalam mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada Rohingya atas pelanggaran yang dilakukan, dengan butirannya akan ditentukan kemudian.
Mahkamah Dunia itu juga memerintahkan Myanmar untuk membenarkan “kepulangan yang selamat dan bermaruah ke tempat kediaman mereka” serta penyatuan semula keluarga Rohingya yang terpisah akibat tindakan negara itu.
Charles mencadangkan Asean mewujudkan mekanisme pemantauan yang boleh dipercayai, melibatkan pakar hak asasi manusia bebas serta menilai secara berkala tahap pematuhan Myanmar terhadap keputusan mahkamah.
Bagaimanapun, dia mengakui pelaksanaan keputusan ICJ berdepan cabaran kerana mahkamah itu tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan sendiri manakala junta Myanmar sebelum ini berulang kali menunjukkan keengganan untuk tunduk kepada tekanan antarabangsa.
Charles turut menggesa negara lain mempertimbangkan sekatan bersasar dan tindakan bersama terhadap pemimpin tentera serta pihak yang membiayai atau menyokong junta, termasuk pembekuan aset jika dibenarkan undang-undang.
Katanya, masyarakat antarabangsa perlu menggunakan tempoh dua tahun yang ditetapkan mahkamah untuk Myanmar melaporkan langkah pemulihan serta jumlah dan bentuk pampasan bagi menuntut kemajuan yang boleh diukur, bukannya sekadar menunggu laporan seterusnya.
“ICJ telah bersuara. Kini dunia perlu bertindak,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/PrimeMinistersOfficeofMalaysia435345_704347.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.