Memburu telinga 'cauliflower' dan perjalanan menggapai emas Komanwel Amir Daniel
Di sebalik pingat emas bersejarah Sukan Komanwel Glasgow 2026, tersimpan perjalanan jerih dan panjang seorang anak muda dari Pulau Pinang yang mula mengenali judo sejak berusia lima tahun.
Selain impian meraih kalungan pingat di peringkat tertinggi, pemuda berusia 22 tahun itu sudah sekian lama mengejar kepuasan tersendiri – memiliki sepasang teling unik yang menjadi kebanggaan atlet sukan tempur.
Ia dipanggil sebagai telinga cauliflower (bunga kobis).
Bagi kebanyakan orang, telinga yang bengkak, berparut dan berubah bentuk mungkin sesuatu yang ingin dielak jika pun tidak memalukan.
Namun, bagi atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed, keadaan itu menjadi lambang kebanggaan dan kenangan terhadap perjalanan panjangnya dalam sukan yang diminati sejak kecil.
Telinga cauliflower itu bukan sekadar kesan kecederaan yang dialaminya ketika menjalani latihan, sebaliknya sebuah 'lencana' kehormatan bagi seorang atlet seni bela diri yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di gelanggang judo.
Malah, ketika berusia sekitar 11 atau 12 tahun, Amir Daniel pernah mengambil inisiatif sendiri untuk cuba mendapatkan bentuk telinga berkenaan.
Caranya: dia menahan kesakitan dengan menggosok telinga menggunakan seragam judo yang tebal, bahkan pada ketika tertentu, menggeselkannya pada lantai sehingga luka dan berdarah.
Tiba-tiba sakit, tak boleh lena
Bagaimanapun cubaannya tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Dia akhirnya mengalah dan berhenti berharap selepas mencuba selama lebih setahun.
Tidak disangka-sangka, kira-kira sedekad kemudian, impiannya itu menjadi kenyataan ketika dia sedang menjalani latihan intensif di Jepun.
"Ketika itu saya menjalani latihan selama tiga bulan. Tiba-tiba, ketika nak tidur, telinga terasa pedih dan sakit. Mula-mula saya fikir mengapa jadi begitu.
"Selepas diperiksa, saya terkejut dan gembira kerana akhirnya dapat juga telinga cauliflower itu.
“Tetapi rasanya ketika itu memang sakit, sampai tak boleh tidur dengan lena dan latihan pun terganggu," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Walaupun ibunya kurang senang melihat keadaan telinganya dan pernah menyuruhnya mendapatkan rawatan, Amir Daniel memilih untuk membiarkannya.
Bagi atlet itu, telinga cauliflower berkenaan mempunyai nilai sentimental tersendiri.
"Saya memang suka telinga ini. Bagi saya, ia seperti status seorang juara," katanya.
/file/attachments/orphans/35353_136669.jpg)
Dilahirkan di Pulau Pinang pada 18 Okt 2004, Amir Daniel mula mengenali judo ketika berusia sekitar lima tahun.
Pada awalnya, sukan itu bukanlah sesuatu yang dirancang sebagai laluan menuju kejayaan antarabangsa. Dia sekadar seorang kanak-kanak yang gemar bermain dan mengikuti aktiviti yang diperkenalkan jurulatihnya.
Daripada sekadar bermain, jurulatihnya mula membawa dia menyertai pertandingan kecil-kecilan pula. Ketika itu usia Amir Daniel berganjak ke enam tahun.
Namun, bakat dan keberanian Amir Daniel mula terserlah apabila dia dicabar untuk bertanding dalam kategori umur lebih tinggi berbanding usia semasa.
Dia baru berusia 12 tahun tetapi diminta mencuba kategori bawah 15 tahun. Setahun kemudian – ketika berusia 13 tahun, Amir Daniel melibatkan diri dalam kategori bawah 21 tahun.
Setahun berlalu, dia diberikan cabaran lebih besar – menyertai kejohanan judo bagi kategori terbuka pula.
Ranking lebih 100 lawan 41 dunia
Pendedahan awal menentang atlet yang lebih berusia itu menjadi antara pengalaman penting dalam pembentukan dirinya sebagai atlet kompetitif.
"Semuanya berlaku secara berperingkat sehingga saya sampai ke tahap sekarang," katanya.
Lebih mengagumkan, ketika berusia 14 tahun, Amir Daniel sudah memenangi kategori terbuka dalam kejohanan kebangsaan senior dan meletakkan dirinya sebagai pemenang pingat emas termuda dalam kategori berkenaan.
Setahun kemudian, pada usia 15 tahun, Amir mula mengukir nama di pentas antarabangsa apabila memenangi kejohanan Asian Open Cadet di Hong Kong.
Pingat itu menjadi kemenangan antarabangsa pertamanya dan membuka ruang kepada lebih banyak pengalaman di luar negara.
Perjalanan tersebut akhirnya membawa dia ke pentas Sukan Komanwel Birmingham 2022 ketika dia baru berusia 17 tahun. Pada penampilan sulung itu, Amir Daniel memenangi pingat gangsa dalam kategori bawah 73 kilogram.
/file/attachments/orphans/MajlisSukanNegaraMalaysia33_612499.jpg)
Empat tahun kemudian, dia kembali ke temasya berkenaan – yang berlangsung di Glasgow – dengan sasaran lebih besar. Dan ternyata dia berjaya. Amir Daniel membawa pulang pingat emas untuk negara.
Pada 1 Ogos lalu, Amir Daniel muncul juara kategori bawah 81 kilogram lelaki, sekali gus menjadi atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas judo di Sukan Komanwel.
Dalam aksi final di Scottish Event Campus, dia menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi teknik kata-guruma yang menghasilkan mata waza-ari.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila Amir Daniel berjaya menewaskan lawan yang berada di kedudukan ke-41 dunia, sedangkan rankingnya jauh di bawah.
Dia di tangga ke-117 dunia ketika itu.
Sebelum mara ke final, Amir Daniel menundukkan wakil Australia, Keishin Ochi, dalam aksi separuh akhir menerusi teknik utsuri-goshi.
Kombinasi pelbagai faktor untuk unggul
Kejayaan itu bukan sahaja memperbaiki pencapaian peribadi dan negara, malah membuktikan kemampuan atlet Malaysia bersaing dengan judoka dari negara yang mempunyai tradisi lebih kukuh dalam sukan tersebut.
Bagi Amir Daniel, judo bukan sekadar sukan yang menguji kekuatan fizikal atau kemampuan menjatuhkan lawan.
Berasal dari Jepun, sukan itu berteraskan dua prinsip utama iaitu Jita Kyoei (manfaat bersama) dan Seiryoku Zenyo (penggunaan tenaga secara maksimum dengan kecekapan terbaik).
Kedua-dua prinsip itu menjadi asas kepada falsafah judo yang menekankan sikap saling menghormati, bekerjasama dan penggunaan teknik yang tepat berbanding bergantung semata-mata kepada kekuatan fizikal.
Dalam pertandingan, judo mempunyai dua komponen utama iaitu teknik menjatuhkan atau membaling lawan (nage-waza) dan teknik pertarungan di lantai (ne-waza).
Teknik menjatuhkan lawan pula merangkumi penggunaan tangan, pinggang dan kaki, selain teknik pengorbanan badan (sutemi-waza).
Sementara itu, pertarungan di lantai melibatkan teknik mengawal dan menahan lawan, kuncian sendi serta cekikan.
/file/attachments/orphans/MajlisSukanNegaraMalaysia1_457906.jpg)
Kepelbagaian teknik tersebut menjadikan judo sukan yang memerlukan kombinasi kekuatan, kelajuan, keseimbangan, ketangkasan dan kebijaksanaan membaca pergerakan lawan.
Amir Daniel melihat aspek teknikal itu sebagai antara perkara yang menjadikan judo menarik dan berbeza berbanding sukan tempur yang lain.
Walaupun sudah mencipta sejarah di Glasgow, Amir Daniel sedar judo masih belum mendapat perhatian setanding sukan tempur lain seperti karate dan taekwondo di Malaysia.
Menurutnya, komuniti judo negara masih agak kecil, sekali gus menyebabkan sukan itu kurang dikenali.
Namun, dia percaya keadaan tersebut juga memberikan peluang untuk pembangunan bakat muda secara lebih tersusun.
Justeru dia berharap lebih ramai kanak-kanak dan golongan muda tampil mencuba sukan berkenaan tanpa terlalu bimbang terhadap risiko kecederaan yang sering dikaitkan dengan aksi bantingan.
Katanya, judo sebenarnya tidaklah terlalu berbahaya sekiranya seseorang mempelajari teknik yang betul, khususnya cara menjatuhkan badan dan mengelakkan serangan lawan.
"Saya berharap lebih ramai orang akan mencuba judo dan saya dapat melihat lebih banyak muka baru dalam kejohanan kebangsaan," katanya.
Bagi seorang atlet yang sudah menghabiskan hampir 17 tahun hidupnya dalam sukan tersebut, perkembangan jumlah penyertaan dan kemunculan bakat baru pastinya menjadi sesuatu yang dekat di hati.
Kadang-kadang diketepikan
Selain isu populariti, Amir Daniel turut membangkitkan cabaran kewangan yang sekian lama membelenggu pembangunan judo di negara ini.
Katanya, sebelum ini kebanyakan penyertaan dalam pertandingan perlu dibiayai sendiri oleh atlet, termasuk apabila melibatkan kos perjalanan dan perbelanjaan lain.
Sesuatu pertandingan, katanya, boleh menelan belanja sekitar RM10,000 sekali gus menjadi beban kepada atlet yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan mampan.
Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan atlet untuk menyertai lebih banyak pertandingan, malah boleh menghadkan peluang mereka mengumpul pengalaman dan membina kedudukan dalam ranking antarabangsa.
Bagaimanapun, Amir Daniel melihat perkembangan terkini sebagai petanda positif apabila ia mula mendapat perhatian dan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta majlis sukan negeri.
Dia berpendapat sokongan tersebut penting untuk memastikan atlet yang berpotensi dapat terus berkembang tanpa terlalu dikekang isu kewangan.
/file/attachments/orphans/MajlisSukanNegaraMalaysia2_743928.jpg)
Pada masa sama, dia mengingatkan, bantuan juga perlu diberikan kepada jurulatih yang memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet berkualiti.
Menurutnya, kebanyakan jurulatih datang dari negeri-negeri dan mereka juga memerlukan sokongan tambahan untuk meningkatkan mutu latihan serta pembangunan atlet.
"Saya berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada judo. Memang sekarang sudah ada fokus dan bantuan, tetapi ada kalanya kita masih diketepikan kerana sukan ini tidak begitu popular.
"Saya tidak menyalahkan kerajaan kerana mereka perlu memberikan perhatian kepada banyak jenis sukan. Cuma saya berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada atlet dan juga jurulatih," katanya.
Di sebalik komitmennya sebagai atlet kebangsaan, Amir Daniel turut memikul tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Lancang sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Penang Free, dia kemudian menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
Kini, Amir mengikuti pengajian dalam bidang biologi alam sekitar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Mengimbangi kehidupan sebagai mahasiswa dan atlet kebangsaan bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila jadual latihan memerlukan komitmen yang tinggi.
Amir Daniel menjalani latihan antara dua hingga tiga sesi sehari, dengan setiap satu mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam.
/file/attachments/orphans/MajlisSukanNegaraMalaysiaesd_522856.jpg)
Latihannya dibahagikan kepada beberapa komponen, termasuk sesi gim untuk membina kekuatan fizikal serta latihan di dojo yang lebih menumpukan aspek teknikal dan praktikal judo.
Selain itu, dia turut melakukan larian sekitar 30 minit pada hari tertentu sebagai sebahagian daripada rutin kecergasan.
Selepas kejayaan di Glasgow, Amir Daniel tidak mahu berpuas hati dengan pencapaian itu. Justeru sasaran jangka panjangnya ialah melayakkan diri ke Sukan Olimpik melalui usaha mengumpul mata daripada penyertaan dalam kejohanan antarabangsa.
Namun, sebelum itu, terdapat satu lagi misi penting yang menantinya di tanah air.
Amir Daniel menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas kategori bawah 81 kilogram pada Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung di Malaysia, dengan acara judo dirancang diadakan di Pulau Pinang.
Peluang bertanding di hadapan penyokong sendiri pastinya memberikan motivasi tambahan buat atlet kelahiran negeri itu.
Bagi Amir Daniel, telinga cauliflower yang dibanggakannya itu mungkin menjadi simbol paling jelas tentang perjalanan tersebut – satu tanda bahawa di sebalik setiap kejayaan, ada kesakitan dan pengorbanan yang tidak semestinya dapat dilihat oleh orang ramai.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/564445456564_175704.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.