Isu yang membabitkan ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) petang ini.

Menurut Ahmad perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan mereka tengahari tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad tiba jam 12.50 tengahari dan pertemuannya dengan Abdullah yang juga pengerusi BN, berakhir jam 2.45 petang.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad berkata, dalam perbincangan tersebut, Abdullah memberitahunya yang beliau (perdana menteri) mementingkan keselamatan dan kestabilan negara.

Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa yang memulakan 'serangan' adalah parti Gerakan.

"Ucapan saya adalah dalam kelompok bangsa Melayu. Kami bincang tentang halehwal orang Melayu (dalam ucapannnya)," tambahnya.

Menurut Ahmad lagi, beliau melihatkan apa yang berlaku itu sebagai satu kebangkitan orang Melayu.

"Dalam menjaga hati orang Cina, orang India, kita kena juga jaga orang Melayu," katanya.