Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Siasatan terhadap Ramlang Porigi, imam yang menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lalu yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan untuk hari kedua hari ini.

Imam muda kelahiran Sabah itu hari ini bertemu seorang "pengarah" di Putrajaya.

ramlang porigi Beliau bagaimanapun enggan memberikan penjelasan lanjut mengenai pertemuan itu.

"Dalam keadaan sebegini saya rasa tidak sesuailah saya beri sebarang ulasan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Pada 24 Ogos lalu, beliau mencipta kegemparan apabila berucap di atas pentas PKR dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendakwa diarahkan "orang atasannya" supaya hadir dalam majlis itu.

Manakala pada 27 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan berkata, akan mengambil tindakan terhadap Ramlang jika didapati berkempen dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Ramlang mengesahkan ada bertemu ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz semalam seperti dimaklumkan oleh Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Abdul Malek Salleh.

Ditanya, apakah yang berlaku dalam pertemuan itu, beliau hanya berkata "tiada apa-apa".

Menurut Ramlang, beliau bertolak ke Putrajaya tengahari tadi untuk menghadiri siasatan terhadapnya.

Beliau juga enggan memberitahu berapa lama siasatan tersebut akan dijalankan dan siapakah yang mengendalikan siasatan.

ADS