Dr Gayathrie, Eliza merawat tak kenal sempadan, ke Sudan, Afghanistan dan Lubnan
Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu ketakutan, sementara ibu bapanya sedang menunggu di luar bilik rawatan sebuah hospital di Herat, Afghanistan.
Di sisinya, Dr Gayathrie Sadacharamani memegang kanak-kanak itu dan cuba menenangkannya. Ibu bapanya tidak dibenarkan masuk ketika prosedur perubatan dijalankan.
“Saya cuba menenangkannya dan beritahu yang semuanya akan baik-baik saja. Sudah tentu dia tak faham apa yang saya cakap, tetapi sekurang-kurangnya saya ada dengannya.
“Malangnya, dalam tempoh enam jam, dia meninggal dunia,” katanya sebak ketika berkongsi pengalaman dalam sesi bersama media di Kuala Lumpur.
/file/attachments/orphans/DrGayathrieSadacharamani-MSFAfghanistan3_545533.jpeg)
Detik itu antara pengalaman paling sukar buat doktor Malaysia berkenaan sepanjang enam bulan bertugas bersama badan bantuan perubatan antarabangsa Médecins Sans Frontières (Doktor Tanpa Sempadan - MSF) di Afghanistan, dari April hingga Oktober tahun ini.
Gayathrie turut mengingati seorang bayi berusia lapan bulan yang dimasukkan ke hospital akibat kekurangan zat makanan.
Menurutnya, bayi itu kemudian patah kaki selepas terjatuh ketika didukung kakaknya di hospital, sebelum pulih dan dibenarkan pulang.
“Dia sentiasa tersenyum sepanjang berada di wad. Bila tengok tu, saya terfikir betapa banyak perkara yang sudah dilaluinya, tetapi dia masih mampu tersenyum setiap hari,” katanya kepada Malaysiakini.
Hospital sesak, bantuan semakin terbatas
Sebagai pengurus aktiviti perubatan, Gayathrie mengendalikan unit pediatrik merangkumi rawatan kecemasan, unit rawatan rapi kanak-kanak, penyakit berjangkit dan wad biasa.
Menurutnya, hospital Kementerian Kesihatan Afghanistan di Herat, barat negara itu, menerima kira-kira 1,500 kanak-kanak sebagai pesakit luar dan mencatatkan 300 kemasukan wad setiap hari.
Dia berkata kadar penggunaan katil mencecah 130 peratus. Menurutnya, dua hingga tiga pesakit terpaksa berkongsi satu katil.
Pasukannya, kata Gayathrie, terdiri daripada 70 doktor pediatrik dan perubatan, sepuluh penyelia perubatan serta kira-kira 333 jururawat. Keseluruhan projek pula mempunyai lebih 600 kakitangan tempatan dan kira-kira 20 petugas antarabangsa.
Selain kekurangan zat makanan, mereka turut merawat pesakit dengan penyakit berjangkit seperti malaria, campak dan tuberkulosis.
Gayathrie berkata penempatannya di Herat bertujuan membantu mengisi jurang perkhidmatan kesihatan yang tidak mampu menampung keperluan penduduk.
“Negara tu tak mampu penuhi keperluan kesihatan yang ada. Sebab itulah pihak luar terlibat untuk membantu.
“Namun, disebabkan kekurangan dana dan sumber di peringkat global, perkhidmatan semakin dikurangkan, sedangkan keperluan terus meningkat,” katanya.
Atas faktor keselamatan, petugas tinggal di kawasan penempatan MSF dengan pergerakan keluar yang terhad.
Sokongan sesama anggota pasukan membantu Gayathrie menghadapi keadaan itu. Mereka makan malam bersama, menonton filem, mengadakan barbeku dan meluangkan masa bersantai.
“Empat dinding itu menjadi benteng kami, manakala orang di dalam rumah itu menjadi keluarga kami,” katanya.
Menggigil, tapi perlu bertindak
Di Sudan Selatan, jururawat Malaysia Eliza Chang Pei Ying pula berdepan ancaman seorang bapa yang kehilangan anaknya.
Menurut Eliza, lelaki itu menjadi berang dan mengugut untuk menembak semua kakitangan di klinik.
Dia pada mulanya mencari senjata api yang ditinggalkan di luar premis, sebelum berlari keluar untuk mengambilnya. Seorang rakannya bagaimanapun menyedari tindakan itu dan membawa lari senjata berkenaan.
Eliza, yang kini menjalani misi kelapannya bersama MSF, perlu segera memikirkan keselamatan pesakit dan anggota pasukan.
/file/attachments/orphans/ElizaChangChangPeiYingNurse-MSFLebanon2_157559.jpeg)
“Ketika itu memang terasa takut. Saya menggigil, tetapi mungkin hanya untuk dua saat.
“Selepas itu, saya perlu fikir pesakit mana yang perlu dipindahkan. Pesakit yang menggunakan oksigen tidak boleh dipindahkan dan perlu kekal di situ. Kami juga perlu menutup pagar, mengunci pintu dan menghubungi pihak berkuasa,” katanya.
Dalam kecemasan itu, Eliza mengarahkan pasukan memindahkan pesakit yang mampu bergerak ke bilik selamat, mengunci pintu dan pagar serta menghubungi pihak berkuasa.
Baginya, ketakutan reaksi manusia biasa. Tanggungjawab terhadap pesakit dan kakitangan menuntutnya terus bertindak.
Ketika bertugas di Bangladesh, Eliza pernah berdepan pergolakan awam yang memaksa pasukannya berlindung di dalam rumah. Komunikasi terputus dan mereka berdepan risiko bangunan dimasuki perusuh.
Dalam satu lagi kejadian yang diceritakannya, sekumpulan lelaki bersenjata menahan kenderaan pasukan ketika mereka dalam perjalanan.
Selepas memeriksa barang di dalam kenderaan dan menyedari mereka anggota MSF, kumpulan itu memulangkan AS$20 yang diambil.
“Kadangkala perkara seperti ini berlaku dan kami terus melupakannya. Lama-kelamaan, kita belajar untuk menjadi lebih tabah,” katanya.
Sentiasa bersedia untuk kecemasan
Sejak Julai lalu, Eliza bertugas di Lubnan dalam projek yang memberi tumpuan kepada pekerja migran di Beirut dan pelarian Syria di utara negara itu.
Pasukannya mengendalikan premis kesihatan dan klinik bergerak untuk mendekati komuniti yang sukar mendapatkan rawatan.
Menurutnya, keadaan keselamatan yang rapuh dan boleh berubah pada bila-bila masa menuntut pasukan sentiasa menyediakan pelan kecemasan, termasuk kemungkinan memindahkan kakitangan.
Mengenai tindak balas MSF terhadap konflik di Lubnan pada awal tahun ini, Eliza berkata organisasi itu mengaktifkan dua pasukan tambahan dalam tempoh 24 jam dan memulakan operasi bantuan perubatan dalam masa 72 jam, termasuk di kem dan pusat perlindungan.
Namun, bantuan yang dapat disediakan tetap mempunyai batas.
Eliza berkata MSF mengutamakan rawatan asas yang menyelamatkan nyawa, dengan ubat-ubatan yang memenuhi piawaian organisasi.
Ada kalanya pasukan tidak dapat menyediakan semua rawatan atau kemudahan yang diminta pesakit. Mereka perlu menerangkan batas keupayaan itu kepada komuniti.
Mengapa terus berkhidmat? Gayathrie sendiri pernah tertanya-tanya mengapa dia memilih misi kemanusiaan berisiko sedangkan boleh menjalani kehidupan lebih selesa di Malaysia.
/file/attachments/orphans/DrGayathrieSadacharamani-MSFAfghanistan_648542.jpeg)
“Pada saat itu, kita mungkin terfikir, mengapa saya berada di sini? Saya sebenarnya boleh duduk di rumah, bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, pergi menonton wayang dan bawa kereta.
“Tetapi kemudian kita sedar tanggungjawab kita dan untuk siapa kita berada di sini. Bila melihat mereka masih memerlukan bantuan, kita tahu masih ada tugas yang perlu dilakukan,” katanya.
Pengalaman itu turut mengubah cara Gayathrie melihat kemudahan kesihatan dan keselamatan yang dinikmati di negara sendiri.
“Kita banyak ambil ringan sahaja apabila berada di Malaysia, negara sendiri, dalam keadaan selamat dan mempunyai kemudahan serta perkhidmatan kesihatan.
“Tidak semua orang di dunia mempunyai perkara yang sama,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/eliza-chang-gayathrie-msf-1000x600_572624.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.