Kerajaan akan menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kumpulan ekstremis yang diharamkan, Hindu Rights Action Force (Hindraf), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

syed hamid albar 200807 Beliau berkata, polis akan menjalankan penyiasatan secara menyeluruh dan terserah kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman jika mereka didapati bersalah.

Katanya, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan ekstremis tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mereka kerana di masa lepas kerajaan telah mengambil tindakan terhadap Al-Arqam, Al-Maaunah dan Kumpulan Militan Malaysia.

"Keutamaan kerajaan ialah melindungi keselamatan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau mengulangi yang aktiviti Hindraf telah secara konsisten melanggar undang-undang, dan demonstrasi haram yang dianjurkan mereka bertukar menjadi ganas dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Kerajaan semalam mengharamkan Hindraf kerana ia melanggar Akta Pertubuhan.

Kejadian terbaru melibatkan Hindraf ialah mengganggu rumah terbuka hari raya perdana menteri dan kabinet di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

"Mereka menyebarkan mesej yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

"Mereka mencetuskan rasa takut di kalangan orang ramai. Mereka malahan mengancam nyawa orang ramai," kata Syed Hamid.

"Walaupun kerajaan bersedia mendengar rintihan rakyat malahan yang disuarakan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, kerajaan tidak dapat bertolak ansur dengan kumpulan kecil yang menyebarluaskan ekstremisme yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama," katanya.

Katanya, kaum India tidak diabaikan di negara ini kerana mereka diwakili dengan baik oleh 14 ahli Parlimen India, 21.4 peratus dalam bidang perundangan, 18.4 peratus dalam bidang perubatan dan pendapatan mereka secara menyeluruh ialah 1.2 kali lebih tinggi daripada pendapatan orang Melayu.