Dr M nafi dalang di belakang Najib

   

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyangkal cakap-cakap yang beliau akan menjadi perdana menteri penasihat, memainkan peranan di belakang Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa oleh bekas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertangunggjawab bagi undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid juga menganggap yang kejatuhan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah hasil daripada angkara Dr Mahathir.

Menyifatkan cakap-cakap itu sebagai "benar-benar karut", Dr Mahathir berkata Najib ada pendirian sendiri dan tiada jaminan yang timbalan perdana menteri itu akan mendengar apa juga yang dikatakan oleh bekas perdana menteri itu, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya juga fikir bahawa apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik (perdana menteri), beliau mungkin akan merundingi saya mengenai sesetengah isu, tetapi seperti yang anda lihat beliau tidak pernah meminta apa-apa pandangan daripada saya. Malahan, beliau mengubah semua yang saya telah lakukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum di Universiti Teknologi Petronas, di Tronoh hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menafikan cakap-cakap bahawa Dr Mahathir adalah perancang utama dalam meningkatkan popularitinya dan Najib sebagai pemimpin masa depan negara.

"Saya tidak fikir anda perlu dalam apa cara pun keliru kerana anda lihat kami bersama (dengan Mahathir). Pada hakikatnya kami bertemu dalam sesetengah

majlis tidak bermakna ada perkembangan besar berlaku," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama Malaysia-Indonesia pertama di Tronoh semalam.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata terpulang kepada pucuk pimpinan parti Gerakan untuk membuat keputusan sama ada terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) ataupun sebaliknya.

Beliau berkata parti itu mempunyai dua pilihan sekiranya memutuskan untuk keluar dari BN iaitu menyertai pembangkang ataupun menjadi sebuah parti bebas.

"Dalam parti lawan (pembangkang) dia (Gerakan) akan jadi rakan kongsi yang amat junior pasal dia tak kuat, dia cuma bergerak di Pulau Pinang sahaja. Kalau tidak dia boleh jadi parti bebas, parti bebas ni tidak ada apalah... tidak pernah boleh jadi kerajaan pun," katanya mengulas sikap pemimpin Gerakan yang terus-terusan membangkitkan soal ingin keluar dari BN.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata sekiranya Gerakan kekal dalam BN, setidak-tidaknya parti itu mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam kerajaan.

"Itu terpulanglah kepada pemimpin Gerakan untuk pilih yang mana satu. Duduk dalam BN dan ada peluang jadi kerajaan ataupun jadi parti bebas ataupun masuk letak diri di bawah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (penasihat PKR) dan kena ikutlah Anwar Ibrahim. Pilihan di tangan mereka," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda