46 kecederaan pada tubuh: Keluarga Noorizwan terus tuntut keadilan
Laporan bedah siasat rasmi merekodkan sebanyak 46 kecederaan luaran pada tubuh Noorizwan Zulkefly, dengan peguam menyifatkan kematiannya sebagai antara kes kematian dalam tahanan paling buruk pernah berlaku.
Laporan yang didedahkan kepada umum hari ini disediakan oleh pakar patologi dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jumlah 46 kecederaan itu lebih dua kali ganda berbanding 21 kecederaan yang dilaporkan sebelum ini.
Kecederaan ditemukan dari bahagian kepala hingga kaki Noorizwan. Laporan itu turut mengenal pasti pendarahan di sekitar otak akibat hentakan objek tumpul sebagai punca kematiannya.
Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran berkata, penemuan itu lebih serius berbanding kes A Kugan yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada 2009. Ketika itu, sebanyak 45 kecederaan direkodkan pada tubuh Kugan.
Dia berkata, tahap kecederaan yang dialami Noorizwan amat membimbangkan kerana kesannya ditemukan pada hampir seluruh tubuh, sekali gus menunjukkan mangsa mengalami keganasan fizikal yang serius.
/file/attachments/orphans/infografik_46_tanda_kecederaan_BM_842958.png)
"Penemuan ini tidak dapat disangkal. Ringkasnya, dia (Noorizwan) dipukul sehingga mati," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Laporan bedah siasat itu turut menyatakan kecederaan berkenaan berkemungkinan dilakukan oleh seorang atau lebih individu dan berlaku dalam tempoh tiga hari sebelum kematiannya.
Di luar batas kemanusiaan
Antara kecederaan lain yang direkodkan termasuk lebam teruk pada dahi, pelipis dan kedua-dua belah kepala serta bengkak di sekitar kedua-dua mata.
Pemeriksaan dalaman mendapati terdapat pendarahan meluas di bawah kulit kepala, pendarahan di sekitar otak serta lebam pada bahagian bawah kanan hadapan otak.
Laporan itu turut merekodkan dua kecederaan pada pergelangan tangan Noorizwan yang konsisten dengan kesan akibat penggunaan gari, selain beberapa kesan lebam dan luka melecet pada tangan, kaki serta tapak kakinya.
/file/attachments/orphans/453234432234324_895682.png)
Adik Noorizwan, Nooranis Zulkefly berkata, penemuan itu menyebabkan keluarganya sukar membayangkan tahap keganasan yang dialami adiknya.
"Sehingga hari ini, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana arwah adik saya mampu menanggung penyeksaan selama 10 hari. Bagaimana dia boleh diperlakukan dengan begitu kejam tanpa sedikit pun rasa kemanusiaan?" katanya.
Susulan pendedahan laporan bedah siasat rasmi itu, Nooranis mempersoalkan tindakan lanjut yang masih ditunggu pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan.
Dia turut mengulangi kritikan terhadap polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Dalam Negeri kerana tiada tindakan diambil walaupun sudah 50 hari sejak kematian adiknya.
"Apa lagi yang cuba kamu sembunyikan? Saya tidak akan berundur sehingga mendapat jawapan," katanya.
Keluarga mahu pertuduhan membunuh
Noorizwan, 42, ditahan pada 20 Sept dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selama kira-kira 10 hari sebelum dibawa ke HCTM pada 30 Sept. Dia meninggal dunia di hospital itu pada jam 1.52 pagi keesokan harinya.
Keluarganya sebelum ini mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau kemasukan Noorizwan ke hospital dan hanya mengetahui kematiannya selepas itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/10/8cba8fd08acadc3ce1c31c0f040f6c57.jpg)
Kira-kira sebulan selepas kematiannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, keluarga Noorizwan membantah keputusan itu kerana Seksyen 331 memperuntukkan kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi mendapatkan pengakuan. Mereka berpendapat peruntukan itu tidak menggambarkan kecederaan yang membawa kepada kematian Noorizwan.
Keluarga bersama peguam mereka mendesak kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka turut membawa tuntutan berkenaan kepada beberapa pihak berkuasa, termasuk AGC awal minggu ini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/4_464275.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.