Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menerima satu lagi pencalonan dari Umno Bahagian Sepang untuk jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang juga ketua penerangan Umno, menerima satu lagi pencalonan untuk jawatan timbalan presiden dari bahagian berkenaan.

Najib kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden dengan 30 pencalonan, sementara Muhammad pula mendapat tiga pencalonan, demikian menurut laporan Bernama.

Manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga naib presiden Umno kekal dengan 24 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga naib presiden Umno dengan tiga pencalonan.

Kuota kelayakan bertanding bagi jawatan pesiden parti adalah sekurang-kurangnya 58 pencalonan, 39 pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan 20 pencalonan untuk jawatan naib presiden

Umno Bahagian Sepang juga turut mencalonkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk jawatan naib presiden.

Dengan pencalonan hari ini, Ahmad Zahid mendapat 16 pencalonan, Mohd Shafie (15) dan Khaled (11).

Sehingga hari ini, persaingan bagi tiga jawatan naib presiden Umno masih kekal dengan 11 calon, di mana Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 25 pencalonan, diikuti Ahmad Zahid dan Mohd Shafie.

Setakat ini hanya Hishammuddin yang melepasi syarat untuk bertanding jawatan naib presiden setelah 29 daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing

Senarai pencalonan terkini:

PRESIDEN

(Kuota: 58 pencalonan)

Datuk Seri Najib Tun Razak (30 pencalonan)

TIMBALAN PRESIDEN

(Kuota: 39 pencalonan)

1.Tan Sri Muhyiddin Yassin (24 ).

2.Datuk Seri Mohd Ali Rustam (3 )

3.Tan Sri Muhammad Muhamad Taib (3 ).

NAIB PRESIDEN

(Kuota: 20 pencalonan)

1.Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (25)

2. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (16)

3. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (15)

4. Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (11)

5. Datuk Seri Syed Hamid Albar (6)

6. Datuk Seri Dr Rais Yatim (4)

7. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4)

8. Datuk Seri Shahidan Kassim (3)

9. Datuk Seri Mohamad Hasan (2 pencalonan)

10. Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (2)

11. Tan Sri Annuar Musa (1)