BERITA

MCA: Wujud sistem pantau ISA

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Okt 2008, 10:27 pagi

Perhimpunan agung MCA hari ini meluluskan tujuh resolusi, antaranya mendesak kerajaan menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), melantik lebih ramai naib canselor bukan bumiputera serta mengambilkan penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Sehubungan itu MCA menyarankan supaya diwujudkan sebuah sistem untuk mengawasi dan menegur penggunaan ISA.

Langkah itu, menurut resolusi tersebut, adalah bagi memastikan supaya penggunaan ISA hanya terhad kepada kes berkaitan keganasan dan elemen subversif.

Ini merupakan satu daripada tujuh resolusi utama yang diluluskan oleh MCA di perhimpunan agung tahunan ke-55 parti itu yang diadakan di Wisma MCA di ibunegara hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Selain itu, perhimpunan agung itu juga menggesa kerajaan melantik lebih banyak calon bukan bumiputera yang berkaliber dan berpengalaman sebagai naib canselor di universiti awam.

Langkah tersebut, tegasnya, adalah bagi meningkatkan perpaduan antara kaum sambil memperbaiki prestasi universiti.

Bahasa ibunda

Parti itu juga mahu Kementerian Pelajaran mengembalikan semula penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah serta penggunaan kaedah lain bagi meningkatkan tahap kemahiran pelajar dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, MCA mendukung Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan hak terhadap kebebasan beragama, justeru perhimpunan itu dengan tegas mengulangi bahawa undang-undang Syariah tidak boleh digunakan kepada bukan Islam.

Parti itu juga menggesa semua kerajaan negeri supaya melaksanakan dengan serius garis panduan pembinaan tempat ibadat bukan Islam seperti yang diluluskan oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk memastikan semua agama dapat berkembang dengan bebas tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak.

AGM itu menggesa kerajaan memperbaharui Akta Anti Rasuah 1997 untuk mengubah Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (MCAC) manakala pada masa yang sama,

mewujudkan Jawatankuasa Parlimen mengenai Pencegahan Rasuah bagi memastikan BPR sebuah badan yang bebas dan mempunyai kuasa mendakwa suspek ke arah membuktikan bahawa kerajaan serius dalam usahanya membendung masalah rasuah.

Parti itu menggesa kerajaan mempercepatkan pembaharuan dalam sistem kehakiman dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kehakiman, dianggotai oleh kalangan daripada bidang perundangan yang mempunyai rekod baik dan tahap moral yang tinggi bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman di negara ini.

Mereka mahu kerajaan lebih komited dalam tindakan melaksanakan hukuman terhadap pegawai yang didapati bersalah melakukan amalan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan pada masa sama memberi ganjaran kepada pegawai yang menunjukkan kecemerlangan dalam prestasi kerja untuk meningkatkan keberkesanan tugas.

Gaji minimum

Bagi meningkatkan tahap pendapatan rakyat Malaysia, AGM itu menggesa kerajaan supaya melaksanakan struktur gaji minimum yang komprehensif dalam sektor kritikal terpilih, misalnya pertanian, komoditi dan industri perkhidmatan.

Struktur gaji minimum itu penting bagi melindungi kumpulan berpendapatan rendah daripada dieksploitasi dan MCA mencadangkan Majlis Gaji perlu ditubuhkan untuk memantau serta melaksanakan dasar gaji minimum.

Bagi mengatasi krisis kewangan dalam ekonomi global yang turut menjejaskan ekonomi dan sektor perniagaan di Malaysia, AGM itu menggesa kerajaan supaya segera menyemak semula dan memperbaharui semua dasar makroekonomi utama seperti Akta Penyelarasan Perindustrian, Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing dengan hasrat meliberalisasikan kesemua sektor ekonomi.

Bagi memerangi jenayah dan mencegah kemerosotan dalam keselamatan negara, MCA menggesa kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta mengambil tindakan segera untuk meningkatkan pasukan polis bagi mengukuhkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Parti itu prihatin dengan keperluan penduduk di Sabah dan Sarawak, oleh itu mahu kerajaan menyediakan infrastruktur, kemudahan asas dan kemudahan awam untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi kedua-dua negeri berkenaan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.