Membiayai pembantaian Gaza: Apa bank gergasi buat untuk Israel?
Ketika dunia melangkah masuk ke tahun baru pada 2022, satu jawatankuasa di Ibu Pejabat Deutsche Bank di Frankfurt bersiap sedia untuk membincangkan kemungkinan bank tersebut harus meneruskan urus niaga yang berpotensi menjejaskan reputasinya.
Dalam agenda mesyuarat 12 Jan itu, terdapat perbincangan mengenai jaminan bayaran pendahuluan berjumlah €11.4 juta kepada syarikat pengeluar peralatan pertahanan Jerman, Renk GmbH (Renk), bagi membiayai kontrak dengan Kementerian Pertahanan Israel yang akan berterusan sehingga 2027.
Renk dikontrakkan untuk menghasilkan kotak gear kereta kebal Merkava 4. Penghantaran pertama produk tersebut dijadualkan pada Sept 2024.
Satu dokumen yang meneliti urus niaga tersebut berada di meja para pembuat keputusan Deutsche Bank sejak 16 Dis 2021.
Seorang peguam bank tersebut merupakan antara individu yang memberikan pandangan. Dia berpendapat urus niaga berkenaan melibatkan "produk pembiayaan perdagangan yang biasa (plain vanilla) dan tidak membawa sebarang risiko reputasi ketara."
Dia menyatakan bahawa kemungkinan urus niaga itu diketahui umum adalah "sangat rendah". Namun, tambahnya, risiko tersebut akan menjadi lebih rendah jika jaminan pembiayaan dibuat melalui bank Israel bagi pihak Deutsche Bank.
Peguam itu berkata, kotak gear tersebut tidak dikategorikan sebagai senjata di bawah Akta Senjata Ketenteraan Jerman, dan Renk akan mendapatkan lesen untuk mengeksportnya.
"Saya menyokong urus niaga ini," katanya. Urus niaga itu diteruskan.
Merkava 4 serang orang awam
Pada Jan 2024, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun, Hind Rajab, menghubungi perkhidmatan kecemasan Palestin dan merayu agar diselamatkan. Hind dan enam ahli keluarganya sedang melarikan diri daripada serangan Israel di Gaza apabila kereta yang dinaiki mereka ditembak.
Pada ketika itu, Hind satu-satunya yang masih hidup.
Selepas berjam-jam rundingan untuk laluan selamat, sebuah ambulans yang dalam perjalanan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dipintas. Beberapa hari berlalu sebelum mayat anggota penyelamat, Hind, dan keluarganya dapat ditemui.
Sebanyak 335 kesan tembakan peluru ditemui pada kereta keluarga Hind.
Kerajaan Israel pada mulanya menyatakan tiada pasukan mereka berada di lokasi, dan kemudian mendakwa kesan tembakan itu berpunca daripada pertempuran. Bagaimanapun, imej satelit dan analisis audio insiden tersebut oleh Forensic Architecture – sebuah kumpulan penyelidik di Goldsmiths, University of London – mendapati Pasukan Pertahanan Israel (IDF) satu-satunya pihak yang ada di tempat kejadian.
Dalam dokumen yang diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada Okt 2025, Yayasan Hind Rajab mendakwa kereta kebal yang terlibat ialah jenis Merkava 4. Sebutir peluru kereta kebal ditemui antara sisa sukarelawan yang cuba menyelamatkan Hind.
Pada 19 Ogos 2026, lebih dua tahun selepas kejadian itu, IDF mengesahkan tenteranya telah melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki Hind, serta ambulans tersebut.
Mereka mendakwa kejadian itu berpunca daripada “kegagalan dalam penyelarasan pergerakan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).” Ia merupakan dakwaan yang disangkal oleh PRCS.
IDF menyatakan bahawa satu siasatan jenayah akan dijalankan.
/file/attachments/890/HindRajabandPRCSparamedicsYusufal-ZeinoandAhmedal-MadhouncreditHindRajabFoundation_270654.png)
Itu bukanlah kejadian pertama keganasan ke atas orang awam yang melibatkan Merkava didokumentasikan sejak Jan 2022, iaitu ketika jawatankuasa semakan reputasi bank tersebut meluluskan urus niaga berkenaan.
Merkava merupakan jenis kereta kebal utama yang digunakan Israel di Gaza.
Antara kes berprofil tinggi yang melibatkan kereta kebal itu termasuk serangan ke atas Hospital Al-Shifa di Gaza pada Nov 2023, serta serangan maut terhadap orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan di bulatan Al-Tahliya, ketika krisis kebuluran di Gaza semakin meruncing pada Jun 2025.
Kejadian ini berlaku kira-kira sembilan bulan selepas tarikh jadual penghantaran kotak gear Renk yang baru, dan sebulan selepas IDF menyiarkan gambar kotak gear Renk tersebut sedang sedia untuk dipasang pada Merkava 4.
/file/attachments/890/IDFpublishedphotosoftankbattalionmountingRenksgearboxontoMerkava4tankdatedMay132025_864329.png)
Sufian Kawareh, 43, tidak mempunyai pilihan kecuali pergi ke bulatan Al Tahliya yang menjadi lokasi pengagihan makanan di sebelah timur Khan Yunis, di selatan Semenanjung Gaza. Dia bersama ribuan orang ramai menunggu lori membawa tepung.
Di situlah kereta kebal Merkava melepaskan tembakannya.
Sufian berasa seolah-olah “ada gergaji besi yang memotong kakinya” lalu rebah tidak lama kemudian. Selepas seminggu menanggung penderitaan, doktor terpaksa memotong kaki Sufian demi menyelamatkan nyawanya.
Khaled Walid, 40, yang cedera dalam insiden sama mengimbau kembali detik sebuah Merkava 4 melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Menurutnya, kereta kebal itu mudah dibezakan daripada kereta kebal lain yang digunakan oleh tentera Israel.
“Ia mempunyai turet, meriam, mesingan, dan struktur logam yang mengelilingi badannya,” katanya dalam satu temu bual.
Menurut Pihak Berkuasa Palestin, sekurang-kurangnya 59 orang yang menunggu bantuan telah terkorban dalam insiden tersebut.
IDF menyatakan orang ramai telah berkumpul berhampiran sebuah lori bantuan yang tersangkut tidak jauh dari kedudukan tentera mereka. IDF mendakwa butiran kejadian sedang diteliti dan mereka “menyesali sebarang kemudaratan yang menimpa individu yang tidak terlibat”.
/file/attachments/890/AchildinjuredattheAlTahliyaroundaboutattacktreatedattheNasserMedicalComplexcreditMohamedAbuShahma-DarajMedia_351850.jpg)
Kompleks Perubatan Nasser, iaitu hospital yang merawat mangsa serangan di bulatan Al-Tahliya, turut menjadi sasaran bedilan Merkava beberapa bulan kemudian (25 Ogos 2025). Insiden itu mengorbankan wartawan Reuters, Husam al-Masri.
Osama Hisham, seorang wartawan yang khemahnya di hadapan hospital tersebut, berkata semasa petugas penyelamat dan wartawan tiba di tempat kejadian, kereta kebal yang sama kembali ke lokasi kejadian dan membedil hospital berkenaan sekali lagi.
Pegawai IDF - sebagaimana dipetik oleh media Israel ketika itu - turut mengesahkan kereta kebal yang sama melepaskan tembakan sebanyak dua kali.
Seramai 22 orang rakyat Palestin - termasuk lima wartawan dan sebahagiannya dari Reuters dan Associated Press serta anggota penyelamat dan petugas kesihatan, terkorban.
Keesokan harinya, IDF mendakwa mereka menyasarkan sebuah kamera yang digunakan oleh Hamas, namun Reuters mengesahkan kamera tersebut adalah milik agensi berita terbabit.
Apabila ditunjukkan gambar-gambar kelongsong peluru daripada insiden berkenaan, seorang jurutera bahan letupan bernama Mohamed Salem mengesahkan serangan itu berpunca daripada peluru artileri 120mm yang direka khusus untuk meriam laras licin (smooth bore) pada Merkava. Penanda piawai “CRTG 120” kelihatan jelas pada dinding peluru tersebut. Mohamed Salem berpengalaman dalam pelupusan bahan letupan di zon konflik.
Beberapa insiden berprofil tinggi yang melibatkan Merkava 4 berlaku sebelum penghantaran pertama bekalan – yang disokong oleh Deutsche Bank – dijadualkan tiba pada Sept 2024.
Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, insiden-insiden di Gaza itu tidak menjejaskan urus niaga di antara Deutsche Bank dan Renk.
Kereta Kebal Tempur Utama
Merkava 4 - yang merupakan aset utama dalam armada kereta kebal Israel – memainkan peranan penting dalam operasi darat di Gaza sejak Okt 2023.
Menurut pakar yang ditemu bual media Daraj, Alwan Al-Abousi, persenjataan utama kereta kebal itu ialah meriam laras licin 120mm yang mampu melepaskan peluru dan peluru berpandu berpandu laser.
Ia turut dilengkapi dengan tiga mesingan 7.62mm di bahagian atasnya, serta pelancar bom tangan 60mm. Kelajuan maksimum kereta kebal itu ialah 64 km/j dan jarak operasi sejauh 500 km.
Menurut Alwan, ciri paling penting pada kereta kebal Merkava 4 ialah sistem perlindungannya yang mampu mengesan peluru berpandu antiperisai – dikenali sebagai Trophy. Sistem itu berfungsi dengan menembak projektil untuk meletupkan peluru berpandu tersebut sebelum ia sampai.
"Kereta Kebal Tempur Utama (MBT) Merkava 4 sebagai varian yang paling canggih, biasanya dikerahkan oleh Briged Perisai aktif di bawah Kor Perisai IDF iaitu Briged Ke-7, Ke-188, dan Ke-401,” kata pakar persenjataan yang juga merupakan penyiasat open source di peringkat antarabangsa, Leone Hadavi.
MBT Merkava 3 pula, katanya, sering dikerahkan oleh satu daripada tujuh Briged Perisai Simpanan atau oleh kompeni simpanan yang merupakan sebahagian daripada tiga kompeni dalam sesebuah Batalion Perisai.
/file/attachments/890/chartfordesktop-1_Merkava_IV_2000x11251_915156.png)
Di Gaza, kereta kebal itu beroperasi sebagai sebahagian daripada formasi perisai yang bergerak secara bersepadu dengan unit infantri, kejuruteraan, peninjau, dan penerbangan.
Peranan utamanya ialah untuk memberikan sokongan tembakan langsung kepada pasukan Israel yang sedang mara, melindungi unit-unit yang melakukan serangan di kawasan kediaman, menembusi pertahanan Hamas dan kumpulan-kumpulan sekutunya, serta menyerang posisi-posisi yang melepaskan tembakan ke arah pasukan Israel.
Bagaimanapun, menurut Alwan, peperangan tersebut turut mendedahkan bahawa keunggulan teknikal Merkava 4 tidak menjanjikan kemenangan 100 peratus, terutamanya apabila beroperasi dalam persekitaran bandar yang kompleks dan berdepan ancaman dari pelbagai arah.
Apabila dihubungi mengenai pelbagai urus niaga pertahanan – termasuk yang melibatkan kotak gear bagi kereta kebal Merkava 4 – pihak bank menyatakan mereka tidak mengulas mengenai pelanggan atau transaksi tertentu.
Kata bank itu, mereka menilai perniagaan dalam sektor pertahanan “berdasarkan kes demi kes, selaras dengan undang-undang yang terpakai serta garis panduan dalaman”.
Mereka juga menyatakan: “Penilaian tersebut mengambil kira, antara lain, jenis barangan dan tujuan penggunaannya, pengguna akhir, situasi di negara penerima – termasuk sebarang konflik bersenjata – serta risiko yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan reputasi. Sekiranya terdapat kebimbangan yang serius, pihak bank akan melaksanakan proses usaha wajar yang lebih ketat, dan mungkin menolak sesuatu transaksi jika risiko yang wujud tidak dapat ditangani dengan sewajarnya.”
Liputan media yang negatif
Dalam memo dalaman bertarikh Dis 2021 mengenai risiko reputasi tersebut, dinyatakan urus niaga yang dijalankan memang ada berisiko kerana ketegangan di antara Israel dan Palestin serta Israel - Lubnan meningkat sepanjang tahun tersebut.
Ia termasuk “serangan rentas sempadan dan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan”.
Namun, menolak urus niaga sedemikian mungkin mencetuskan “liputan media yang negatif” terhadap bank tersebut memandangkan “hubungan bersejarah di antara Jerman dan Israel”.
“Jika keputusan untuk tidak terlibat diketahui umum, kita mungkin berdepan kritikan daripada pihak media atau kerajaan kerana dianggap menafikan sokongan penting yang diperlukan oleh Israel untuk mempertahankan diri,” menurut memo tersebut.
“Bekas Canselor Angela Merkel – dalam lawatan terakhir dia ke Israel pada Okt 2021 – menyatakan bahawa keselamatan Israel merupakan sebahagian daripada ‘kepentingan negara’ (reason of state) Jerman, dan Jerman tidak bersikap neutral berhubung isu keselamatan Israel.”
Setiap jabatan di Deutsche Bank yang dirujuk dalam penilaian tersebut berpendapat, secara keseluruhannya, urus niaga itu wajar diteruskan.
Walaupun keganasan semakin memuncak di Gaza, Deutsche Bank tetap mengekalkan komitmennya terhadap Renk.
Pada 7 Feb 2024, apabila Renk disenaraikan secara awam di Bursa Saham Frankfurt, Deutsche Bank bertindak sebagai satu daripada penyelaras bagi tawaran awam permulaan (IPO) syarikat tersebut, -sama dengan Citigroup, Goldman Sachs, dan JP Morgan.
Antara justifikasi yang diberikan Deutsche Bank bagi menyokong urus niaga Merkava 4 pada 2022 ialah eksport tersebut masih tertakluk kepada kelulusan kerajaan Jerman.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh sebahagian besar 2024, hampir tiada lesen eksport ke Israel diluluskan oleh Jerman.
Menurut sumber dalaman industri, keadaan tersebut menjejaskan Renk dan Rolls-Royce, iaitu pengeluar enjin untuk kenderaan Merkava 4.
Sumber menyatakan masalah bekalan itu telah menjejaskan operasi serangan darat Israel. Israel menyerang secara agresif susulan serangan yang diketuai oleh Hamas pada 7 Okt 2023 di selatan Israel yang mengorbankan 1,200 orang, termasuk 815 orang awam.
Pada Ogos 2025, Berlin menggantung eksport senjata ke Israel.
Pada masa sama, sebuah mahkamah rayuan wilayah di Hesse, Jerman, meneliti cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh seorang lelaki Palestin dari Gaza. Dia berusaha untuk menghentikan lesen eksport komponen transmisi kereta kebal keluaran Renk yang dihantar ke Israel.
Lelaki terbabit berhujah, lesen-lesen tersebut melanggar obligasi Jerman dalam perlembagaannya untuk melindungi haknya untuk hidup. Sebuah mahkamah di Frankfurt menolak permohonan itu pada Dis 2024 atas alasan dia tidak mempunyai kedudukan undang-undang (legal standing) untuk memfailkan kes tersebut.
Pada Sept 2025, mahkamah rayuan mengekalkan keputusan itu.
Dua bulan kemudian Berlin membatalkan penggantungan eksport senjata ke Israel atas alasan keadaan di Gaza semakin stabil setelah gencatan senjata diumumkan pada bulan sebelumnya.
Setahun kemudian, siasatan PBB mendapati Tel Aviv terus melakukan "tindakan genosid dengan niat untuk memusnahkan – secara keseluruhan atau sebahagian – penduduk Palestin di Gaza".
Israel menolak dakwaan itu. Lebih daripada 1,600 rakyat Palestin – kebanyakannya orang awam – terkorban akibat serangan Israel sejak gencatan senjata tersebut.
Apabila dihubungi, Renk enggan memberikan ulasan. Begitu juga dengan Rolls-Royce yang turut mengambil sikap yang sama.
Persoalan pematuhan hak asasi manusia
Renk bukanlah satu-satunya pengeluar peralatan pertahanan yang produknya digunakan oleh IDF ke atas orang awam, dan bukan satu-satunya syarikat yang disokong oleh Deutsche Bank. Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan bank tersebut terhadap dasar hak asasi manusia yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
“Prinsip kami ialah untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perniagaan yang Deutsche Bank mempunyai bukti kukuh mengenai kesan buruk yang ketara terhadap hak asasi manusia, dan apabila proses dalaman bank menentukan bahawa kesan buruk tersebut tidak dapat dielakkan atau dikurangkan dengan sewajarnya,” jelas bank tersebut dalam kenyataannya mengenai hak asasi manusia.
Satu lagi pengeluar kelengkapan pertahanan yang mempunyai hubungan dengan Deutsche Bank ialah pengeluar senjata Itali, Leonardo S.p.a (yang sebahagiannya dimiliki oleh negara).
Menjelang Okt 2018, bank tersebut terlibat dalam satu urus niaga bernilai jutaan euro yang berkaitan dengan Israel. Urus niaga itu melibatkan syarikat Leonardo.
Bank itu diminta untuk mengeluarkan jaminan berkaitan perdagangan bagi firma pertahanan Itali tersebut. Dalam komunikasi dalaman bank, Leonardo disifatkan sebagai “pelanggan platinum”.
Leonardo mengeluarkan sistem meriam tentera laut 76/62 Super Rapid Multi Feeding untuk kapal korvet kelas Sa’ar 6 Israel. Ia merupakan kapal perang terbaru dan paling canggih milik negara itu.
Sistem meriam itu mampu melepaskan 120 das tembakan seminit. IDF telah menggunakan kapal-kapal perang berkenaan untuk membedil Gaza dari laut sejak 2023.
Sistem meriam 76/62 Super Rapid Multi Feeding itu dihasilkan dan dihantar melalui satu perjanjian yang dijamin oleh Deutsche Bank.
Melalui sebuah anak syarikat, Leonardo juga mengeluarkan sistem pemuat automatik untuk sistem perlindungan aktif (APS) Trophy yang direka untuk melindungi kenderaan darat, termasuk kereta kebal Merkava 4, daripada serangan.
A post shared by Daraj Media (@darajmedia)
Leonardo kini berdepan dengan kes mahkamah yang difailkan oleh seorang warganegara Palestin dan beberapa kumpulan advokasi Itali atas dakwaan melanggar Perlembagaan Itali dengan membekalkan senjata kepada Israel.
Mereka berhujah, senjata itu digunakan untuk mencabuli hak asasi manusia.
Tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Leonardo menafikan dakwaan syarikatnya terlibat dalam konflik di Gaza. Sebagai respons kepada pertanyaan daripada Barracuda Media, syarikat itu mengesahkan hubungan perniagaannya dengan Deutsche Bank.
Syarikat terbabit menyatakan operasinya sentiasa mematuhi peraturan kebangsaan dan antarabangsa yang mengawal selia eksport peralatan pertahanan serta barangan kegunaan dwifungsi, disamping mematuhi kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa yang berwibawa.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa susulan peningkatan ketegangan dalam konflik Israel-Palestin, pihak berkuasa Itali menggantung pengeluaran lesen baru bagi eksport peralatan pertahanan ke Israel.
Sh: Bom untuk menembusi kubu
Pada 2024, BankTrack bersama 18 pertubuhan masyarakat sivil lain menerbitkan laporan yang memperincikan bagaimana bank-bank komersial membiayai syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel.
Laporan itu mendedahkan, antara Jan 2021 hingga Ogos 2023, Deutsche Bank telah menyediakan pinjaman dan khidmat penaja jaminan (underwriting) berjumlah kira-kira €4 bilion kepada pengeluar peralatan pertahanan seperti Boeing, Leonardo, Lockheed Martin, Rolls Royce, RTX Corp, dan General Dynamics, walaupun bukan semua produk syarikat-syarikat ini digunakan di Gaza.
Antara bom yang dihasilkan oleh Boeing – dengan komponen utama dibekalkan oleh sebuah usaha sama yang 25 peratus dimiliki oleh Leonardo – ialah GBU Small Diameter Bomb. Bom itu digunakan oleh IDF melalui tentera udaranya untuk menyerang kediaman dan kawasan bandar.
Menurut dua pakar senjata yang meneliti gambar-gambar kesan serangan tersebut, bom berkenaan berkemungkinan besar digunakan dalam serangan ke atas Sekolah Al-Mutanabbi berhampiran Khan Younis pada Julai 2024. Tragedi itu mengorbankan 29 orang rakyat Palestin.
Setelah menganalisis foto-foto kesan serangan tersebut, jurutera bahan letupan, Muhammad Salem, menyatakan serpihan bom yang ditemui di lokasi kejadian jelas berasal daripada bom berpandu berketepatan tinggi jenis GBU-39, atau lebih tepat lagi, daripada sistem penggantungan dan kawalannya, berdasarkan nombor siri yang tertera pada logam tersebut.
Serpihan itu, katanya, juga mendedahkan kod pengilang yang berdaftar dengan Woodward Inc, salah satu pembekal sistem elektromekanikal dan penggerak panduan untuk Boeing. Tambahan pula, nombor-nombor tersebut menunjukkan tarikh pembuatan tepat komponen itu, iaitu 31 Mac 2022 (2022-03-31).
Dia menambah bom tersebut direka khusus untuk menembusi kubu pertahanan.
Pakar senjata Hadavi turut bersetuju. Menurutnya, dalam gambar kesan serangan itu, kelihatan sekurang-kurangnya satu daripada empat permukaan kawalan yang dipasang pada bahagian ekor bom GBU jenis small diameter bomb (bom derdiameter kecil) – atau "sayap ekor – tersebut.
Boeing juga mengeluarkan bom GBU-31 yang lebih besar dan berkuasa.
Ia digugurkan ke atas khemah-khemah pelarian di kawasan al-Mawasi, Khan Younis, pada 13 Julai 2024. Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan itu mengakibatkan lebih 300 orang cedera dan 91 rakyat Palestin terkorban.
Pada 12 November 2026, bom GBU-39/B seberat 250 paun (113.4kg) buatan AS telah digunakan dalam serangan udara oleh IDF terhadap Kompleks Perubatan Nasser. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang kanak-kanak dan pakar bedah terkemuka Dr Rizk Abu Shaira, serta mencederakan 52 yang lain.
Dalam satu kenyataan, IDF mendakwa mereka menyasarkan militan Hamas yang bersembunyi di dalam hospital tersebut, namun Hamas menafikan dakwaan berkenaan.
Sejak 7 Okt 2023, Israel telah membunuh lebih daripada 75,000 orang di Palestin dan lebih daripada 3,000 orang lagi di Lubnan Selatan. Angka kematian ini merangkumi ratusan wartawan dan pekerja bantuan, lebih daripada 1,700 petugas penjagaan kesihatan dan kakitangan perubatan, serta sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak.
Menurut siasatan PBB, kanak-kanak telah disasarkan secara sengaja “menggunakan quadcopter, dron, dan raifal penembak tepat… yang ditujukan ke arah kepala dan bahagian atas badan mereka”.
/file/attachments/890/BankTracktable2_573842.png)
Ketua hak asasi manusia di BankTrack, Ryan Brightwell, menyatakan institusi kewangan mempunyai tanggungjawab yang jelas berhubung hak asasi manusia.
“Mereka perlu menunjukkan bagaimana mereka menghormati hak asasi manusia, dan mereka diharapkan menggunakan pengaruh yang ada ke atas pelanggan bagi memastikan pelanggan terbabit tidak menyebabkan atau menyumbang kepada kemudaratan,” katanya.
Jika sesebuah bank mempunyai urusan dengan syarikat senjata, katanya, “ia wajar mempertimbangkan untuk menarik balik pelaburan atau menamatkan hubungan tersebut sekiranya pelanggan itu tidak mengubah tingkah lakunya.”
Boeing, RTX Corp, dan General Dynamics tidak memberikan respons terhadap soalan-soalan kami.
Dalam satu kenyataan, Lockheed Martin menyatakan: “Kami terus memajukan keselamatan global melalui teknologi yang membolehkan pasukan pertahanan pelanggan utama kami – iaitu kerajaan AS dan sekutunya – untuk menggalakkan pencegahan (deterrence) serta mempertahankan hak asasi manusia, dengan mematuhi pengawasan dan objektif dasar Kerajaan AS bagi semua jualan antarabangsa.”
Syarikat itu juga merujuk pihak media kepada kenyataan dalam talian mereka mengenai hak asasi manusia.
Senjata yang menimbulkan kontroversi
Pada Mac 2019, Deutsche Bank meluaskan dasar pertahanannya.
Menurut bank tersebut, perluasan dasar itu bermakna mereka akan mengelak daripada “memulakan atau meneruskan sebarang bentuk hubungan perniagaan” dengan entiti yang mempunyai “kaitan langsung yang jelas” dengan “senjata yang menimbulkan kontroversi”.
Dasar mengenai senjata kontroversi “boleh merangkumi periuk api, bom kluster, senjata nuklear, atau sebarang jenis senjata yang berkemungkinan menyebabkan kemudaratan tanpa membezakan sasaran. Dan fosforus putih jelas termasuk dalam kategori tersebut,” kata Brightwell.
Fosforus putih ialah kimia yang dikenali kerana keupayaannya membakar bangunan serta melecurkan manusia hingga ke tulang.
Setakat 30 Jun lalu, bank tersebut memiliki 0.14 peratus pegangan dalam ICL Group, sebuah pembekal fosforus putih, melalui saham bernilai AS$8.98 juta.
Ia juga memegang bon Israel Chemical Ltd (ICL) sehingga Ogos 2019, iaitu beberapa bulan selepas dasar tersebut diperluas.
Menurut kontrak Tentera Darat AS yang diterbitkan, dua anak syarikat ICL (ICL Performance Products dan ICL-IP America) membekalkan fosforus putih kepada sebuah kilang Tentera Darat AS di Arkansas lebih daripada sekali sejak 2008.
The Washington Post dan Amnesty International melaporkan bahawa peluru daripada kemudahan tersebut telah dieksport ke Israel.
Human Rights Watch melaporkan, sejak 2023, ID telah menggunakan peluru artileri yang mengandungi fosforus putih di Gaza dan Lubnan Selatan lebih daripada berbelas kali.
/file/attachments/890/BankTracktable2_448877.png)
Komunikasi dalaman Deutsche Bank menggambarkan kemungkinan bank tersebut menggunakan kelompangan dalam dasarnya sendiri. Ia membezakan antara syarikat induk dan anak syarikat milik penuh apabila mentakrifkan “kaitan langsung” dengan syarikat yang terlibat dalam pengeluaran dan pembekalan senjata kontroversi.
Pada Dis 2019, seorang pegawai risiko reputasi Deutsche Bank di London memaklumkan kepada rakan sekerjanya bahawa transaksi yang melibatkan syarikat multinasional gergasi, Bayer Group, tidak perlu ditandakan sebagai berkaitan dengan senjata kontroversi.
Sebaliknya, hanya transaksi yang melibatkan Monsanto Co (anak syarikat milik penuh Bayer), perlu ditandakan.
Menurut Corruption Tracker, sebuah badan pemantau perdagangan senjata, ICL membekalkan fosfat kepada Monsanto untuk penghasilan fosforus putih yang kemudiannya digunakan bagi pembuatan peluru atau bahan persenjataan.
ICL, Bayer Group, IDF, dan Deutsche Bank tidak memberikan respons terhadap pertanyaan kami mengenai fosforus putih.
Urus niaga yang menguntungkan
Setelah menghabiskan kira-kira dua dekad mengkaji perolehan senjata global, Pengarah Eksekutif Shadow World Investigations, Andrew Feinstein, berpendapat dalam urus niaga pertahanan, institusi kewangan pada asasnya hanya didorong oleh dua perkara: keuntungan dan reputasi.
“Mereka sebenarnya langsung tidak peduli tentang berapa ramai orang yang mungkin terkorban, pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, atau jenayah perang [...] melainkan jika perkara itu menjejaskan reputasi mereka,” katanya.
Shadow World Investigations ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di UK dan menyiasat rasuah dalam perdagangan senjata.
Menurut Feinstein, di peringkat operasi, situasi itu boleh menyebabkan pegawai bank bertentangan dengan pegawai pematuhan (compliance officer) yang selalunya berjawatan lebih rendah, demi memastikan bonus tahunan pegawai bank terjamin.
“Jika anda menjana pendapatan tertentu [untuk syarikat], ia akan tercermin dalam bonus tahunan anda. Justeru, kita bercakap tentang individu yang membuat keputusan, keputusan itu secara terus akan menentukan sama ada mereka akan memperoleh puluhan ribu euro atau jutaan euro pada penghujung tahun kewangan tersebut,” katanya dalam satu temu bual.
/file/attachments/890/chartfordesktop_IAI_Harpy_2000x11251_423520.png)
Pada Jan 2021, Deutsche Bank mempertimbangkan satu urus niaga yang berpotensi mendatangkan keuntungan besar dengan pengeluar pertahanan Israel, Israel Aerospace Industries (IAI), walaupun syarikat tersebut sebenarnya digugurkan sebelum itu kerana menghasilkan senjata yang kontroversi.
Pada 1980-an, IAI menghasilkan Harpy, sejenis dron yang terbang di ruang medan perang untuk mengesan isyarat radar musuh sebelum menyerang sasaran tersebut secara autonomi.
Harpy merupakan antara Sistem Senjata Maut Berautonomi (LAWS) yang dikenal pasti oleh unit penyelidikan dalaman bank tersebut pada April 2019, ketika pasukan Risiko Reputasi Industri mempertimbangkan untuk merangka dasar mengenai LAWS menjelang mesyuarat agung tahunan bank itu pada tahun berkenaan.
Menurut pihak bank, satu dasar dalaman telah ditetapkan pada Dis 2019 untuk menghindarkan mereka daripada terlibat dengan LAWS yang beroperasi tanpa penglibatan manusia.
Namun, pada 2021, seorang pengurus hubungan korporat kanan bagi rantau Eropah Tengah dan Israel mendesak agar IAI diberi peluang kedua. Antara sebabnya ialah potensi hasil tahunan sebanyak €1.5 juta.
Pada mulanya, dia merujuk perkara itu kepada dua orang pakar reputasi dan risiko bank terbabit, tetapi kedua-duanya menolak kerana penglibatan IAI dengan senjata-senjata yang kontroversi.
Nafi terlibat buat senjata kontroversi
Bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan mendapatkan sokongan daripada pihak pengurusan kanan.
“Kami sedang mengusahakan satu peluang perniagaan akaun belum terima (AR) yang berpotensi bernilai AS$150 juta melibatkan pengeluaran pertahanan utama IAI yang bernilai AS$4.1 billion sebagai penjual, manakala kerajaan India/agensi-agensinya bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab membuat bayaran. Potensi hasil tahunan daripada transaksi ini ialah €1.5 juta, dan peluang perniagaan AR tambahan mungkin timbul pada masa hadapan.
“Kami menghubungi anda untuk mendapatkan pandangan anda memandangkan ini merupakan transaksi yang besar dan melibatkan isu risiko reputasi yang wajar diberi perhatian; perkara ini memerlukan sokongan pengurusan kanan dalam jawatankuasa risiko reputasi,” katanya.
Dia menyatakan bahawa CEO IAI telah memberi jaminan syarikat tersebut tidak terlibat dalam pembuatan senjata kontroversi dan tidak akan berbuat demikian pada masa hadapan.
“Kita perlu mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini kepada Jawatankuasa Risiko Reputasi Serantau, dan seterusnya kepada Jawatankuasa Risiko Reputasi Global,” tulisnya kepada seorang lagi pakar pembiayaan perdagangan.
Namun, akhirnya pakar pembiayaan perdagangan tersebut membalas melalui e-mel: “Kita sebaiknya menolak urusan ini memandangkan wujudnya dakwaan awam serta ketidakpastian mengenai hasil laporan BIU.”
“Sertakan (CC) pasukan risiko reputasi dalam e-mel ini,” katanya sebagai penutup. “Terima kasih dan semoga berjaya.”
Sebagai respons kepada pertanyaan wartawan, Deutsche Bank tidak memberikan ulasan mengenai IAI. IAI pula tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan.
IDF enggan memberikan ulasan.
Siasatan Inside Deutsche Bank ini diuruskan oleh Barracuda Media NPC di Afrika Selatan, dengan sokongan teknikal daripada Data and Research Center (DARC) di Jerman.
Maklumat dalam Inside Deutsche Bank diperoleh oleh penulis dan wartawan warganegara India, Josy Joseph, serta wartawan warganegara Afrika Selatan, Khadija Sharife.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/image9_605877.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.