K'jaan tolak pelaburan pusat data jika jejaskan kecukupan bekalan air rakyat
PARLIMEN l Kerajaan memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air domestik semata-mata bagi menampung keperluan pusat data di negara ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Abdul Rahman Mohamad berkata kerajaan tidak akan sesekali membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air mahupun elektrik bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata kerajaan juga tidak akan sewenang-wenangnya menerima masuk pelaburan untuk membuka pusat data di negara ini, tanpa mengambil kira pertimbangan dan keutamaan dalam memastikan bekalan asas itu terlebih dahulu mencukupi untuk kegunaan harian rakyat.
“Walaupun ia pelaburan yang besar kepada negara, tetapi kita tetap menolak sekiranya berlaku ketidakcukupan air di negara kita ini, dan perkara ini yang diteliti oleh pasukan petugas khas pusat data kita.
“Kajian penuh akan dilakukan di mana-mana lokasi yang dicadang untuk pembinaan pusat data itu termasuklah melalui jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa penyelaras pembangunan pusat data peringkat negara dan peringkat negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman menjawab soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai langkah dan mekanisme kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pesat industri pusat data tidak menjejaskan kecukupan bekalan air negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan ketika ini menumpukan kepada penggunaan sumber air alternatif seperti air pulih guna, air kitar semula serta sistem penuaian air hujan bagi tujuan sistem penyejukan di pusat data.
Abdul Rahman berkata ia merupakan komponen paling penting dalam menyokong pertumbuhan industri pusat data di Malaysia tanpa menjejaskan bekalan kepada rakyat.
“Sebab itu melalui kerjasama kita, antaranya ialah Indah Water Konsortium dan Johor Special Water (JSW) yang membekalkan sehingga 12 juta liter air pulih guna berkualiti tinggi setiap hari bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data di negeri Johor.
“Dan, sehingga kini terdapat empat buah loji rawatan air pulih guna di Semenanjung Malaysia yang bekalkan air kepada pusat data dengan kapasiti yang agak tinggi, iaitu hingga 19.5 juta liter sehari,” katanya.
Beliau berkata kerajaan mengiktiraf industri pusat data sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi digital negara, dan akan memastikan pembangunannya akan terus memberikan pulangan atau hasil kepada negara termasuk negeri yang terlibat bagi sesuatu projek.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/06/07452f416d9f9b3b87a330b4d3f5ee76.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.