Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mengesyorkan pembatalan lesen Deutsche Bank (Malaysia) Berhad kepada menteri kewangan jika siasatan membuktikan pelanggaran serius undang-undang.

Pemimpin DAP itu turut menuntut siasatan terhadap dakwaan kumpulan Deutsche Bank memproses transaksi bernilai jutaan euro yang dikaitkan dengan Jho Low selepas skandal 1MDB terbongkar pada 2015.

"Jika pelanggaran serius dibuktikan, BNM mesti mengenakan sekatan sewajarnya, termasuk mengesyorkan pembatalan lesen Deutsche Bank (Malaysia) Berhad kepada Menteri Kewangan jika memenuhi syarat undang-undang.

"Rakyat sudah cukup menanggung akibat skandal RM42 bilion dana 1MDB telah diseleweng. Mana-mana bank yang terbukti melanggar undang-undang mesti dikenakan tindakan tegas, tanpa pilih kasih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai konteks, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 merekodkan RM42 bilion sebagai jumlah hutang 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014. Angka hutang itu bukan pengesahan jumlah wang yang diselewengkan.

Lim mahu BNM menjalankan siasatan telus serta memaklumkan kepada umum perkembangan siasatan dan tindakan susulan dalam tempoh 30 hari.

Dia merujuk tindakan Singapura menutup operasi BSI Bank dan Falcon Private Bank di republik itu pada 2016 selepas menemukan kegagalan serius dalam kawalan pencegahan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Menurutnya, Malaysia juga perlu bertindak tegas jika pelanggaran terbukti.

Gesaan Lim menyusuli pendedahan siasatan Inside Deutsche Bank yang berdasarkan dokumen dalaman bocor.

Siasatan itu melaporkan transaksi dalam euro yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, serta kelemahan pengendalian transaksi berkaitan 1MDB oleh entiti bank itu di Malaysia.

Secara berasingan, 1MDB menyaman Deutsche Bank (Malaysia) Berhad berhubung tiga transaksi berjumlah AS$1.11 bilion yang dikendalikan bank itu pada 2009 dan 2011. Saman itu membabitkan dakwaan pelanggaran kontrak, kecuaian dan bantuan tidak jujur dalam pengendalian transaksi berkenaan.

Pada 19 November, Malaysiakini melaporkan rundingan penyelesaian antara 1MDB dengan Deutsche Bank masih berlangsung dan kes itu masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut siasatan itu, laporan Anti-Financial Crime (AFC) 2015 bank berkenaan mengenal pasti ketidakaturan dalam pelaporan kepada BNM menerusi Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS).

Deutsche Bank membantah pendedahan laporan berkenaan di mahkamah dalam pertikaiannya dengan 1MDB.

Satu audit dalaman pada 2015 turut dilaporkan mendapati pasukan pelaporan bank itu di Malaysia tidak menyemak secukupnya kelengkapan data yang dihantar kepada ITIS.

Pasukan itu juga dilaporkan tidak menyemak pelarasan dalam sistem berkenaan serta gagal menjalankan pemeriksaan kawalan mutu terhadap keseluruhan proses pelaporan.

ITIS membolehkan BNM memantau aliran kewangan merentas sempadan.

Menurut dapatan audit yang dilaporkan dalam siasatan itu, juruaudit tidak dapat menemukan dokumen arkib berkaitan pelaporan ITIS, meskipun terdapat kewajipan menyimpan rekod sekurang-kurangnya tujuh tahun.

Dapatan itu turut mengetengahkan kelemahan dalam proses mengenali pelanggan (KYC) dan pencegahan pengubahan wang haram (AML) Deutsche Bank Malaysia.

Deutsche Bank sebelum ini menafikan salah laku dan mendakwa pihaknya diperdaya pegawai 1MDB. Bank itu turut menegaskan prosiding sivil di Malaysia melibatkan entiti berbeza daripada urus niaga yang diprosesnya sebagai perantara perbankan koresponden euro.

Dalam maklum balas kepada Malaysiakini yang dilaporkan pada 19 November, BNM berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk penguatkuasaan, jika kelemahan atau pelanggaran dikenal pasti.

Bagaimanapun, BNM berkata pihaknya tidak mendedahkan maklumat mengenai penilaian penyeliaan atau siasatan yang sedang berjalan.