Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida) akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di negara ini supaya tidak menempatkan, menyewakan ruang atau menyediakan sebarang perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenaraikan dalam senarai entiti Amerika Syarikat (AS).

Langkah itu susulan peraturan muktamad yang dikeluarkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan AS pada 23 November lalu membabitkan tujuh entiti dari Malaysia, Thailand dan Singapura.

Penyenaraian berkenaan dibuat selepas kerajaan AS menentukan entiti terbabit bertindak bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara atau dasar luar negara itu, sekali gus dikaitkan dengan pelaksanaan kawalan eksport Washington.

“Malaysia kekal komited terhadap persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan, serta tidak akan membenarkan negara ini dijadikan saluran untuk memintas kawalan eksport,” menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Daripada tujuh entiti berkenaan, dua membabitkan syarikat yang disenaraikan di bawah Malaysia iaitu Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.

MITI menjelaskan Speedmatrix merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod Mida, Megaspeed International bukan entiti di Malaysia dan tidak terlibat sebagai pengendali mahupun penyewa pusat data yang beroperasi di negara ini.

MITI turut menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.